Berat yang menentukan syurga



Waktu bila "berat" jadi sangat signifikan dan penting? 

Sebagai bangsa Sarawak, kalau nak naik flight balik, mesti timbang elok² supaya tak melepasi had. Kalau tak, susah nak adjust, keluarkan barang masa di airport. 

Yang nak gadai emas, harap sangat berat emas miliknya, sama seperti ketika dibeli lama dulu. Tak nak rugi walau 0.01 gram. 

Bila Tadabbur surah Al-'Araf pula, terkesan dengan realiti timbangan amal di akhirat nanti. 

=====
{ وَٱلۡوَزۡنُ یَوۡمَىِٕذٍ ٱلۡحَقُّۚ فَمَن ثَقُلَتۡ مَوَ ٰ⁠زِینُهُۥ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (8) وَمَنۡ خَفَّتۡ مَوَ ٰ⁠زِینُهُۥ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ خَسِرُوۤا۟ أَنفُسَهُم بِمَا كَانُوا۟ بِـَٔایَـٰتِنَا یَظۡلِمُونَ (9) }
Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami.
[Surah Al-Aʿrāf: 8-9]
=====

Setiap yang beriman, berusaha untuk beramal.
Dan berat timbangan itu akan menentukan bakal jadi penghuni syurga atau tidak.

Sudahkah muhasabah setiap kali, apakah amal yang dilakukan punyai nilai yang berat di sisi Allah?

Jangan "asalkan solat" sahaja. Tapi fikiran melayang ke mana-mana sambil niat solat untuk riak. 
Jangan solat seperti orang munafik. 
Yang solat, tapi dicela. 
Solat, tapi tiada nilai.

=====
{ إِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَهُوَ خَٰدِعُهُمۡ وَإِذَا قَامُوٓاْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُواْ كُسَالَىٰ يُرَآءُونَ ٱلنَّاسَ وَلَا يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِيلٗا }
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

[Surah An-Nisāʾ: 142]
=====

Jangan "asalkan sedekah / infaq" sahaja. Tapi suka mengungkit pemberian dan sakitkan hati penerima. Hilang percuma amalan ibarat dibasuh, dibawa pergi hujan. 
Berinfaq, tapi ringan, tak dinilai. 

=====
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِي يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٞ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٞ فَتَرَكَهُۥ صَلۡدٗاۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَيۡءٖ مِّمَّا كَسَبُواْۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ }

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

[Surah Al-Baqarah: 264]
======

Jangan "asalkan kahwin" sahaja. Tapi segala objektif perkahwinan, tanggungjawab suami & isteri diabaikan. Bersangka-sangka terhadap tanggungjawab ayah & ibu mengakibatkan abaikan tanggungjawab tanpa sedar. Mahu bernikah tapi enggan galas tanggungjawab yang Dia amanahkan. 

Rugi.
Khuatir datang pada hari Akhirat dengan amal yang tidak dinilai.

Ringan.
Sedangkan sepanjang hidup rasa "dah berbuat banyak dah."

=====
{ قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِینَ أَعۡمَـٰلًا (103) ٱلَّذِینَ ضَلَّ سَعۡیُهُمۡ فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا وَهُمۡ یَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ یُحۡسِنُونَ صُنۡعًا (104) أُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ بِـَٔایَـٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَاۤىِٕهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَـٰلُهُمۡ فَلَا نُقِیمُ لَهُمۡ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ وَزۡنࣰا (105) }
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? 

(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
[Surah Al-Kahf: 103-105]
=====

Bagaimana untuk terselamat daripada termasuk golongan rugi, amalannya tidak dinilai?

Pelajarilah Al-Quran.
Fahami skema jawapan untuk tahu bagaimana memberatkan amal ikut panduanNya. 

Solatlah dengan capai tujuan yang Dia mahukan. 
Infaqlah dengan capai tujuan yang Dia mahukan. 
Berkeluargalah dengan capai tujuan yang Dia mahukan.

Kerana,
Syurga itu bukan milik kita.
Bukan kita yang tentukan piawai berjaya memasukinya.

Semuanya tertakluk pada Allah s.w.t
Dan Dia telah membongkar segala yang Dia mahukan melalui wahyu. 

Jika zalim terhadap ayat-ayatNya dengan enggan memahami Quran.
Jika kufur ingkarkan ayat-ayatNya dengan mengabaikan wahyu. 

Tanya pada diri, 
"Betul ke nak masuk syurga?"

Ulasan