"Cepat-cepat kahwinkan dia supaya tak bergelumang dosa."
Biasa dengar nasihat sebegini.
Terutama dalam kes anak-anak muda yang dah pun berzina. Lalu, pernikahan dilihat sebagai jalan melindungi daripada terus bermaksiat.
Sebenarnya.
Itu bukanlah solusi. Solusi yang benar adalah jalani rawatan pemulihan /kaunseling untuk berhenti tabiat (addiction) tersebut. Menikahkan anak-anak dalam keadaan mereka sendiri tak bersedia boleh mengundang banyak masalah lain kemudian hari.
Asasnya mendekati zina (Al-An'am, 6:151) itu haram. Bukan sekadar zina itu haram, tetapi mendekati fahsya' itu adalah haram.
=====
{ ۞قُلۡ تَعَالَوۡاْ أَتۡلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمۡ عَلَيۡكُمۡۖ...
...وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلۡفَوَٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡهَا وَمَا بَطَنَۖ
Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu ...
... janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi;
[Surah Al-Anʿām: 151]
=====
Dalam konteks syariat menjaga batas pergaulan lelaki & perempuan, menutup jalan yang mendekati zina, lelaki dilarang bernikah semata-mata untuk melepaskan syahwat. Bernikah semata-mata untuk seks tanpa mahu menjadi muhson (mencari harta untuk menjaga isteri) adalah dilarang.
=====
وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمۡ أَن تَبۡتَغُواْ بِأَمۡوَٰلِكُم مُّحۡصِنِينَ غَيۡرَ مُسَٰفِحِينَۚ
Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara مُّحۡصِنِينَ , bukan secara مُسَٰفِحِينَۚ
[Surah An-Nisāʾ: 24]
=====
Syarat untuk menikahi isteri adalah kemampuan jadi pelindung yang mampu sediakan keperluan hidup ( مُّحۡصِنِينَ ). Bukan semata-mata untuk melepaskan syahwat ( مُسَٰفِحِينَۚ ) tanpa bertanggungjawab menafkahi keluarga.
Nak faham maksud مُّحۡصِنِينَ, boleh juga lihat ayat dari surah Al-Anbiya'. Perhatikan kalimah لِتُحۡصِنَكُم yang juga dari kata akar sama ح ص ن .
======
{ وَعَلَّمۡنَٰهُ صَنۡعَةَ لَبُوسٖ لَّكُمۡ لِتُحۡصِنَكُم مِّنۢ بَأۡسِكُمۡۖ فَهَلۡ أَنتُمۡ شَٰكِرُونَ }
Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?
[Surah Al-Anbiyāʾ: 80]
=====
Lelaki jenis مُّحۡصِنِينَ adalah lelaki yang benar-benar memelihara keselamatan isterinya ibarat baju besi yang melindungi jasad di medan tempur. Definisi khusus melindungi isteri dalam Surah An-Nisa' ayat 24 adalah dengan harta.
تَبۡتَغُواْ بِأَمۡوَٰلِكُم مُّحۡصِنِينَ
Jika belum mampu, pedomanNya adalah tahan diri, Jaga kehormatan diri sehinggalah Allah SWT kurniakan rezeki kepadanya (An-Nur ,24: 33)
Melihat gaya hidup masyarakat zaman sekarang pula, ada yang tertanya-tanya.
"Habis tu, orang kaya je ke yang boleh kahwin?"
Isu kita pada zaman ini adalah mendefinisikan gaya hidup mengikut langkah majoriti.
Orang lain ada rumah, kita pun nak beli rumah.
Orang lain ada kereta, kita pun nak ada kereta.
Sedangkan gaya hidup sepatutnya diatur sesuai kurniaan rezeki daripada Allah SWT. Kalau tak mampu beli rumah, bukan jenayah untuk sewa rumah selama-lamanya. Kalau memang itulah rezeki yang telah ditetapkan Allah SWT. Takkanlah nak pilih jalan haram, berhutang riba semata-mata nak penuhi standard gaya hidup orang lain.
Kalau tak mampu beli kenderaan, juga bukan suatu kesalahan untuk bersabar dengan penggunaan motorsikal mahupun kenderaan awam. Kalau memang itulah takdir rezeki yang Dia kurniakan. Memilih berhutang riba demi memenuhi standard hidup orang lain, juga bukan pilihan untuk orang beriman.
Sabarlah.
Sabar dengan gaya hidup sesuai kemampuan diri, tanpa terjebak hutang riba.
Indah pengharaman riba.
Ibarat "thermostat" yang memutuskan kehendak nafsu tak terkawal.
Andai tiada pengharaman riba, masyarakat mudah mengecam "Kenapa tak ambil loan beli rumah & kereta untuk keluarga? Tak sayang keluarga ke?"
Disebabkan adanya pengharaman riba, seharusnya tiada tekanan terhadap golongan tak mampu daripada didesak mengambil hutang tak perlu.
.
.
.
"Tapi, tak adillah. Suami penat-penat kerja untuk isteri dan anak-anak. Isteri buat apa di rumah?"
Ini pun satu isu besar yang perlu diperbaiki di Malaysia. Yang mengenali Allah SWT sebagai Al-Hakim, Al-'Alim pasti meyakini ada hikmah besar di sebalik tanggungjawab nafkah yang Dia tetapkan pada si suami.
Seorang isteri & ibu sebenarnya punya tanggungjawab besar duduk di rumah untuk mendidik anak-anak akan wahyu. Inilah teladan besar Maryam dalam Al-Quran. Walaupun tidak bersuami, tetap sahaja Allah SWT highlight usahanya didik anak akan wahyu. Tiada kisah-kisah Maryam dalam Al-Quran yang menggambarkan sosok wanita bekerjaya meskipun kita tahu dia tiada suami yang menafkahi. Tetap sahaja teladan yang dibentangkan dalam Al-Quran adalah peranan Maryam mengasuh & mendidik anaknya.
Justeru, wanita solehah seharusnya cakna persiapkan diri dengan kefahaman agama serta kefahaman wahyu agar saat tiba detik waktu diamanahkan anak, mampu berprestasi sebaiknya. Menjadi madrasah pertama anak-anak di rumah. Didokong peranan suami yang menafkahi seisi keluarga.
.
.
.
.
.
Tiba-tiba post topik ni.
Yang sebenarnya tengah merenung kalimah لِتُحۡصِنَكُم Surah Al-Anbiya' ketika ulangkaji juz 17 untuk exam...
Ulasan
Catat Ulasan