Pengorbanan untuk rasa cukup dengan apa yang mampu disediakan suami


Pengorbanan untuk rasa cukup dengan apa yang mampu disediakan oleh suami. 
______________________

Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah s.w.t yang memilih kehidupan "simple" tidak mewah. Ketika fasa Muslim semakin kuat terutamanya selepas menang dan dapat banyak rampasan perang (Khaibar, Hunain), isteri-isteri baginda berpakat untuk meminta "upgrade" gaya hidup, sebagaimana masyarakat Muslim ketika itu semakin baik taraf hidupnya. Desakan isteri-isteri Nabi membuatkan baginda rasa tidak senang. 

Harus difahami bahawa apa yang diminta isteri-isteri Nabi s.a.w bukanlah suatu dosa. Permintaan mereka adalah kehendak manusiawi dan melalui peristiwa ini jugalah umat Islam belajar untuk mengurus konflik rumahtangga sebaiknya. 

Allah SWT menurunkan ayat berikut dan ayat ini digelar "ayat pilihan". 

======
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيۡنَ أُمَتِّعۡكُنَّ وَأُسَرِّحۡكُنَّ سَرَاحٗا جَمِيلٗا }

Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.

{ وَإِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَ فَإِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلۡمُحۡسِنَٰتِ مِنكُنَّ أَجۡرًا عَظِيمٗا }

"Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar".

[Surah Al-Aḥzāb: 28-29]
======

Kesemua isteri-isteri Nabi saw memilih baginda, Allah SWT dan Negeri akhirat. 

Ayat di atas adalah khusus kepada Nabi s.a.w dan kita sebagai umatnya, boleh belajar banyak perkara. 

Pertama, seorang isteri haruslah memahami tugas suami, bukan sekadar untuk menyara keluarga tetapi juga bertanggungjawab menyampaikan risalah kepada masyarakat, menyampaikan kandungan wahyu. Kemewahan dan keterikatan kepada dunia boleh mengganggu tujuan utama manusia iaitu khalifah yang mengajarkan apa yang diajar oleh Allah SWT (Quran). Ketika si suami adalah qowwam dan muhson, serta memilih galas tanggungjawab khalifah, belajarlah untuk tidak membebankan suami dengan permintaan-permintaan yang menyesakkan. Hidup mengejar harta dan gaya hidup mewah berisiko melalaikan manusia daripada fungsi penciptaannya akibat sibuk bekerja. Sebaliknya, bersabarlah dan beramallah demi mendapatkan nikmat kemewahan di syurga. Meskipun hidup tidak mewah di dunia kerana suami memilih hidup sekadarnya agar punyai waktu melakukan tugas dakwah, tetapi kesabaran itu dinilai Allah SWT dan dijanjikan ganjaran syurga. 

Kedua, meskipun ayat di atas terlihat "keras" kerana membawa kepada pilihan perceraian. Tetapi ada teladan baik daripada Nabi Muhammad saw bahawa ketika berlaku konflik yang menjurus kepada perceraian, lakukanlah secara baik. Bercerailah dengan baik. Suami, berilah saguhati (mut'ah) kerana pemberian itu adalah tanda  jiwa taqwa (AlBaqarah :236). Dan, usahlah zalimi pasangan yang diceraikan sebaliknya lakukanlah proses perceraian dengan cara sebaik-baiknya. 

Ketiga, kita juga belajar daripada Ayat ke-29 ini, bahawa setiap kita bertanggungjawab untuk beramal soleh. Tidak boleh mengharapkan pada keturunan mahupun ikatan perkahwinan. Bahkan isteri Nabi sekalipun, dijanjikan ganjaran syurga atas amalan mereka, bukan kerana ikatan perkahwinan mereka dengan Nabi. 

فَإِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلۡمُحۡسِنَٰتِ مِنكُنَّ أَجۡرًا عَظِيمٗا
Pada ayat ini, Allah SWT tidak menyatakan "ganjaran besar bagi isteri-isteri Nabi". 

Tidak. 

Sebaliknya Allah SWT berfirman, "ganjaran besar adalah bagi orang-orang yang berbuat baik."

Hakikatnya, iman dan amal soleh tidak dapat diwarisi. Isteri-isteri Nabi saw juga tiada jaminan syurga melalui ikatan perkahwinan mereka dengan Nabi.  Pada Sisi Allah SWT, semulia-mulia manusia adalah yang tinggi taqwanya. Bukan kerana pertalian darah mahupun ikatan perkahwinan.

#033AlAhzab

Ulasan