3 jenis pewaris AlQuran



Tatkala perginya seseorang meninggalkan dunia ini, hartanya diwarisi anak-anak atau ahli faraid. Terkadang, jadi konflik keluarga apabila ada yang berebut, tidak puas hati dengan pembahagian harta. 

Masing-masing mempertahankan hak. 
Masing-masing mahu mendapatkan apa yang diwariskan. 

Apakah ada di sana, golongan pewaris yang tatkala diberikan harta warisan, bersikap acuh tak acuh? Sudah diberikan tetapi enggan menerima. Bahkan tidak memandangnya sekalipun? 

Sudah dibahagikan, tetapi tidak mempedulikannya. 

Mari renungkan sesuatu. 
Tentang sesuatu yang bukan pasangan, orang tua, dan bukan juga mana-mana manusia yang mewariskan. 

Mari renungkan sesuatu yang diwariskan Tuhan. Iya, Allah SWT yang mewariskan. 
 
Dia mewariskan Al-Kitab. 

Bermula dengan menyampaikannya kepada Rasul saw. 

=====
{ وَٱلَّذِيٓ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ هُوَ ٱلۡحَقُّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِعِبَادِهِۦ لَخَبِيرُۢ بَصِيرٞ }
Dan Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya, lagi Maha Melihat dan memerhatikan.

[Surah Fāṭir: 31]
=====

Setelah mewahyukan Al-Quran kepada Nabi saw, kitab itu diwariskan pula kepada hamba-hambaNya. 

Dan hamba-hambaNya terbahagi kepada 3 golongan. 

=====
{ ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٞ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡهُم مُّقۡتَصِدٞ وَمِنۡهُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٰتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡكَبِيرُ }

Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).

[Surah Fāṭir: 32]
=====

Ada manusia, sebenarnya dapat akses kepada Al-Quran. Tetapi memilih mengabaikannya. Enggan tahu kandungannya. Melanggar perintah di dalamnya. Dan melakukan larangan-larangan Tuhan. Inilah kategori pewaris Al-Quran yang zalim. AlQuran diwariskan kepadanya tetapi dia bersikap acuh tak acuh. Persis manusia sombong, enggan terima apa yang diberikan Tuhan. 

Golongan kedua pula, adalah manusia yang melakukan apa yang Tuhan suruh dalam wahyu. Pada masa yang sama meninggalkan larangan-larangan Tuhan. Tetapi enggan membuat perkara-perkara sunat saranan Quran. Juga masih bergelumang hal-hal makruh. Dia juga enggan menyampaikan kandungan wahyu, tidak mewariskan kandungan wahyu kepada generasi seterusnya. Ini adalah golongan muqtasid , iaitu golongan sederhana. 

Golongan ketiga pula adalah manusia yang berlumba-lumba membuat kebaikan. Pastinya mereka memenuhi hak Al-Quran. Mereka mentaati Allah SWT bermula dengan memahami kandungan alquran. Bahkan mereka turut mewariskan Al-Quran kepada generasi berikutnya. Tidak menyembungikannya daripada generasi berikutnya. 

Kerana hak AlQuran hakikatnya adalah untuk diwarisi dan disampaikan kepada anak-anak. Inilah golongan saabiqun bil khairat. 

Merenung ayat ini, refleksi diri. 
Sudahkah saya memilih menjadi hamba Robb yang diwariskan dengan Al-Quran? 
Apakah saya mampu mewariskan pula AlQuran ini kepada anak-anak, generasi berikutnya?

Wahai manusia , mungkin ramai yang bercita-cita mewariskan harta kepada anak-anak seandainya tiba waktu ajal. 
Tetapi sudahkah sedar bahawa perkara yang paling besar untuk diwariskan kepada anak-anak adalah kefahaman Alquran?

Seorang anak mungkin tidak mewarisi harta yang banyak. Tetapi jika dia tidak mewarisi Al-Quran, itulah kerugian paling besar.

Ulasan