"Dad, I love you"

 


"Dad, I love you."
Seorang kanak-kanak lelaki tanpa rasa takut berkongsi apa yang baru dialami kepada si ayah.
Tutur katanya bermula dengan kalimah cinta.
=====
{ إِذۡ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَٰٓأَبَتِ إِنِّي رَأَيۡتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوۡكَبٗا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ رَأَيۡتُهُمۡ لِي سَٰجِدِينَ }
(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku".
[Surah Yûsuf: 4]
=====
Ada sesuatu yang boleh dipelajari daripada kalimah يَٰٓأَبَتِ . Ungkapan sayang jadi pembuka bicara antara seorang anak dan ayah.
Jarang fenomena ini berlaku.
Kerana ada keluarga, ayah dilihat sebagai sosok peribadi yang garang, jarang punyai masa dengan anak dan berbahaya dijadikan tempat mengadu. Dalam keluarga sebegini, kebanyakan anak-anak memilih memendam rasa, diam, cuba sebaik-baiknya elak daripada berurusan dengan ayah.
Supaya tidak dimarahi,
Supaya tiada apa yang tak kena.
Supaya semuanya nampak baik-baik sahaja.
Sebaliknya, cuba bayangkan suasana keluarga yang si ayah sentiasa memberi rasa selamat buat anaknya dengan tutur kata cinta.
"Ahmad sayang, jom kemas mainan."
Atau
"Papa sayang Nurul. Jom kita makan."
Jika bahasa cinta sentiasa diungkapkan dalam interaksi sehari-hari, anak-anak belajar meluahkan rasa cinta tanpa kekok. Anaknya membesar dan dewasa sebagai seorang yang tak kekok memberikan rasa sayang kepada yang di sekeliling
Begitulah teladan seorang ayah, Nabi Yaakub a.s yang sentiasa berkomunikasi dengan bahasa kasih sayang dengan anaknya Nabi Yusuf a.s.
.
.
.
Bahasa cinta setiap individu berbeza-beza.
Ada yang mengungkapkan dengan kata-kata.
Ada yang membuktikan dengan khidmat bakti.
Ada yang meluahkan dengan sentuhan kasih sayang.
Namun, ada satu teladan Nabi Yaakub a.s yang boleh kita pelajari. Itulah dengan memberikan RUANG (SPACE) selamat buat yang dikasihi untuk berkongsi & meluahkan.
Pernahkah, kita punyai satu isu yang mahu dikongsikan kepada seseorang yang dipercayai? Lalu selepas berkongsi, dia memberikan respon negatif seperti memburuk-burukkan idea dan mengecam cita-cita besar kita.
Apa berlaku kemudian?
Kita tidak lagi percaya kepadanya dan selamanya tidak akan lagi meluahkan dan berkongsi isu dan impian.
Rasa tidak selamat.
Rasa tidak dibantu.
Begitulah bilamana lawan bicara enggan beri ruang. Acuh tak acuh mendengar bahkan mengkritik cita-cita besar.
Peribadi Nabi Yaakub a.s. mengajar kita untuk jadi pendengar yang setia. Bukan sekadar berikan perhatian tatkala si anak berbicara tetapi termasuklah menzahirkan rasa peduli dan sayang.
Dengar dengan prihatin.
Tidak menghukum.
Mendidik.
Semakin banyak RUANG yang diberikan kepada seseorang, semakin besar rasa sayang dan cinta orang pada dirinya.
Ada ibu bapa berkeras mahu si anak realisasikan cita-citanya yang tidak keaampaian. Lalu si anak dipaksa menjalani kehidupan ikut skrip ibu bapa semata-mata. Terpadam potensi si anak. Rapuh hubungan antara anak dan orang tua.
Sebaliknya, ibu bapa yang mahu si anak mengabdikan diri kepada Allah s.w.t, berusaha sebaiknya mendidik anak dengan panduan wahyu. Soal cita-cita dan impian, diserahkan pada si anak. Bukankah setiap anak direzekikan potensi berbeza yang wajib disyukuri?
Inilah pengajaran besar episod satu Story Night : Rise Above. Nabi Yaakub a.s mendengar penuh rasa peduli perkongsian mimpi anaknya.
Baginda persiapkan jiwa anak dengan perspektif kebenaran tentang hidup. Baginda mendidik anaknya agar garap cara fikir yang benar terhadap kehidupan.
Bahawa saat terpilih melalui kehidupan seperti moyangnya Nabi Ibrahim a.s, percayalah bahawa akan sentiasa diuji.
Dan pada setiap ujian, ada didikan besar daripada Allah s.w.t
=====
{ وَكَذَٰلِكَ يَجۡتَبِيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأۡوِيلِ ٱلۡأَحَادِيثِ وَيُتِمُّ نِعۡمَتَهُۥ عَلَيۡكَ وَعَلَىٰٓ ءَالِ يَعۡقُوبَ كَمَآ أَتَمَّهَا عَلَىٰٓ أَبَوَيۡكَ مِن قَبۡلُ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡحَٰقَۚ إِنَّ رَبَّكَ عَلِيمٌ حَكِيمٞ }
Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana Dia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
[Surah Yûsuf: 6]
=====
Refleksi kehidupan keluarga zaman sekarang, ibu bapa terlalu sibuk berkerja untuk menampung keperluan ekonomi keluarga. Akibatnya, anak-anak tidak dipersiapkan dengan cara pandang hidup yang benar.
Anak-anak tidak dididik dengan panduan wahyu.
Akibatnya, anak jadi generasi lemah.
Diberi kerja rumah, cepat mengadu khuatir dapat penyakit mental.
Didisiplinkan guru di sekolah, rasa seperti didera.
Kasihan.
Jika generasi yang ada jadi generasi kurang sabar, mahu semuanya cepat dan mahu semuanya senang.
Diuji dengan kesusahan sedikit sahaja, terus mengalah, merasakan diri mangsa, cepat-cepat hebah di media sosial.
Dunia ibarat berlumba-lumba siapa yang paling
hebat
menjadi "mangsa".
Semua yang berlaku sentiasa orang lain dipersalahkan. Sedangkan dirinya enggan bertanggungjawab.
Jika ingin bercakap soal trauma, Nabi Yusuf a.s lah antara manusia yang paling logik dapat trauma.
Sudahlah ditinggalkan abang-abang di perigi buta. Kemudian dijual sebagai hamba. Dimasukkan ke penjara lagi tanpa kesalahan.
Namun,
Nabi Yusuf a.s tidak pernah merasakan dirinya mangsa yang berputus asa daripada kebahagiaan hidup.
Kenapa?
Jiwanya telahpun dipersiapkan si ayah dengan perspektif hidup benar berpandukan wahyu.
Bahawa hidup ini memang susah.
Bahawa hidup ini memang untuk diuji.
Bahawa jika jadi insan pilihan Allah s.w.t, maka kehidupan akan terus dan terus diuji seperti Nabi Ibrahim a.s.
Betapa signifikan pengaruh didikan seorang ayah kepada anak.
Memang realiti, ibu bapalah madrasah utama pendidikan anak-anak.
Anak-anak mungkin belajar "teori" mengenai Islam di sekolah.
Namun, untuk menumbuhkan Iman & aplikasi amal, perlukan teladan ibu & ayah di rumah.
Jika si ayah sentiasa sabar daripada marah dan sering mengungkapkan Bahasa cinta, si anak dapat merasai kasih sayangnya.
Realiti kasih sayang memang tak boleh dibeli dengan Wang ringgit.
Jika mahu dikasihi, haruslah mengasihi.


Ulasan