Anda adalah ibu bapa?
Pasti biasa berhadapan dengan perangai anak-anak yang buat kesilapan.
Adakalanya, kesilapan mereka sekadar kelemahan manusiawi, bukan berbentuk dosa.
Dan ada juga yang buat kesilapan berbentuk maksiat.
Saat mengetahui si anak melakukan kesilapan, bagaimana diri memberi reaksi?
Nabi Yaakub a.s. menunjukkan teladan mulia dengan sabar yang Indah.
Tatkala menyedari bahawa anak-anaknya menipu dan telah melakukan jenayah berat membunuh si adik iaitu Yusuf a.s, Nabi Yaakub a.s memilih untuk sabar.
=====
{ وَجَآءُو عَلَىٰ قَمِيصِهِۦ بِدَمٖ كَذِبٖۚ قَالَ بَلۡ سَوَّلَتۡ لَكُمۡ أَنفُسُكُمۡ أَمۡرٗاۖ فَصَبۡرٞ جَمِيلٞۖ وَٱللَّهُ ٱلۡمُسۡتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ }
Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: "Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu."
[Surah Yūsuf: 18]
=====
Nabi Yaakub a.s tidak mengeluarkan kata-kata kasar mahupun kesat tetapi baginda membicarakan kata-kata membekas supaya anak-anaknya kembali, bertaubat.
Realitinya, anak-anak adalah ujian.
=====
{ إِنَّمَآ أَمۡوَٰلُكُمۡ وَأَوۡلَٰدُكُمۡ فِتۡنَةٞۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥٓ أَجۡرٌ عَظِيمٞ }
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.
[Surah At-Taghābun: 15]
=====
Jika berlaku situasi yang menggoncangkan Iman, menaikkan amarah, pilihlah untuk sabar. Pilihlah untuk menahan diri daripada melakukan apa-apa Yang sekadar mahu memuaskan emosi marah.
Sebaliknya, perjelaskan sistem nilai.
Apakah nilai yang mahu dizahirkan?
Mahu jadi ibu bapa penyayang? Penyabar? Yang berterusan mendidik hingga ke akhirnya?
Selanjutnya, pilihan tindakan yang selari nilai. Santuni anak-anak dengan belas kasihan.
Moga-moga ibu bapa dikurniakan taufiq untuk mendidik anak-anak mengikut pedoman wahyu.
Ulasan
Catat Ulasan