Lama dulu, saya selalu bertanyakan pada diri,
"Betulkah kalau puasa, akan meningkatkan taqwa?"
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, [Al Baqarah:183]
Saya merenung diri sendiri, cuba merefleksi senarai semak taqwa, entah tercapai atau tidak tujuan madrasah Ramadan saban tahun.
Secara jujur, ada tahun, saya tak nampak pun perbezaan. Terasa sama sahaja. Lalu timbul lagi persoalan,
"Betulkah puasa boleh meningkatkan taqwa?"
Tetapi, peristiwa tahun lepas membuatkan saya rasa tunduk kepada Robb atas didikan Ramadan saban tahun.
Apakah yang berlaku tahun lepas?
Tiga daripada peserta kajian saya mengungkapkan syukur kerana selepas program diet yang dihadiri, mereka turut memperbaiki lapangan kehidupan yang lain menggunakan kemahiran yang sama.
Saya mampu bangun tahajjud sedangkan terasa berat sebelum ini.
Saya mampu siapkan "final year project" sedangkan selama ini selalu bertangguh.
Saya mampu hadap stres final year exam sedangkan selama ini saya cuba melarikan diri daripada semua yang beri tekanan.
Pelik bukan?
Saya bukan buat program ibadah melatih tahajjud.
Saya bukan buat program motivasi untuk menyiapkan thesis final year project.
Saya juga bukan buat program persiapan menghadapi peperiksaan.
Hanya dengan membuat program khusus ubah tabiat makan melalui pendekatan psikologi (Acceptance and Commitment Therapy), para peserta mampu memperbaiki hidupnya menggunakan kemahiran yang baru dipelajari.
Khususnya tentang cabaran yang mereka ungkapkan, sebenarnya mereka memanfaatkan kemahiran "Acceptance". Itulah kemahiran membuka ruang kepada segala ketidakselesaan pengalaman dalam diri seperti rasa malas, emosi sedih dan takut, tetapi pada masa yang sama, tetap buat tindakan selari nilai yang dipegang. Tidak biarkan diri tercengkam atau dipengaruhi pengalaman dalam diri yang tidak menyelesakan.
Ya, rasa berat ada di situ.
Ya, rasa takut dan penat ada di situ.
Ya, rasa bimbang ada di situ.
Dan terus pilih tindakan selari nilai yang dipegang, tidak tercengkam dengan segala rasa yang menghambat motivasi.
Apa yang Tuhan ajarkan kita setiap kali Ramadan?
Selain mukjizat Al-Quran yang menghidupkan dan merawat hati, ada satu elemen yang dilatih dalam diri khususnya cara individu mukmin mengurus dua syahwat besarnya iaitu nafsu makan dan seksual.
أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُمۡۚ هُنَّ لِبَاسٞ لَّكُمۡ وَأَنتُمۡ لِبَاسٞ لَّهُنَّۗ عَلِمَ ٱللَّهُ أَنَّكُمۡ كُنتُمۡ تَخۡتَانُونَ أَنفُسَكُمۡ فَتَابَ عَلَيۡكُمۡ وَعَفَا عَنكُمۡۖ فَٱلۡـَٰٔنَ بَٰشِرُوهُنَّ وَٱبۡتَغُواْ مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمۡۚ وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَيۡطُ ٱلۡأَبۡيَضُ مِنَ ٱلۡخَيۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِۖ ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيۡلِۚ وَلَا تُبَٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمۡ عَٰكِفُونَ فِي ٱلۡمَسَٰجِدِۗ تِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَقۡرَبُوهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ ءَايَٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَّقُونَ ١٨٧
Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamupun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri'tikaf dalam mesjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa.
[Al Baqarah:187]
Berpasakkan nilai iman, seorang mukmin itu sanggup mengizinkan rasa lapar dan dahaga muncul dalam dirinya, serta desakan seksual yang hadir di siang hari, tanpa cuba menghilangkannya dengan membatalkan puasa.
Kenapa tak sanggup batalkan puasa sedangkan segala gejolak yang hadir dalam diri sangat mengganggu dan tidak menyelesakan?
Ini kerana ada nilai iman dan syurga yang jauh lebih besar daripada cuba mengawal desakan pengalaman dalam diri yang sangat mengganggu.
Bermula dengan latihan terhadap dua syahwat ini, kemahiran sama sebenarnya boleh diaplikasikan dalam banyak lapangan kehidupan yang lain:
- Rasa marah yang membuak-buak, tetapi ada nilai menahan marah yang jauh lebih besar ganjarannya sebagaimana dinukilkan dalam Al-Quran. Lalu sanggup mengizinkan rasa marah singgah dalam hati tanpa cuba menghilangkannya dengan melepaskan kemarahan.
- Rasa cinta terhadap harta sehingga nyaris menjadi bakhil. Tetapi hati terisi input nilai sedekah, lalu sanggup mengalami segala rasa "takut" dan tidak selesa memberi sedangkan tangan teruskan menghulur, tidak memperturutkan segala rasa dalam diri.

Ulasan
Catat Ulasan