Memaknai hidup bersendirian sebagai wanita melalui lensa wahyu

Jurang realiti (reality gap) sering membuat insan gelisah. Bahkan, tanpa panduan Tuhan, ini boleh jadi ruang untuk bisikan-bisikan syaitan merajai. Apabila manusia jauh daripada wahyu, yang memandu kehidupan adalah bentuk-bentuk "solusi" diajar musuh nyata untuk semakin jauh daripada jalan yang lurus. 


"Kau nak mendirikan rumahtangga, nak ada anak. Tapi umur dah nak masuk 40 tahun, masih hidup sendiri... Tak risau ke?

Bermula dengan persoalan-persoalan berkenaan kehidupan yang tak sama dengan skrip hidup "standard" masyarakat, manusia itu boleh terjerat perangkap syaitan yang membuatkan diri mengambil tindakan-tindakan menyimpang. 

"Kau tak nak kawan dengan lelaki, kau takde boyfriend sebab tu kau masih single sampai sekarang." 

"Kau cerewet sangat, sebab tu tak kahwin-kahwin." 

Saat harapan dan cita-cita manusia dijadikan standard kehidupan, kegelisahan dan kerisauan memenuhi ruang di dada. Hati yang tidak tenang ini bahkan  berisiko menolak insan untuk merancang jalan-jalan dosa demi meraih tujuan.

"Mungkin kena goda seseorang baru kau boleh kahwin."

Hah. 

Belumkah tiba masanya untuk kembali meluruskan cara fikir sesuai panduan Tuhan? Apa kata Tuhan tentang hidup bersendirian? 

Izinkan saya berkongsi 3 fakta kebenaran berpandukan wahyu dalam kita memaknai hidup sendiri tanpa pasangan ini. 


***

Pertama, kau bukanlah satu-satunya manusia yang diuji hidup tanpa pasangan. 

Ada sirot atau jalan hidup mereka yang telah pergi untuk dijadikan teladan. Bukankah doa yang diungkapkan setiap solat adalah agar ditunjukkan sirot. 

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ  ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ  ٧

6.  Tunjukilah kami jalan yang lurus,

7.  (yaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.


Sudahkah berusaha belajar mengenai sirot mereka yang hidup membujang?

Maryam r.a, Nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s adalah tiga sosok tokoh dalam Al-Quran yang hidup sezaman dan ketiga-tiganya dipilih Robb untuk ditakdirkan hidup tanpa pasangan. Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa kesemua tokoh-tokoh besar ini tidak mendirikan rumahtangga? Jawapan sebenar, Allahu 'alam. Tetapi ada sesuatu yang kita tahu tentang isu zaman mereka iaitu para agamawan di zaman mereka menyelewengkan agama dan mempengaruhi masyarakat awam. Dalilnya ada pada doa Nabi Zakariya a.s yang sudah hilang kepercayaan pada agamawan yang ada. 

 

قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ ٱلۡعَظۡمُ مِنِّي وَٱشۡتَعَلَ ٱلرَّأۡسُ شَيۡبٗا وَلَمۡ أَكُنۢ بِدُعَآئِكَ رَبِّ شَقِيّٗا  ٤ وَإِنِّي خِفۡتُ ٱلۡمَوَٰلِيَ مِن وَرَآءِي وَكَانَتِ ٱمۡرَأَتِي عَاقِرٗا فَهَبۡ لِي مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا  ٥ يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنۡ ءَالِ يَعۡقُوبَۖ وَٱجۡعَلۡهُ رَبِّ رَضِيّٗا  ٦

Dia (Nabi Zakariyya) merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku dan telah putih melepaklah uban kepalaku dan aku wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu. (4) Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki. (5) Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub dan jadikanlah dia wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai. (6)

Surah Maryam,19 : 4-6


Kemuncak kerosakan yang berlaku pada zaman mereka adalah apabila nabi-nabi sendiri dibunuh. Nabi Isa a.s cuba dibunuh tetapi diangkat oleh Allah SWT. 

Apakah pengajaran yang kita boleh garap tentang ini? 

Saat agamawan menyimpang daripada kebenaran, "kuasa" yang ada pada mereka boleh mengaburi mata masyarakat mengakibatkan masyarakat menormalisasi perkara haram kerana dianggap "halal". Tatkala agamawan menghalalkan yang haram, rosaklah satu masyarakat. Lalu, bagaimana mungkin seseorang itu menemukan calon jodoh yang sesuai bagi menjadikan rumahtangga itu sebagai ibadah? Cara fikir masyarakat telahpun menyimpang, lalu tak mudah mendapatkan calon pasangan yang memahami agama selari panduan kebenaran. Kekeliruan dalam beragama ini memang mengundang retak dalam rumahtangga, lalu apa pilihan yang ada? 

Selain ketiga-tiga tokoh pada zaman tersebut, wanita-wanita beriman zaman Nabi Lut a.s juga hidup membujang. Kerana lelaki-lelaki yang ada pada zaman mereka terpalit dosa homoseksual dan tidak menginginkan wanita. Jika contoh sebelum ini membawakan kes agamawan yang merosakkan sistem fikir masyarakat, menormalisasikan yang haram. Pada konteks zaman Nabi Lut a.s pula, puncanya adalah pada hawa nafsu tak terkendali kalangan masyarakat. Kesannya, membujanglah wanita and its totally OK to remain single in this kind of situation. Siapa sanggup untuk kahwin dengan gay ataupun penzina?

Ada lagi, teladan Nabi Yusuf a.s dalam Quran, khusus berkenaan hidup sebagai seorang bujang yang diuji godaan wanita. Tetapi baginda lebih sanggup dimasukkan ke penjara untuk taat kepada Allah SWT berbanding hidup merdeka yang terpaksa memenuhi kehendak hawa nafsu wanita-wanita zamannya. Ini juga memberikan kita panduan dahsyat dalam mengemudi kehidupan. Bahawa tidak mengapa untuk hidup di bawah (contohnya dipenjarakan) demi ketaatan kepada Robb. Sedangkan realiti zaman ini, ada yang sanggup menggadaikan prinsip dan maruah atas faktor kerisauan berkenaan rezeki. 

"Aku kena buat begini  begini sebab kalau tak, boss aku marah." 

"Aku kena ikut apa yang boss aku nak, sebab kalau tidak dia boleh pecat aku."

Kerisauan mengenai hal rezeki memang mengundang... Justeru, setiap individu perlu kerahkan usaha belajar dan memaknai konsep "rezeki" yang benar agar tidak terperangkap bisikan syaitan. 


***


Kedua, khusus buat wanita beriman, persoalan tentang "Bila kau nak kahwin?" tak sepatutnya timbul sehingga mengakibatkan hati gelisah. 

Mengapa? 

Kerana Allah SWT sendiri tidak pernah membebankan wanita dengan persoalan ini. Jika kita perhatikan ayat-ayat Quran mengenai "nikah", hanya tiga golongan yang dipertanggungjawabkan tentang persoalan ini iaitu : 

1. Lelaki (Al-Baqarah, 2 : 221)
2. Wali kepada wanita (e.g ayah)  (Al-Baqarah, 2 : 221)
3. Lelaki dan wanita yang telah berumahtangga (suami isteri) kalangan si bujang (An-Nur, 24 : 32)

Justeru, wahai wanita beriman, mengapa perlu gundah tentang hal ini sedangkan Allah SWT tidak pernah meletakkan persoalan ini untuk dihisab. 

***

Ketiga, perkahwinan itu hanyalah salah satu jalan pengabdian bagi mendapatkan syurga. Tanpanya, kau masih berpeluang meraih syurga. Kerana syurga itu bukan hanya untuk mereka yang ada pasangan. Yang hidup bujang juga dibuka peluang seluas-luasnya bagi mendapatkan syurga. 

Seringkali, kerisauan tentang apa yang tiada di genggaman (misalnya perkahwinan dan anak) membuatkan seseorang itu terlupa apa yang telahpun sedia dikurniakan Tuhan. Lalu nikmat-nikmat kurniaanNya dikufuri, tidak dimanfaatkan. 

Renung-renungkan firman Tuhan ini: 

وَلَا تَتَمَنَّوۡاْ مَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بِهِۦ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٞ مِّمَّا ٱكۡتَسَبُواْۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٞ مِّمَّا ٱكۡتَسَبۡنَۚ وَسَۡٔلُواْ ٱللَّهَ مِن فَضۡلِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٗا  ٣٢

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

An-Nisa’,4 : 32

Ilusi perbandingan memang boleh memerangkap manusia. 


"Kenapa dia usia muda dah ada suami dan anak. Kenapa saya tiada?" 

"Kenapa dia senang sangat kahwin? Lepas bercerai, terus dapat suami baru."


Allah SWT mengajar kita untuk mengurus pengharapan. Berhentilah membandingkan diri dengan orang lain. Sebaliknya fokus pada amal sendiri. Dan mintalah kepada Allah SWT segala yang dihajati tanpa mengabaikan peranan dan tanggungjawab sedia ada. 


Lalu, apakah peranan hidup yang perlu saya mainkan agar memaknai hidup bersendirian tanpa pasangan di dunia? Apakah amal soleh yang perlu saya usahakan? 

(mode malas menulis datang, saya tulis points sahaja, sila tadabbur dan kaji sendiri). 

  1.  Ambil peranan untuk jadi manusia terpilih yang memperuntukkan 1/3 waktu malam (1/3 x 12 jam = 4 jam) untuk belajar Al-Quran, merungkai persoalan hidup masyarakat dan memberikan solusi. Rujuk surah Al-Muzammil: 20
  2. Bekerjalah sebagai seorang manusia yang pelihara kehormatan diri (rujuk surah Al-Qasas, 28: 23-25) Tak menggoda orang sana-sini. Tapi sentiasa 'afaf (rujuk surah An-Nur, 24 :33)
  3. Berbakti kepada ibu  bapa sehabis baik dan buktikan kesyukuran sebagai seorang hamba dengan komited pada dakwah (Surah Al-Ahqaf , 46 : 15)

Mungkin ada banyak lagi points amal soleh. Tetapi tiga atas ni pun dah cukup membuatkan seorang single tu busy. 

***

Sehingga akhirnya, moga setiap yang diuji hidup sendiri tanpa pasangan dunia, terus dilimpahkan hidayah dan taufiq dalam mengemudi kehidupan selari panduan Robb Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani. 

Semoga setiap yang diuji hidup tanpa pasangan mampu memaknainya sebagai satu rahmat daripada Tuhan. 

Suka saya nak petik pesan Dr Sholihah Kaswari mengenai makna hidup bersendirian. 


"Maknailah hidup bersendirian itu sebagai waktu kebersamaan dengan Allah SWT." 


Saat tiada manusia mendampingimu, mungkin itu adalah aturan Tuhan untuk didik diri banyak meluangkan waktu menyendiri bersama Tuhan. 


Ulasan