Berlumba-lumba mengurangkan hak atau memenuhi hak?



Dalam sebuah rumah, seorang bapa menunggu isterinya menyediakan makan malam. Hatinya panas kerana lama menunggu. isterinya masih menyusukan bayi yang baru berusia kurang setahun. Dia mula mengherdik, si isteri terkocoh-kocoh meletakkan bayi dan bergegas ke dapur. Dalam hati si suami rasa puas. "Rugi aku sediakan makanan sendiri. Beras semua aku beli. Aku tak patut buat kerja-kerja rumah sebab dah penat kerja luar". 

Dalam sebuah rumah yang lain, kedengaran bayi kecil menangis di samping si bapa yang tidur, penat bekerja shif malam sebelumnya dan baru pulang ketika subuh. Dari corong CCTV rumah, kedengaran si ibu memarahi ayah dari pejabat. "Kenapa tidur waktu jaga baby?" Dalam hati si isteri terbit rasa geram. "Aku dah penat-penat mengandung dan lahirkan anak. Sekarang kaulah kena fikir macam mana nak jaga anak tu." 

Fenomena berlumba-lumba. 

Ada yang berlumba-lumba agar memastikan hak diri dipenuhi dan rasa "berjaya" jika pihak lawan dikurangi hak. 

Begitulah Ilusi "menang".

=====

{ وَیۡلࣱ لِّلۡمُطَفِّفِینَ (1) ٱلَّذِینَ إِذَا ٱكۡتَالُوا۟ عَلَى ٱلنَّاسِ یَسۡتَوۡفُونَ (2) وَإِذَا كَالُوهُمۡ أَو وَّزَنُوهُمۡ یُخۡسِرُونَ (3) أَلَا یَظُنُّ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَنَّهُم مَّبۡعُوثُونَ (4) لِیَوۡمٍ عَظِیمࣲ (5) یَوۡمَ یَقُومُ ٱلنَّاسُ لِرَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ (6) }

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)?Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya),Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam?

[Surah Al-Muṭaffifīn: 1-6]
=====

Apabila dunia menjadi matlamat, segala usaha dan pengorbanan dilihat "rugi". Lalu manusia berlumba-lumba untuk mengurangkan hak orang lain. Si suami enggan menyediakan makanan dan pakaian kepada si ibu yang ada anak kurang dua tahun. Ada juga si ibu enggan menjaga dan menyusukan anak kerana ada kehendak diri yang mahu diprioriti. 

=====
{ ۞وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ لَا تُكَلَّفُ نَفۡسٌ إِلَّا وُسۡعَهَاۚ 

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. 
[Surah Al-Baqarah: 233]
=====

Namun, jika manusia itu miliki Iman pada Hari akhirat, niscaya segala kesusahan dan kelelahan itu sanggup digalas. Kerana ganjaran syurga itu terlalu tinggi nilainya. Menyebabkan diri mahu berlumba-lumba memenuhi hak orang lain. 

=====
{ إِنَّ ٱلۡأَبۡرَارَ لَفِی نَعِیمٍ (22) عَلَى ٱلۡأَرَاۤىِٕكِ یَنظُرُونَ (23) تَعۡرِفُ فِی وُجُوهِهِمۡ نَضۡرَةَ ٱلنَّعِیمِ (24) یُسۡقَوۡنَ مِن رَّحِیقࣲ مَّخۡتُومٍ (25) خِتَـٰمُهُۥ مِسۡكࣱۚ وَفِی ذَ ٰ⁠لِكَ فَلۡیَتَنَافَسِ ٱلۡمُتَنَـٰفِسُونَ (26) }

Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat: Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ).Engkau dapat melihat pada muka mereka: cahaya nikmat yang mereka perolehi.Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya,Meterainya kasturi; - dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan;

[Surah Al-Muṭaffifīn: 22-26]

Ulasan