Kerana dunia benar-benar sementara



Pernah menanam sebarang tanaman?

Pada fasa awal, penuh harapan mahu melihat benih berjaya tumbuh. 

Selanjutnya, mengharap makin membesar hingga hasilkan buah. 

Dan pasti, akan tiba waktunya, daun-daun menguning, mengering dan akhirnya gugur, diterbangkan angin. 

Semua ini kitaran yang sepatutnya beri peringatan tentang realiti dunia. 

=====
{ وَٱضۡرِبۡ لَهُم مَّثَلَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا كَمَآءٍ أَنزَلۡنَٰهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَٱخۡتَلَطَ بِهِۦ نَبَاتُ ٱلۡأَرۡضِ فَأَصۡبَحَ هَشِيمٗا تَذۡرُوهُ ٱلرِّيَٰحُۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ مُّقۡتَدِرًا }

Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

[Surah Al-Kahf: 45]
=====

Segala apa yang kita miliki, sama ada diuji dengan kehilangan nikmat ketika di dunia, atau diri sendiri terpaksa berpisah dengannya akibat jiwa dijemput kematian. 

Tiada yang kekal. 

Ada yang berlumba-lumba mengerah segala usaha, tenaga dan masa untuk mendapatkan harta dan pangkat yang diimpikan. 

Sehingga terabai tanggungjawab yang dititip Tuhan. 

Ada yang merancang dan sentiasa cari peluang berbangga-bangga dengan anak. 

Sehingga terabai peranan tarbiyyah kerana yang dikejar adalah penilaian manusia, bukan penilaian Tuhan. 

Hakikatnya, harta dan anak-anak adalah perhiasan dunia. 
Nampak Indah di mata, namun jika tidak difungsikan untuk amal soleh, tidak berguna. 

=====
{ ٱلۡمَالُ وَٱلۡبَنُونَ زِينَةُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱلۡبَٰقِيَٰتُ ٱلصَّٰلِحَٰتُ خَيۡرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابٗا وَخَيۡرٌ أَمَلٗا }

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

[Surah Al-Kahf: 46]
=====

Andai benar menyedari bahawa semua di dunia akan musnah, lalu sudahkah persiapkan diri?

Amal soleh itulah yang kekal sebagai persiapan dibawa ke akhirat. 

Masa yang diperuntukkan untuk belajar dan mengajar wahyu.
Harta yang digunakan untuk perjuangan memberi kefahaman Al-Quran. 
Tenaga yang dikerahkan untuk melaksanakan segala perintahNya. 
Emosi yang penuh jihad, cuba diurus agar jasad menzahirkan perbuatan yang dipasak nilai sabar, syukur dan pemaaf. 

Kesemua modal ini, ketika digunakan untuk melaksanakan kandungan wahyu, moga-moga tercatat sebagai amal soleh yang memberatkan timbangan. 

Amal soleh itulah sebaik-baik harapan untuk kehidupan abadi di akhirat. 


Ulasan