Tujuan ditinggikan darjat di dunia




Seorang doktor, saat dipuji "Pandainya mendiagnosa penyakit", tidaklah menerbitkan apa-apa rasa dalam diri. 

Hatinya berbisik "Bukan apa-apa pun. Memang itu tugas doktor. Memang semua doktor belajar kemahiran itu di universiti." 

Seorang guru, saat dipuji "pandainya mengajar!", si guru juga tak rasa apa-apa.

Hatinya berbicara, "Saya bukan buat apa-apa pun. Memang semua guru dilatih untuk pandai mengajar." 

Tatkala manusia jelas nikmat kemahiran dan kepakaran yang Tuhan kurniakan sebagai amanah untuk berperanan di muka bumi, tidaklah dirinya sombong dan alpa. Tidak lupa diri. Tidak bermegah-megah. 

Ini berbeza dengan si manusia yang setiap kali Tuhan kurniakan nikmat berupa harta, ilmu & kemahiran mahupun anak-anak, dirinya merasakan semua itu adalah disebabkan dirinya "istimewa". 

Timbul rasa sombong dan mahu bermegah-megah. Enggan memanfaatkannya kepada orang lain akibat bakhil yang bertitik-tolak daripada kepercayaan "Ini semua aku punya." 

Sedangkan, Allah SWT berfirman bahawa memang manusia itu dijadikan berbeza darjat. Tetapi bukan untuk bermegah-megah. Sebaliknya sebagai satu ujian agar golongan yang "di atas" mahu beri manfaat kepada golongan "di bawah". 

=====
  نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ 

Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.

[Surah Az-Zukhruf: 32]
=====

Ada manusia, dilebihkan darjatnya dengan harta yang melebihi keperluan. 
Untuk apa? 
Agar dia berpeluang membuktikan syukur dengan memanfaatkan harta tersebut kepada mereka yang memerlukan. 

Ada manusia, dilebihkan darjatnya dengan peluang banyak menuntut ilmu. 
Untuk apa? 
Agar dia berpeluang membuktikan syukur dengan mengajar ilmu kebenaran kepada yang lain. 

Kejahilan manusia dalam memahami hakikat ujian kehidupan boleh mengakibatkan gagal di dunia, berdampak sesat dalam menjalani kehidupan. Paling dikhuatiri, tidak meniti jalan lurus ke syurga. 

Justeru, berbekallah. 
Raih panduan daripada wahyu agar mampu bersikap dengan cara yang benar dalam setiap ujian kiriman Tuhan. 

Berhentilah menyikapi kurniaan nikmat sebagai bukti Tuhan memuliakan diri. Dan berhentilah memandang kemelaratan sebagai tanda Tuhan tidak sayang. 

=====
{ فَأَمَّا ٱلۡإِنسَٰنُ إِذَا مَا ٱبۡتَلَىٰهُ رَبُّهُۥ فَأَكۡرَمَهُۥ وَنَعَّمَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّيٓ أَكۡرَمَنِ }

 oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!"

{ وَأَمَّآ إِذَا مَا ٱبۡتَلَىٰهُ فَقَدَرَ عَلَيۡهِ رِزۡقَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّيٓ أَهَٰنَنِ }

Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"

[Surah Al-Fajr: 15-16]
=====

Ulasan