Kehidupan yang baik

Kebahagiaan selama-lamanya? 

Dengan bertambahnya usia, ada yang risau dengan nikmat yang bakal berakhir.
Cemburu dengan pemuda yang lebih muda.
Ada juga yang sedih dengan cita-cita & impian yang belum tercapai saat umur makin menginjak usia emas.

Memerhati fenomena drama-drama yang ditayangkan, tidak boleh tidak membuatkan kita merenung betapa manusia itu tidak suka akan sesuatu yang sementara. 

KDrama terbaru, Twinkling Watermelon memaparkan kisah "Time Travel", usaha seorang anak ubah masa depan kedua ibu bapanya. 

(saya tak tengok drama ni. Ni snippet iklan). 

Merenung dua watak, satu usia muda, satu lagi dah jadi ayah dengan anak besar panjang. Memberi kesedaran walau sebanyak mana usaha untuk capai cita-cita, semua yang di dunia akan berakhir. Semuanya sementara. 

Lalu, sedarlah kita betapa besarnya rahmat Allah SWT dengan meredai islam sebagai agama yang mempasakkan Iman pada akhirat.

Memang dunia itu sementara.
Kerana kita hakikatnya warga akhirat yang kekal selama-lamanya. 

Usia di dunia adalah modal sangat bernilai untuk memungkinkan kita mendapat hidup yang baik di dunia serta hidup yang sebenar-benarnya akhirat kelak. 

Lalu,
Bagaimana nak keluar daripada kebingungan dan kesedihan akibat nikmat-nikmat yang tidak direzekikan untuk dikecapi saat ini? 

Belajarlah wahyu.
Betulkan perspektif tentang realiti dunia.

Kehidupan yang baik itu bukan terletak pada kejayaan material semata-mata.
Tetapi, definisi yang benar adalah pada kesungguhan beramal soleh walau dalam kondisi apa sekalipun. Itulah syarat meraih kehidupan yang baik.

=====
{ مَنۡ عَمِلَ صَٰلِحٗا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنٞ فَلَنُحۡيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةٗ طَيِّبَةٗۖ وَلَنَجۡزِيَنَّهُمۡ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ }

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

[Surah An-Naḥl: 97]
======

Kehidupan yang baik itu bukan dijanjikan saat nanti-nanti bila dah kecapi material yang diinginkan. 

Tetapi, kehidupan yang baik itu ada pada waktu sekarang saat seorang hamba memilih jalani hidup selari panduanNya, menjadikan setiap tindakan sebagai amal soleh dengan memaknai erti pengabdian kepada Robb. 

Ya, usia tetap berjalan.
Garis-garis usia di wajah mula nampak.

Hakikat hidup ini tiada "Time Travel" untuk memperbaiki hal yang tidak disukai akan realiti sekarang. 

Yang ada adalah masa sekarang untuk perbaiki hidup dunia dan akhirat yang abadi.

Jika sukakan usia muda, pilihlah untuk infaq usia muda dengan kerja-kerja agama. Moga melayakkan kita jadi warga syurga yang sentiasa muda. 

Jika mencintai harta, infaqlah harta tersebut agar menjadi kekal dalam kehidupan selepas kematian kelak.

Amal soleh. 
Itulah syarat untuk Dia ganjarkan kehidupan yang baik di dunia sementara.
Dan mendapat yang jauh lebih baik di akhirat yang abadi.

=====
{ وَمَا هَٰذِهِ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا لَهۡوٞ وَلَعِبٞۚ وَإِنَّ ٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَ لَهِيَ ٱلۡحَيَوَانُۚ لَوۡ كَانُواْ يَعۡلَمُونَ }

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).

[Surah Al-ʿAnkabūt: 64]
=====

Ulasan