Tatkala etika memenuhi undangan majlis menjadi ibadah.




Waktu kecil-kecil, ketika memenuhi jemputan undangan, memang agak biasa dipesan oleh golongan dewasa,

"Jangan datang awal sangat dan jangan datang lewat tau."

Atau

"Ambil makanan, jangan lupa orang belakang." 

Pesanan-pesanan begitu, terlihat sebagai budaya atau cara orang kita menghormati orang lain. 

Tetapi, bila belajar Quran dan memahami perintah dan laranganNya, perbuatan yang dianggap budaya sebenarnya boleh jadi ibadah. Ketika mana perbuatan itu diniatkan "Saya buat semua ni sebab nak taat perintah Allah SWT."

Rupa-rupanya dalam Surah Al-Ahzab, ada perintah dan larangan Allah SWT berhubung etika memenuhi undangan Majlis. 

======

 يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتَ ٱلنَّبِيِّ إِلَّآ أَن يُؤۡذَنَ لَكُمۡ إِلَىٰ طَعَامٍ غَيۡرَ نَٰظِرِينَ إِنَىٰهُ وَلَٰكِنۡ إِذَا دُعِيتُمۡ فَٱدۡخُلُواْ فَإِذَا طَعِمۡتُمۡ فَٱنتَشِرُواْ وَلَا مُسۡتَـٔۡنِسِينَ لِحَدِيثٍۚ إِنَّ ذَٰلِكُمۡ كَانَ يُؤۡذِي ٱلنَّبِيَّ فَيَسۡتَحۡيِۦ مِنكُمۡۖ وَٱللَّهُ لَا يَسۡتَحۡيِۦ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ ...

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran...

[Surah Al-Aḥzāb: 53]
=====

Secara konteks, memang ayat ini berkenaan interaksi sahabat dengan Nabi s.a.w secara khusus. Tetapi pedoman yang kita garap daripadanya adalah umum, untuk semua manusia. 

1. Jangan datang majlis jika tak diundang.

2. Jika dijemput, usah datang awal sehingga menunggu-nunggu makanan dipersiapkan. Bukankah ini mengganggu Tuan rumah dan menyulitkan mereka kerana terpaksa fikirkan tentang makanan dan pada masa yang sama perlu layan tetamu yang datang awal. 

3. Setelah makan (bukan setelah puas / kenyang), bersurailah tanpa perlu memperpanjangkan kehadiran tanpa sebab. Ayat di atas sebut selepas makan, bukan selepas kenyang. Ini mengajar kita untuk berpada-pada dan jangan mempersulitkan Tuan rumah. Makan apa yang dihidangkan, bukan makan demi puaskan nafsu. 

Di sebalik perintah dan larangan ini, Allah SWT juga merakam teladan Nabi s.a.w. Bahawa baginda malu untuk menegur jika sahabat berkelakuan yang tidak menyelesakan baginda terkait hal ini. 

Justeru, jika kita sebagai Tuan rumah menghadapi tetamu yang tidak beretika. Yang datang awal sebelum Majlis. Yang berlama-lamaan Di Majlis. Maka teladanilah Nabi s.a.w yang tetap berakhlak mulia, tidak memarahi tetamu-tetamu tersebut. 

#033AlAhzab 


Ulasan