"Kalau awak kafir, masuk neraka tau. Lebih baik awak masuk Islam."
"Tapi saya tak nak buat semua yang Islam suruh."
"Takpa, awak masuk je Islam. Lepas tu, tak payahlah ikut perintah Allah. Buat je apa awak suka. Yang penting, identiti awak Islam. Orang Islam ni, buruk perangai macam mana sekalipun, masuk syurga juga nanti."
***
Percubaan menipu Allah s.w.t dan orang-orang beriman.
Mahu terlihat sebagai "Orang Islam".
Mahu diterima sebgai "Orang beriman"
Tetapi hati enggan beriman kepada Allah s.w.t. Kerana dari mula sudah berniat enggan patuh dan taat kepada perintahNya, tetap enggan tinggalkan sembahan hawa nafsu kecintaan dunia.
Entah syaitan mana memperdaya "Takpe, nanti masuk syurga juga. Sebab awak kan Islam."
Apakah pengetahuan Allah tidak mampu mencapai apa yang tersembunyi dalam hati?
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَمَا هُم بِمُؤۡمِنِينَ٨
«Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman(8)» [Al-Baqarah: 8]
Kedangkalan ilmu pengetahuan mengakibat tidak kenal Allah s.w.t. Tertipu dengan angan-angan. Syurga yang diidam-idamkan sambil merancang melakukan segala dosa dan keingkaran.
Rupa-rupanya, bukan setakat tidak layak memasuki syurga, bahkan jadi penghuni neraka pada dasar yang paling dalam, mengalahkan azabnya golongan kafir.
فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضٗاۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡذِبُونَ١٠
«Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit , maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)(10)» [Al-Baqarah: 10]
Pernahkah diuji sakit kepala? Sakitnya berdenyut-denyut, datang dan pergi. Adakalanya kelegaan itu hanya 2-3 minit, sempat rehat seketika sebelum sakit itu datang lagi. Rasa tak tertahan menanggung. mahu cepat-cepat dapatkan ubat tahan sakit.
Sakit yang datang dan pergi pun kebanyakan manusia tidak mampu menanggung, apatah lagi jenis kesakitan yang tidak berhenti dan berterusan.
Orang munafiq diancam azab yang pedih وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمُۢ
Kalimah أَلِيمُۢ adalah rasa sakit yang berterusan, tidak berhenti. Intensitinya tinggi.
Khusus buat golongan munafiq, nampak peribadi seperti muslim ketika di dunia, berangan-angan akan memasuki syurga di akhirat kelak kerana bersama orang-orang mukmin. Namun, Allah tahu status iman yang tersembunyi dalam hati. Allah s.w.t tahu niat keingkaran yang tersemat dalam hati. Bukan syurga yang menanti, tetapi dasar neraka yang paling dalam jadi tempat tinggal.
إِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ فِي ٱلدَّرۡكِ ٱلۡأَسۡفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمۡ نَصِيرًا١٤٥
«Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka(145)» [An-Nisaa: 145]
Allah s.w.t mengajar kita bahwa punca seseorang menjadi munafiq adalah akibat hati yang berpenyakit. Perangai "suka berdusta" sudah menjadi tabiat. Lalu atas setiap keingkaran, akan ditambah lagi dengan keingkaran lalu hati jadi semakin berpenyakit.
وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ فَزَادَتۡهُمۡ رِجۡسًا إِلَىٰ رِجۡسِهِمۡ وَمَاتُواْ وَهُمۡ كَٰفِرُونَ١٢٥
«Adapun orang-orang yang ada penyakit dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir(125)» [At-Taubah: 125]
Penyakit hati asasnya berpunca dua iaitu ragu-ragu (syubhah) dan keinginan (syahwat). Penyakit ragu-ragu adalah seperti kufur, iman yang lemah, nifaq. Penyakit keinginan pula terkait perbuatan dosa, zina dan sebagainya. Untuk merawat penyakit syubhah, perlukan usaha belajar ilmu kebenaran lalu meningkatkan keyakinan. Untuk penyakit syahwat, tiada jalan lain melainkan penyucian diri (tazkiyah), tidak memperturutkan kehendak syahwat dan laksanakan perbuatan berlawanan yang selari ajaran Islam.
REFLEKSI :
Iman itu bukan sekadar lafaz yang menandakan beriman. Namun, bermula daripada hati yang benar, iman itu seharusnya membuahkan tindakan yang taat kepadaNya.
Jika enggan taat, enggan percaya kepadaNya, koreksi diri. Apakah benar saya beriman kepada Allah s.w.t?
Ulasan
Catat Ulasan