Impak mendengar sungguh-sungguh akan ayat Tuhan


“Faizal tak datang lagi hari ni?” soal Cikgu Muna sambil meletakkan fail biru pekat ke atas meja. Suaranya perlahan, seakan tidak mahu mengganggu bunyi hujan yang jatuh bagai bisikan.

Cikgu Mariam mengangguk perlahan, matanya masih melekat pada nama Faizal di senarai kehadiran. “Dah seminggu. Sejak… kejadian tu.”

“Pasal duit kelas tu, kan?”

Cikgu Mariam tidak menjawab. Dia hanya menarik nafas panjang. Lalu berkata, “RM400 tu banyak untuk remaja sekolah. Tapi aku tahu dia tak salah. Waktu dia datang hari tu, matanya bengkak, tapi dia tak menangis. Dia cuma tunduk... dan minta maaf.”

“Beg dia dicuri.” Cikgu Muna bersuara perlahan. “Tapi rasa bersalah tu… berat untuk dia tanggung. Sampai ponteng kelas, tak sanggup jumpa kawan-kawan.”

“Dia kata nak ganti. Tapi sekarang, makan pun dia berjimat. Aku nampak dia makan roti je waktu rehat. Kadang-kadang tak makan langsung.”

Cikgu Muna diam sebentar, sebelum menarik kerusi dan duduk menghadap ke arah Mariam.

“Aku fikir nak pinjamkan duit tu. Biar dia bayar balik nanti... bila dia dah kerja.”

Cikgu Mariam mengangkat muka, matanya membulat.

“Pinjam?” soalnya perlahan.

Muna mengangguk. Tapi sebelum dia sempat berkata lebih, Mariam bersuara, nadanya tenang.

“Muna… aku nak sedekah je. Tak perlu dia bayar. Biar dia belajar satu benda — dunia ni masih ada orang yang percaya padanya.”

Muna terkedu. Dia menatap wajah Mariam, lama, seolah baru melihat sisi lain yang tersembunyi di sebalik keramahannya selama ini.

“Sedekah?” Dia mengulang, seakan mahu memastikan dia tak salah dengar.

Cikgu Mariam tersenyum, “Bukan sebab simpati dia tak mampu. Tapi aku nak ambil peluang amal soleh. Memang Allah suka kita bantu beri hutang tanpa untung kepada yang memerlukan. Tapi Allah lebih suka kita sedekahkan."

******

Beri hutang tanpa untung (riba) itu baik. 
Beri penangguhan pembayaran hutang itu juga baik. 
Tetapi sedekahkan kepada yang terdesak memerlukan itu lebih baik. 

======

{ وَإِن كَانَ ذُو عُسۡرَةٖ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيۡسَرَةٖۚ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ }

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

[Surah Al-Baqarah: 280]
======

Hanya mereka yang mendengar wahyu Tuhan dengan sungguh-sungguh akan mendapat taufiq. Lalu sanggup melawan arus, berbuat kebaikan dengan meyakini janji Tuhan. 

{ ٱلَّذِینَ یَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَیَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُۥۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمۡ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ }
[Surah Az-Zumar: 18]

Sudahkah mendengar bicara Tuhan ?

Ulasan