Memberi tanpa syarat


Seorang peminta sedekah memang "pekerjaan"nya meminta bantuan orang ramai. Jenis-jenis peminta sedekah juga banyak.

Ada yang jenis meminta bantuan tanpa berikan sebarang justifikasi. Diam. Hanya menghulur tangan. Dengan muka sedih. 

Ada yang jenis meminta dengan beri justifikasi keperluannya tanpa menipu. Berkongsi kesempitan hidup peribadi. 

Ada yang jenis meminta dengan beri justifikasi keperluannya, ditambah lagi cerita-cerita tipu menyayat hati untuk raih simpati. 

Tatkala "orang yang meminta" hadir, bagaimana seharusnya sikap kita? 

Allah s.w.t memberi ruang yang sangat mudah kepada si pemberi sedekah. 

Tak perlu fikir si peminta sedekah ni kategori mana.

Tak perlu.

PerintahNya hanya "berilah kepada orang yang meminta." 

Mudah, Kan?

======
 { ۞لَّيۡسَ ٱلۡبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ قِبَلَ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ وَٱلۡكِتَٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلۡمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ 

وَٱلسَّآئِلِينَ 

وَفِي ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلۡمُوفُونَ بِعَهۡدِهِمۡ إِذَا عَٰهَدُواْۖ وَٱلصَّٰبِرِينَ فِي ٱلۡبَأۡسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلۡبَأۡسِۗ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُتَّقُونَ }

Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, 

dan kepada orang-orang yang meminta, 

dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

[Surah Al-Baqarah: 177]
=====

Ada yang setuju dengan sikap begini.
Untuk beri je jika ada orang minta.
Sebab Allah s.w.t dah mudahkan peluang amal tersebut. 

Agar tak ikut jalan hidup orang yang dimurkai / sesat iaitu sebahagian Bani Israil. 

Apa kes Bani Israil? 
Sehinggakan bahagian perangai terkait jadi tajuk surah = Al-Baqarah? 

Sejarahnya begini.

Nabi Musa a.s datang kepada Bani Israil dengan perintah mudah daripada Allah s.w.t 

Apa perintahNya? 

=====
{ وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تَذۡبَحُواْ بَقَرَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَتَّخِذُنَا هُزُوٗاۖ قَالَ أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡجَٰهِلِينَ }

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".

[Surah Al-Baqarah: 67]
=====

Di sini, Bani Israil dapat perintah mudah iaitu sembelihlah lembu betina.

Kalau tengok kalimah "lembu betina" tu, بَقَرَةٗۖ . Tiada "Alif lam". Maknanya apa?

Apa² lembu in general. 

Tiada spesifikasi. 
Tak kisahlah lembu betina ni rajin membajak sawah ke, malas ke. Wangi ke busuk ke. Tak kisah.

Asalkan sembelih lembu betina.

Tapi bagaimana sikap Bani Israil?

Penyakit dalam hati yang sebenarnya tak nak taat, tapi nak acah-acah taat. Lalu sebahagian mereka mula banyak tanya. 

Lembu betina yang macam mana?

Usianya berapa (2:68)
Warnanya apa (2:69)
Yang digunakan untuk membajak sawah ke tak. Ada cacat tak? Ada belang-belang tak? (2:70-71)

Akhirnya, mereka hampir-hampir tak dapat laksanakan perintah Allah s.w.t. Sebab spesifikasi lembu jadi sangat-sangat unik dan susah nak dapat. 

Kenapa Allah s.w.t bawakan sejarah ni kepada kita?

Supaya kita tak ulang sejarah peristiwa Al-Baqarah. Supaya kita benar-benar jadi Muslim yang taat. 

Lalu ada yang berhujah.

"Hei, kalau kita tak selidik siapa peminta sedekah ni, Makin membiaklah scammer dan penipu ni." 

Sejujurnya, ikut logik akal saya, memang macam logik juga "matematik" sebegini. Hehe. Takkanlah kita nak penipu ni membiak?

Bagaimana nak menyikapi golongan yang kita was-was nak bantu ni?

Tapi saya teringat ayat Quran dalam Surah Al-Baqarah juga...

Sekali lagi Allah s.w.t bagi peluang amal mudah. 
Tak perlu nak susahkan diri investigate segala bagai.
=====
{ ۞قَوۡلٞ مَّعۡرُوفٞ وَمَغۡفِرَةٌ خَيۡرٞ مِّن صَدَقَةٖ يَتۡبَعُهَآ أَذٗىۗ وَٱللَّهُ غَنِيٌّ حَلِيمٞ }

(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
[Surah Al-Baqarah: 263]
=====

Kalau rasa tak yakin nak beri, berkatalah perkataan yang baik-baik. 
Maafkan sahaja sikap "meminta-minta" mereka.
Inipun amal soleh. 

Ya, tidak memberi dengan cara berkata baik & memaafkan juga Amal soleh. 

Yang jadi maksiat, apa tau? 

Dah beri.
Lepas tu "ungkit" apa yang diberi
Punca "ungkit" ni boleh jadi banyak sebab. 

Boleh jadi sebab si peminta tu tak nak "balas" budi kita.
Atau dapat tahu si peminta tu tipu je segala cerita menyayat hati dia. 

Lalu, sakitkan hati si peminta tadi dengan viralkan video dia minta sedekah, dengan niat "selamatkan" orang lain supaya tak kena tipu juga. 

Sekali lagi, ada logiknya di situ. Jika kita mengimani bahawa sumber rezeki adalah pada tangan manusia. Lalu dengan kudrat tangan manusia yang terbatas ini, marilah sebarkan video itu agar rezeki manusia² lain juga terselamat. Sebab tak yakin ada kuasa lebih besar untuk selamatkan rezeki manusia. Maka terpaksalah guna kekuatan kecil tangan-tangan manusia dengan sebar video si peminta sedekah tersebut. Itulah Batas yang mampu kita buat untuk selamatkan rezeki kita yang selama ini bersumber diri kita juga. Rezeki tu daripada diri kita sendiri. Tak boleh harap ada kuasa besar lain untuk jaga. 

Ya qaumiy.

Duhai kalian yang mahu beriman. 

Izinkan saya berkongsi pesan wahyu khusus untuk orang yang beriman. 

=====

{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِي يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٞ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٞ فَتَرَكَهُۥ صَلۡدٗاۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَيۡءٖ مِّمَّا كَسَبُواْۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ }

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

[Surah Al-Baqarah: 264]
======

Duhai kalian yang mahu beriman, hati-hati dengan sikap memberi yang kafir. 

Dahsyat ayat ni. 
Ditutup dengan kalimah "Al-Kafirin". 

Sedangkan dia infaq, memberi. Tapi kenapa kena label kafir? Hanya kerana dia mengungkit dan menyakitkan hati si peminta sedekah, terus dapat ancaman "kafir". 

Izinkan saya bagi analogi. 

Ada seorang boss besar kaya-raya ni.
Dia tugaskan seorang pekerja bernama Encik A untuk mengagihkan hartanya kepada peminta sedekah.

Lalu Encik A pun agihkanlah harta boss besar tu. Boss besar memang nak bagi je semua lebihan harta tu. Tak harap apa-apa balasan. 

Encik A pun pergilah ke peminta sedekah B, C dan D. Encik A pun agihkan harta boss besar kepada semua. 

Tapi, Encik A letakkan syarat kepada Encik B, C dan D. 

Antara syaratnya adalah, semua peminta sedekah kena buat islah (soleh) kepada Encik A. Tak boleh menipu Encik A. 

Syarat kedua adalah semua peminta sedekah tak boleh malas, kena rajin. 

Syarat ketiga adalah, semua peminta sedekah kena ikut cakap Encik A (bukan boss besar) selepas terima sedekah. Kena bantu Encik A bila-bila Encik A memerlukan. 

Jika mana-mana peminta sedekah tak penuhi syarat, mereka akan dihukum dengan disakitkan hati & dimalukan. 

Tahu tak apa jadi seterusnya?
.
.
.
.
.
Boleh sambung sendiri kisah dongeng ni.
Saya tak rajin sambung.

Saya cuma nak kaitkan penyakit hati sebahagian manusia yang lemah dalam mengimani Allah & akhirat seperti dalam ayat tadi (2:264). Lemah Iman ini yang menyebabkan dia bersikap memberi tapi suka mengungkit & menyakiti hati si penerima sedekah. 

Macam Encik A.

Bila meyakini rezeki yang ditangannya adalah bersumber diri sendiri. Bukan dari Allah s.w.t yang tak harap & tak memerlukan apa-apa dari makhlukNya. Akibatnya, setiap kali memberi, rasa takut² jika "habis" dan tak dapat "manfaat" daripada si penerima sedekah. Lalu letakkan syarat secara sedar atau tidak, bahawa si penerima sedekah wajib balas atau beri manfaat kepadanya. Paling tidak, jangan menipu. 

Contoh extreme penyakit rasa sumber rezeki adalah daripada diri sendiri , tidak mengesakan Allah sebagai satu-satunya pemberi rezeki adalah FIRAUN. 

Ya Firaun.
Yang mengaku diri Tuhan (nak jadi boss besar, tak nak jadi Encik A). 

Kronologinya adalah, Nabi Yusuf a.s yang muhsin, bijak rancang ekonomi negara Mesir menghadap musim kemarau 7 tahun. Sedangkan ketika itu, semua negara sekeliling bergantung harap pada kerajaan Mesir untuk sumber kehidupan. Adik-beradik Nabi Yusuf a.s yang dari Palestin pun ke Mesir untuk dapatkan rezeki makanan. 

Bila si Firaun rasa semua manusia bergantung pada negara ya untuk hidup, mulalah rasa diri Tuhan. 

Sedangkan.
Hakikatnya semua yang diberi adalah daripadaNya. 

Kita hanyalah "Encik A".
Yang agihkan rezeki bersumber Dia.

=====

{ ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡكِتَـٰبُ لَا رَیۡبَۛ فِیهِۛ هُدࣰى لِّلۡمُتَّقِینَ (2) ٱلَّذِینَ یُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَیۡبِ وَیُقِیمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ یُنفِقُونَ (3) }
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang 

serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang KAMI BERIKAN KEPADA MEREKA. 

[Surah Al-Baqarah: 2-3] 

=====
Kesimpulannya,
Tadabburlah Al-Quran. 

Agar tumbuh iman kepadaNya. 

Lalu benar-benar mengesakanNya sebagai Ar-Razzaq, satu-satunya Yang Maha Memberi Rezeki. 

Saya rasa sulit nak nasihatkan "Janganlah sakitkan hati peminta sedekah." 

Sebab terlalu banyak logik akal menyanggah untuk membuktikan perbuatan itu tak salah. 

Justeru. 

Saya cuma nak ajak semua agar suburkan Iman kepada Allah s.w.t
... Melalui Tadabbur Al-Quran. 

Kerana. 

Bahkan Nabi pun tak tahu iman itu apa sebelum diturunkan Al-Quran. 

Justeru, patutkah manusia biasa rasa "cukup beriman" tanpa usaha faham Quran?

=====
{ وَكَذَٰلِكَ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ رُوحٗا مِّنۡ أَمۡرِنَاۚ مَا كُنتَ تَدۡرِي مَا ٱلۡكِتَٰبُ وَلَا ٱلۡإِيمَٰنُ وَلَٰكِن جَعَلۡنَٰهُ نُورٗا نَّهۡدِي بِهِۦ مَن نَّشَآءُ مِنۡ عِبَادِنَاۚ وَإِنَّكَ لَتَهۡدِيٓ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ }

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,

[Surah Ash-Shûrâ: 52]

=====

Sekali lagi.
Belajarlah Al-Quran, fahami kandungannya.

Jika benar mahu jadi hamba beriman.

Ulasan