"Saya teringin nak ada anak..."
"Minta pada Allah?"
"Selalu dah minta."
"Tapi jangan terhenti pada nak anak je, tau."
"Maksud?"
"Allah tak suka hambaNya yang berdoa untuk dunia sahaja, lupa akhirat."
=====
فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن یَقُولُ رَبَّنَاۤ ءَاتِنَا فِی ٱلدُّنۡیَا وَمَا لَهُۥ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ مِنۡ خَلَـٰقࣲ (200) وَمِنۡهُم مَّن یَقُولُ رَبَّنَاۤ ءَاتِنَا فِی ٱلدُّنۡیَا حَسَنَةࣰ وَفِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ حَسَنَةࣰ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ (201) أُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمۡ نَصِیبࣱ مِّمَّا كَسَبُوا۟ۚ وَٱللَّهُ سَرِیعُ ٱلۡحِسَابِ (202)
Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia". dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.
[Surah Al-Baqarah: 200-202]
=====
Bagaimana teladan berdoa untuk dapatkan anak yang menzahirkan kebaikan dunia & akhirat?
Mari renungi doa Nabi Zakariyya a.s.
=====
{ هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُۥۖ قَالَ رَبِّ هَبۡ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةٗ طَيِّبَةًۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ }
Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan".
[Surah Âl-`Imrân: 38]
=====
Ketika memohon dikurniakan anak, usah sekadar memohon mendapatkan zuriat semata-mata.
Tanya lagi pada diri. Untuk apa zuriat itu? Untuk jadi aset kebanggaan? Untuk mengisi kesunyian hidup? Untuk persiapkan jiwa yang akan berkhidmat kepada diri sebagai orang tua?
Ketika meminta kepada Allah s.w.t, Nabi Zakariyya a.s menunjukkan teladan seorang ayah yang mahukan anak untuk kebaikan dunia & akhirat. Baginda bukan sekadar bermohon zuriat. Tetapi baginda bermohon anak yang baik (toyyibah). Bahkan secara spesifik dalam Surah Maryam, Nabi Zakariyya a.s mahukan anak untuk jadi pewaris yang memperjuangkan agama.
Bagaimana Allah s.w.t menjawab doa Nabi Zakariyya yang mahukan anak yang baik?
Allah s.w.t kurniakan baginda anak bernama Yahya yang peribadinya seperti berikut :
=====
{ فَنَادَتۡهُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ وَهُوَ قَآئِمٞ يُصَلِّي فِي ٱلۡمِحۡرَابِ أَنَّ ٱللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحۡيَىٰ مُصَدِّقَۢا بِكَلِمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَسَيِّدٗا وَحَصُورٗا وَنَبِيّٗا مِّنَ ٱلصَّٰلِحِينَ }
Lalu dia diseru oleh malaikat sedang dia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri (dari hawa nafsu), dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh".
[Surah Âl-`Imrân: 39]
=====
Merenung kisah ini, teringat kegundahan ibu bapa zaman kini. Ada yang risaukan anak-anak remaja yang terdedah pergaulan bebas serta ancaman pornografi. Bagaimana nak melindungi anak-anak daripada fitnah dunia digital?
Usaha lindungi anak rupa-rupanya bermula sebelum anak itu lahir. Berdoa & bermohonlah agar dikurniakan anak yang baik (ذُرِّيَّةٗ طَيِّبَةًۖ).
Juga bermohonlah agar anak-anak terlindung daripada syaitan yang direjam. Seperti teladan ibu Maryam yang Mohon perlindungan daripada Allah s.w.t
=====
{ فَلَمَّا وَضَعَتۡهَا قَالَتۡ رَبِّ إِنِّي وَضَعۡتُهَآ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا وَضَعَتۡ وَلَيۡسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلۡأُنثَىٰۖ وَإِنِّي سَمَّيۡتُهَا مَرۡيَمَ وَإِنِّيٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ }
Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".
[Surah Âl-`Imrân: 36]
=====
Ulasan
Catat Ulasan