Menumbuhkan anak


Sebutir benih, jika diletakkan atas pinggan dalam almari kaca, kekal menjadi benih yang mati. Tidak akan tumbuh. Tidak akan hidup. 

Namun, jika ditanam dalam tanah, disirami air, dibajai, tiba-tiba tumbuh hidup. 

Menakjubkan. 

Daripada sebutir biji yang mati, dihidupkan sehingga nampak tumbuh membesar. 

Fenomena pokok yang menumbuh harus dijadikan objek renungan para ibu bapa. 

Kenapa?

Kerana Allah s.w.t menggunakan istilah "tumbuh" (nabat) terhadap hamba terpilih daripada keluarga Imran iaitu Maryam, ibu Nabi Isa. 

=====
 فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٖ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنٗا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّاۖ 
Maka dia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. 
[Surah Âl-`Imrân: 37]
=====

Pernah menanam pokok atau apa-apa tanaman?
Bagaimana perasaannya? 

Sesiapa yang punyai pengalaman menanam pasti merasa pergantungan yang tinggi terhadap Tuhan Yang Menciptakan. 

Kerana kudrat manusia amat terbatas. Kita mungkin mampu sediakan persekitaran yang elok. Kita mungkin boleh menyiram tanam-tanaman. Tapi banyak faktor-faktor lain yang mempengaruhi pertumbuhan pokok yang di luar kawalan & kekuasaan manusia. Justeru semua itu diserahkan pada Allah s.w.t untuk mengurusnya. 

Pengajaran daripada ayat di atas, ibu bapa harus peduli berperanan menumbuhkan anak. Bukan sekadar "letak" anak di mana-mana tanpa mengambil kira "Apakah tempat/keadaan itu boleh menumbuhkan anak?" 

Khuatir hati si anak mati ibarat sebutir benih yang di'biarkan' dalam almari kaca. Tidak tumbuh-tumbuh kerana tiada segala faktor yang boleh menumbuhkan. 

Dan yang paling utama, penuh mengharap kepada Allah s.w.t untuk "menumbuhkan" si anak. Sebagaimana dalam ayat tersebut, وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنٗا , Dialah yang menumbuhkan Maryam dengan pertumbuhan yang baik. 

Apa usaha kita sebagai Ibu bapa?

Siramilah & bajailah anak-anak dengan kalamNya. Kerana Dia mengajar manusia melalui Al-Quran. Itulah sumber pertumbuhan manusia. 

=====
{ ٱلرَّحۡمَـٰنُ (1) عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ (2) }
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.
[Surah Ar-Rahmân: 1-2]
=====

Ulasan