"Apa nak buat kalau dua anak bergaduh? Terus suruh dua-dua minta maaf & peluk?"
Terkedu saya sebagai seorang single dan tak pernah didik anak, bila dapat soalan ini.
Saya bukanlah ahli dalam dunia parenting. Bila soalan ini diaju, saya hanya mampu merespon dengan latar belakang ahli kesihatan & kaunselor.
Bergaduh itu adalah simptom atau tanda-tanda ada sesuatu yang sedang berlaku pada jiwa. Jika tujuan sekadar untuk melenyapkan simptom ibarat bagi painkiller terhadap kesakitan, memang tindakan terhad suruh anak-anak diam, minta maaf dan berpelukan. Meskipun hati kedua-duanya masih panas, belum sembuh.
Namun, jika memilih untuk "rawat" kondisi jiwa anak-anak, ibu bapa perlu bijak analisa apakah benih-benih pendidikan yang masih kurang. Apakah si abang gersang jiwa rahmah lalu tak mampu berkasih sayang kepada si adik? Apakah si adik gersang rasa hormat terhadap si abang lalu tak mampu bercakap dengan baik?
Cabarannya, benih-benih nilai dalam jiwa anak-anak bukanlah boleh didapatkan dalam bentuk "pil". Tidak semudah telan "pil" kasih sayang & rasa hormat lalu si anak ting..ting..ting.. tumbuh jadi peribadi yang rahmah dan hormat orang lain.
Benih-benih tauhid & nilai, perlu ditumbuhkan.
Ada usaha kerja keras ibu bapa untuk menanam benih tersebut, menyiram & membajai. Lalu akhirnya Allah s.w.t yang akan menumbuhkan.
======
وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنٗا
dan dibesarkannya dengan didikan yang baik,
[Surah Âl-`Imrân: 37]
=====
Syaratnya, ibu bapa kena lakukan proses "tanam benih" terlebih dahulu. Bagaimana mungkin boleh mengharap Allah s.w.t menumbuhkan jika ibu bapa enggan menanam benih?
Petani tak akan mengharap pokok betik tumbuh jika tiada usaha menanam benih betik terlebih dahulu. Usah diharap tumbuhnya pokok durian jika yang ditabur hari-hari adalah lalang.
Jika mahu menanam benih rahmah & kasih sayang pada jiwa anak-anak, ibu bapa terlebih dahulu perlu menunjukkan teladan rahmah & kasih sayang. Agar anak-anak dapat rasa rahmah & kasih syaang sehingga mampu sebarkannya pada yang lain.
Jika mahu menanam benih hormat pada jiwa anak-anak, ibu bapa terlebih dahulu perlu menunjukkan teladan hormat kepada yang di sekeliling.
Teringat "Story Night" bersama ustaz Nouman, masa Tadabbur kalimah "Ya abati" , dapat kita rasa peranan besar teladan si ayah dalam membentuk peribadi anak. Disebabkan ayah sentiasa memberi kasih sayang & ungkapkan bahasa cinta kepada anak, anak ikut peribadi baik itu.
Apa yang lagi dahsyat, dialog si ayah awal-awal surah (Yusuf : 5) , ditiru jadi dialog anak (Yusuf : 100). Si ayah mengingatkan bahawa syaitan itu musuh & si anak mampu memaafkan abang-abangnya dengan melihat peristiwa berlaku disebabkan syaitan. Syaitan yg salah. Syaitan yang musuh, bukan abang-abangnya.
Bila ayah tunjukkan teladan sabar & beri kasih sayang kepada semua. Anak pun belajar bersabar & berkasih sayang kepada adik beradik. Meskipun abang²nya jahat. Tapi ayah jadi inspirasi teladan si anak.
.
.
.
"Tapi, susahlah nak kawal emosi. Kita ni dah penat berkerja, balik rumah anak buat perangai, memang selalunya kena marah je."
Memang realiti rumahtangga tidak mudah. Setiap hari berperang dengan cabaran emosi terutama dengan anak-anak kecil yang belum lagi "menumbuh", masih perlukan usaha penanaman, penyiraman & pembajaan.
Apa pedoman wahyu dalam urus hal ini?
Ada pengajaran besar daripada ibadah Haji untuk latih kita mampu berbuat baik meskipun dalam situasi sulit. Misalnya masih bercakap baik-baik kepada anak ketika emosi penat & lelah meliputi diri.
Ringkasnya, buat 3 hal ini.
1. Niat
2. Kenal Allah s.w.t
3. Bertaqwalah.
Pertama, tentang kekuatan niat.
Psychology of intention.
=====
{ ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٞ مَّعۡلُومَٰتٞۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي ٱلۡحَجِّۗ
(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.
[Surah Al-Baqarah: 197]
=====
Pernahkah anda berniat secara sedar?
Islam banyak mengajar kita berniat pada waktu yang ditentukan. Niat berpuasa sebelum subuh. Niat Haji bila masuk bulan haji.
Sedarkah bahawa tindakan berniat ini mempengaruhi sikap? Orang yang berniat Haji, persiapkan jiwanya untuk berkata-kata baik, tidak bertengkar dan sebagainya.
Pengajaran yang boleh kita ambil terkait didikan melalui ibadah ini adalah,
Berniatlah secara sedar setiap hari.
Misalnya,
"Hari ni saya nak jadi ibu yang penyayang."
Atau
"Hari ni saya nak jadi ibu yang dermawan."
Justeru, tetapkan tindakan-tindakan yang mahu dibuat sepanjang hari bagi memenuhi niat tersebut.
Contohnya,
Masih bercakap lemah-lembut menasihati anak ketika anak buat perangai kerana "Saya mahu jadi ibu yang penyayang hari ini."
Atau tahan diri daripada menunjukkan perilaku marah seperti hempas barang di hadapan ahli keluarga kerana "Saya mahu jadi ahli keluarga yang pemaaf hari ini."
Itu pedoman pertama daripada ayat kajian.
Kedua, kenal Allah s.w.t
=====
وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٖ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُۗ
Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah;
[Surah Al-Baqarah: 197]
=====
Bayangkan situasi Haji.
Manusia pelbagai ragam Dari tempat yang jauh. Memang Rasa letih & lapar. Bersesak-sesak dengan ramai manusia lagi. Tak boleh bercakap kasar & bertengkar.
Fuh.
Susah.
Tapi Allah s.w.t mengingatkan. Apa-apa jua kebaikan yang dilakukan, Allah s.w.t tahu. Dia nilai. Tiada yang sia-sia.
Tidakkah cukup hal ini jadi motivasi untuk masih berbuat baik ketika emosi berkecamuk?
Di rumah misalnya, saat berbuat baik ketika lelah, namun tiada yang hargai, apa perasaan?
Mahu marah.
Mungkin rasa enggan untuk istiqamah berbuat baik.
Ingatlah Allah s.w.t
Kenalilah Dia.
Cukuplah jiwa mengetahui bahawa Dia tahu segala yang dilakukan. Justeru teruskan berbuat baik meskipun dalam keadaan tiada manusia hargai.
Itu yang kedua.
Mari renungi panduan terakhir ayat kajian.
Bertaqwalah! Bertindak lakukan kebaikan.
=====
{ وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُونِ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ }
dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri ; dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
[Surah Al-Baqarah: 197]
=====
Untuk bertindak, memnag tak mudah. Namun jika jiwa punyai bekal taqwa, Amal kebaikan itu lebih mudah dilakukan.
Bagaimana nak semai taqwa dalam jiwa?
Dengan berpuasa (Al-Baqarah : 183)
Dengan beribadah mengabdikan diri kepadaNya. (Al-Baqarah : 21)
Dengan menjadikan Quran sebagai petunjuk (Al-Baqarah : 2)
Itulah.
Kekuatan niat.
Kenal Allah s.w.t
Dan bertaqwalah!
Moga-moga setiap jiwa beriman yang diamanahkan galas tanggungjawab keibubapaan dikurniakan hidayah & taufiq menumbuhkan anak-anak sebaiknya.
_________________
Nota refleksi kuliah "50 kaidah AlQuran untuk jiwa & kehidupan" disampaikan oleh Ustaz Mudzoffar Juffri
#UsrahQMap3T
Ulasan
Catat Ulasan