"Kami kawan je. Bukan dating." Ujar sepasang lelaki dan perempuan di meja makan hujung restoran.
"Kami ikhtiar dapatkan rawatan untuk sembuh. Ni usaha kami, Allah yang akan sembuhkan. Sama macam pergi jumpa doktor." Kata seorang makcik yang ditemui di luar rumah bomoh.
"Ini bukan hutang, sebab tu tiada riba. Ini adalah jual beli yang dipersetujui akad dan boleh bayar secara ansuran." Kata dia yang sedang promosikan khidmat kewangan bank.
.
.
.
Dalam Al-Qur'an, Bani Israil adalah contoh umat Islam yang mahu melakukan yang haram, dalam bentuk yang dihalalkan.
Mereka pernah percaya akan formula kejayaan hidup dengan penyembahan lembu, lalu mahu ikut jejak "kejayaan" dengan sembah berhala. Pada masa yang sama, tetap mahu dilihat beriman.
Mahu yang haram. Tapi mahu masuk syurga juga.
Bagaimana Tu?
Langkah mereka, minta Nabi Musa a.s "luluskan" yang haram.
=====
{ وَجَٰوَزۡنَا بِبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ ٱلۡبَحۡرَ فَأَتَوۡاْ عَلَىٰ قَوۡمٖ يَعۡكُفُونَ عَلَىٰٓ أَصۡنَامٖ لَّهُمۡۚ قَالُواْ يَٰمُوسَى ٱجۡعَل لَّنَآ إِلَٰهٗا كَمَا لَهُمۡ ءَالِهَةٞۚ قَالَ إِنَّكُمۡ قَوۡمٞ تَجۡهَلُونَ }
Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.
[Surah Al-Aʿrāf: 138]
=====
Jika benar mahu sembah berhala, lakukanlah sahaja sembunyi-sembunyi.
Mengapa perlu minta daripada Nabi Musa a.s?
Dalam hati, berlaku konflik. Ada keinginan mahu dilihat beriman, pada masa yang sama mahukan yang haram. Terzahirlah tindakan sedemikian.
Cari jalan menghalalkan yang haram.
Ada lagi kisah penduduk yang langgar larangan Hari Sabtu. Mereka tidak dibenarkan bekerja pada Hari Sabtu.
=====
{ وَسۡـَٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ }
Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.
[Surah Al-Aʿrāf: 163]
=====
Jika enggan taat, mengapa tidak tangkap sahajalah ikan yang datang Hari Sabtu? Tidak perlu sembunyi-sembunyi.
Tetapi, mengapa perlu berusaha keras "menghalalkan" yang haram dengan pasang jala Hari Jumaat dan tangkap hasil jalaan pada Hari Ahad?
Realiti ikan yang ditangkap tetap Hari Sabtu.
Mengapa perlu bersikap demikian?
Apakah ada keinginan dalam hati mahu tetap terlihat beriman meskipun bermaksiat?
Cuba menipu Allah s.w.t.
Siapa sebenarnya yang ditipu?
.
.
.
Saat itu, penduduk kampung berkenaan terbahagi 3 golongan.
1) Golongan yang berhelah melakukan larangan bekerja Hari Sabtu.
2) Golongan yang beri nasihat, melarang kemungkaran.
3) Pemerhati.
Berlakulah komunikasi antara golongan kedua dan ketiga.
=====
{ وَإِذۡ قَالَتۡ أُمَّةٞ مِّنۡهُمۡ لِمَ تَعِظُونَ قَوۡمًا ٱللَّهُ مُهۡلِكُهُمۡ أَوۡ مُعَذِّبُهُمۡ عَذَابٗا شَدِيدٗاۖ قَالُواْ مَعۡذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَلَعَلَّهُمۡ يَتَّقُونَ }
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".
[Surah Al-Aʿrāf: 164]
=====
Golongan yang melarang kemungkaran ini, tetap berbaik sangka terhadap golongan yang dinasihati. Moga-moga ada yang bertaqwa.
Kesannya, Allah s.w.t selamatkan mereka. Dan membinasakan golongan yang fasik.
=====
{ فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُكِّرُواْ بِهِۦٓ أَنجَيۡنَا ٱلَّذِينَ يَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلسُّوٓءِ وَأَخَذۡنَا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ بِعَذَابِۭ بَـِٔيسِۭ بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ }
Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).
{ فَلَمَّا عَتَوۡاْ عَن مَّا نُهُواْ عَنۡهُ قُلۡنَا لَهُمۡ كُونُواْ قِرَدَةً خَٰسِـِٔينَ }
Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".
[Surah Al-Aʿrāf: 165-166]
=====
Manusia menjadi kera adalah sejarah yang sulit dilupakan kaum Yahudi di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa itu adalah peristiwa trauma sehinggakan disampaikan pada generasi turun-temurun. Lalu, saat Nabi Muhammad s.a.w. diperintahkan untuk bertanyakan tentang peristiwa pelanggaran Hari Sabat, mereka tahu benar kisahnya.
Apa pengajaran ayat-ayat ini?
1) Usah biasakan diri cari jalan menghalalkan yang haram. Sebaliknya didik hati untuk tunduk terima hukum perintahNya.
2) Lakukanlah Amar makruf Nahi mungkar. Ini adalah usaha kolektif masyarakat yang boleh menyelamatkan.
Ulasan
Catat Ulasan