Mengejar tingkat seterusnya



"Saya nak berjaya dapat untung sejuta yang pertama tahun ini." 
Biasa dengar bicara sebegini dalam kalangan usahawan peserta program lonjakkan bisnes. 

"Saya nak capai 100K followers bulan depan."

Ada lagi... 

"Saya nak dapat professorship tahun depan." 
.
.
.
Dalam kehidupan. 
Sedar tak sedar memang kita mudah membandingkan tahap atau tingkatan diri dengan orang lain.

"Apa yang dia dah capai. Apa yang saya tak dapat lagi?" 

Yang sudah bernikah tetapi belum dapat anak setelah beberapa tahun, rasa sedih kerana "tak naik" fasa seterusnya.

Yang bujang pada usia cecah 40 tahun, lagi-lagi rasa "ketinggalan" dengan faktor usia yang pengaruh kesuburan. 

Mengapa hidup ini setiap manusia itu berbeza rezeki & kurniaan Allah kepadanya?

Ada yang di atas.
Ada yang di bawah. 

Hakikatnya, perbezaan darjat, pangkat, rezeki & harta adalah fenomena untuk manusia renungkan. 

Bahawa... 

Jika perbezaan darjat di dunia pun mudah membuat diri terkesan, pernah terfikir tentang darjat di akhirat?

======
{ ٱنظُرۡ كَيۡفَ فَضَّلۡنَا بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖۚ وَلَلۡأٓخِرَةُ أَكۡبَرُ دَرَجَٰتٖ وَأَكۡبَرُ تَفۡضِيلٗا }

Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.

[Surah Al-Isrāʾ: 21]
=====

Bukan syurga sahaja ada tingkatan.
Neraka juga ada tingkatannya.

Jika dunia mengejar darjat sesama manusia baik segi populariti, harta & pangkat...
Sejauh mana beriman pada kewujudan darjat di akhirat kelak?
Sudahkah letakkan usaha untuk darjat tinggi di sisiNya melalui baki usia yang Dia berikan?

Renung-renungkan golongan mereka yang dapat darjat tinggi di sisi Allah s.w.t

====
{ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ حَقّٗاۚ لَّهُمۡ دَرَجَٰتٌ عِندَ رَبِّهِمۡ وَمَغۡفِرَةٞ وَرِزۡقٞ كَرِيمٞ }

Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).
[Surah Al-Anfāl: 4]
=====

Mereka ..
1) Dapat pangkat tinggi.
2) Dapat keampunan
3) Dapat rezeki di syurga.

Wow.
Rezeki kita di dunia sebenarnya telah terjamin.
Rezeki di akhirat yang belum terjamin. Itulah rezeki yang perlu diusahakan dengan amal soleh di dunia. 

Siapakah mereka yang dapat 3 ini?
Rujuk ayat sebelumnya.

=====
{ إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِینَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُهُمۡ وَإِذَا تُلِیَتۡ عَلَیۡهِمۡ ءَایَـٰتُهُۥ زَادَتۡهُمۡ إِیمَـٰنࣰا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ یَتَوَكَّلُونَ (2) ٱلَّذِینَ یُقِیمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ یُنفِقُونَ (3) }
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.

[Surah Al-Anfāl: 2-3]
=====

Hati yang gementar bila disebut nama Allah.
Pastinya, yang kenal Allah s.w.t sahaja yang akan bereaksi begitu.
Tanpa ilmu, bagaimana hati boleh terkesan? 

Perlu diusahakan Tadabbur ayat-ayat Quran.
Juga Tafakkur tanda-tanda kebesaranNya di alam semesta. 

Lalu bertambah Iman apabila dibacakan ayat-ayatNya.
Sekali lagi, Iman boleh bertambah jika ayat-ayat yang dibaca, boleh difahami.
Jika ayat-ayat yang dibaca tidak difahami, ibarat mendengar Bahasa Korea tanpa subtitle, tidak beri apa-apa kesan selain sedar "Oh, ini bahasa asing, bukan bahasa Melayu."

Dengan Iman yang bertambah, pergantungan pada Allah s.w.t makin kuat sehingga dibuktikan dengan mendirikan solat & infaq. 

Sebaliknya,
Iman yang lemah, membuatkan lemah pergantungan pada Allah s.w.t sebaliknya tawakkal pada sistem lain seperti kapitalis. 

Kesannya, bila kerjaya menuntut kerja keras demi hasil lumayan, tawakkal pada formula syarikat dengan tekun bekerja sehingga solat dirasakan "menyita banyak waktu", merugikan lalu diabaikan. 
Memberi / infaq juga rasa "rugi" lalu tawakal pada sistem ekonomi sedia ada, rasa harta berkurang dengan memberi, justeru memilih untuk tidak memberi. 

Jangan.
Jangan tertipu dengan darjat & tingkatan dunia yang sibuk dikejar.

Khuatir melalaikan persiapan untuk raih darjat tinggi di akhirat.
Sedangkan, darjat di akhirat perlukan jihad. 
Darjat di akhirat perlukan oerancangan dan usaha. 
Sebagaimana kita di dunia, merancang & letakkan usaha untuk naik pangkat/taraf status sosial.

Jangan tertipu. 
Kesenangan di dunia tidak bermakna kesenangan di akhirat.

Boleh jadi mereka yang hidup susah, diuji peperangan, meraih darjat tinggi di sisiNya kerana kesabaran hadapi ujian. 

Darjat di akhirat, perlukan kesungguhan & pengorbanan.

=====

{ لَّا یَسۡتَوِی ٱلۡقَـٰعِدُونَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ غَیۡرُ أُو۟لِی ٱلضَّرَرِ وَٱلۡمُجَـٰهِدُونَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡۚ فَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلۡمُجَـٰهِدِینَ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ عَلَى ٱلۡقَـٰعِدِینَ دَرَجَةࣰۚ وَكُلࣰّا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ وَفَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلۡمُجَـٰهِدِینَ عَلَى ٱلۡقَـٰعِدِینَ أَجۡرًا عَظِیمࣰا (95) دَرَجَـٰتࣲ مِّنۡهُ وَمَغۡفِرَةࣰ وَرَحۡمَةࣰۚ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورࣰا رَّحِیمًا (96) }

Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk dengan pahala yang amat besar; Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[Surah An-Nisāʾ: 95-96]
=====

Darjat.
Perlu diusahakan.
Tanya pada diri, apa yang telah saya rancang & usahakan untuk jihad sampaikan Firman Tuhan?


Ulasan