Seorang kanak-kanak, berebut meluru ke depan rumah untuk dapatkan si ayah.
Yang lebih tepat, mahu berebut dapatkan mainan sebelum si abang sempat memilih.
Dia nak berebut pilih dulu.
Si ayah yang nampak perangai anak-anak berebut, cepat-cepat mengambil kotak mainan dan letak semuanya atas almari tinggi.
"Ni semua, ibu & ayah punya."
Kanak-kanak tadi terkebil-kebil mendengar bicara ayah. Mahu bersuara tapi tak terungkap apa yang mahu diluahkan.
"Jangan berebut. Sayang adik & abang. Mainan ni nanti boleh main sama-sama."
Rupa-rupanya si ayah baru lepas belajar Surah Al-Anfaal.
Terus nak apply, chewah.
.
.
.
Surah Al-Anfaal, berlatar belakangkan Perang Badar yang sangat genting. Jumlah muslimin sekitar 313 berbanding tentera Quraisy 1000 orang.
Tetapi Allah s.w.t menurunkan banyak pertolongan termasuklah turunnya malaikat-malaikat untuk perang bersama.
Tatkala kemenangan terlihat jelas dimiliki pasukan muslimin, mereka mula mahu mendapatkan harta rampasan perang dengan bertanyakan rasul.
=====
{ يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡأَنفَالِۖ قُلِ ٱلۡأَنفَالُ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَأَصۡلِحُواْ ذَاتَ بَيۡنِكُمۡۖ وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ }
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman".
[Surah Al-Anfāl: 1]
=====
Kalimah "anfaal" sebenarnya bermaksud extra, lebihan, surplus. Tetapi kenapa kalimah ini juga bermaksud rampasan perang? Kenapa tak guna kalimah "ghanimah"?
Kerana,
Tujuan perang bukan untuk dapatkan harta rampasan.
Sebaliknya perang adalah untuk keredhaan Allah s.w.t, menegakkan agama Allah s.w.t, menghapuskan fitnah (syirik).
Adapun harta rampasan, itu adalah bonus, extra. Mendapatkan harta rampasan tidak boleh dijadikan objektif perang.
Melalui ayat pertama ini, Allah s.w.t mendidik para sahabat untuk mengutamakan yang utama.
Jaga hubungan antara sesama.
Jangan sampai perebutan harta rampasan perang jadi punca pertelingkahan dan pergaduhan.
Utamakan kesatuan hati.
Jika benar beriman :
1) Bertaqwalah kamu kepada Allah
2) Dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu,
3) Serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, .
Boleh bayangkan situasi yang dialami para sahabat?
Harta di hadapan mata, tapi kehendak perlu ditahan.
Bahkan dididik untuk perbaiki hubungan antara sesama dan bukan berebut-rebut mendakwa,
"Ini saya punya. Saya yang layak mendapatkannya."
Keluar daripada ujian berhadapan musuh, masuk ke ujian berhadapan nafsu dalam diri.
Memang ahli Badar tak boleh dapat harta rampasan ke?
Memang semua milik Allah & rasul ke?
Sebenarnya, naaaaaaanti pada ayat ke-41 barulah turun panduan pembahagian harta rampasan perang.
Sebelum ayat tersebut, Allah s.w.t didik para sahabat terlebih dahulu tentang Iman & tentang hubungan sesama manusia
=====
{ ۞وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا غَنِمۡتُم مِّن شَيۡءٖ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُۥ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ إِن كُنتُمۡ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ وَمَآ أَنزَلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا يَوۡمَ ٱلۡفُرۡقَانِ يَوۡمَ ٱلۡتَقَى ٱلۡجَمۡعَانِۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ }
Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[Surah Al-Anfāl: 41]
=====
Apakah pengajaran yang kita boleh garap?
Realiti kehidupan, banyak peristiwa berebut-rebut.
Bermula sekecil-kecil fenomena anak-anak kecil berebut dapatkan mainan yang dibawa ibu bapa. Jika tidak dididik, boleh mengeruhkan hubungan sesama adik-beradik seawal usia.
Tatkala menginjak remaja, juga banyak peristiwa berebut-rebut mendapatkan material untuk kepentingan peribadi. Ada yang jadi kedekut ilmu kerana mahu berebut mendapatkan kedudukan pertama.
Alam kerjaya, lagi dahsyat. Sanggup saling menjatuhkan berebut mendapatkan kepentingan syarikat atau kenaikan pangkat.
Jangan.
Hidup ini sebentar cuma.
Realiti semuanya milik Allah s.w.t. yang dititipkan kepada Kita secara sementara.
Justeru, bertaqwalah.
Perbaikilah hubungan antara sesama.
Setiap yang direbutkan akan hilang, tidak kekal tatkala kita mati.
Sebaliknya, amal kebaikan, amal Ihsan yang kita lakukan kepada yang lain, itulah yang kekal, dibawa bersama ketika kita meninggalkan dunia yang rapuh ini...
Ulasan
Catat Ulasan