Yang biasa dengar seruan istighfar yang menjemput rezeki, mesti tahu dalil surah Nuh a.s,
kan?
Kerana Nabi Nuh a.s memotivasikan kaumnya untuk mohon pengampunan agar mendapat rezeki.
=====
{ فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُوا۟ رَبَّكُمۡ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارࣰا (10) یُرۡسِلِ ٱلسَّمَاۤءَ عَلَیۡكُم مِّدۡرَارࣰا (11) وَیُمۡدِدۡكُم بِأَمۡوَ ٰلࣲ وَبَنِینَ وَیَجۡعَل لَّكُمۡ جَنَّـٰتࣲ وَیَجۡعَل لَّكُمۡ أَنۡهَـٰرࣰا (12) }
"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.
"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; "Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
[Surah Nūḥ: 10-12]
=====
Sangat terperinci penerangan Nabi Nuh a.s tentang kaitan istighfar dan rezeki.
Pernah tahu apa pula motivasi Nabi Hud a.s kepada kaumnya?
Baginda seru untuk mohon ampun serta taubat (kembali dan berhenti buat dosa) supaya mendapat kekuatan.
=====
{ وَيَٰقَوۡمِ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ ثُمَّ تُوبُوٓاْ إِلَيۡهِ يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارٗا وَيَزِدۡكُمۡ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمۡ وَلَا تَتَوَلَّوۡاْ مُجۡرِمِينَ }
Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!
[Surah Hūd: 52]
======
Kaum 'Aad adalah bangsa yang kuat.
Sangat-sangat kuat.
Mereka mampu membina bangunan gah di gunung-ganang. Pahat gunung. Tak akan mampu melakukannya melainkan dengan kekuatan.
Dan inilah yang diseru Nabi Hud a.s
Bahawa hakikatnya Allah s.w.t lah yang Maha Berkuasa. Dialah yang memberikan manusia kekuatan.
Kaum yang kuat pun boleh dengan mudahnya dibinasakan Allah s.w.t. Kesudahan kaum 'Aad adalah mereka dibinasakan hanya dengan angin.
Melalui ayat ini juga, Kita belajar sesuatu.
Saat rasa lemah daripada apa-apa aspek (tenaga fizikal mahupun intelektual), cepat-cepatlah muhasabah diri. Apakah ada dosa yang belum ditinggalkan?
Cepat-cepat mohon pengampunan & bertaubat.
Moga-moga dikurniakan kekuatan daripada sisiNya.
#011Hud
Ulasan
Catat Ulasan