Tawakkal itu rupa-rupanya bukan tindakan pasif





Usaha sehabis baik, kemudian tawakkal kepada Allah SWT. 

Selalu dengar ungkapan di atas?

Usaha = Segala tindakan yang boleh menatijahkan hasil yang diharapkan. Berpandukan ilmu sebab - akibat dan logik akal manusia. Misalnya, kalau nak duit, cari kerja. Nak lulus peperiksaan, pergilah ulangkaji pelajaran. 

Tawakkal = Berserah kepada Allah SWT setelah berusaha seperti di atas. 

Sebelum mempelajari surah Al-Isra', saya memang memahami usaha tawakkal sebatas tindakan hati yang menyerahkan segala urusan kepada Allah. 

Tindakan pasif. 
Terserahlah pada Allah untuk menentukan hasil atau akibat daripada usaha yang telah dikerahkan. 

Apakah tawakkal itu tindakan pasif? 
Surah Al-Isra' mengajar sebaliknya.

Bahawa tawakkal itu hakikatnya adalah tindakan aktif. 
Tawakkal bukan sekadar tindakan hati tetapi termasuklah perbuatan anggota badan. 

Tawakkal kepada Allah SWT bermakna engkau percaya kalamNya (Al-Kitab), lalu bersungguh-sungguh bertindak ikut apa yang terkandung dalam Al-Quran. Ketaatan terhadap kandungan Al-Kitab adalah bukti engkau mengambilNya sebagai Al-Wakil (Tuhan Yang kau serahkan segala urusan). 

=====
{ وَءَاتَيۡنَا مُوسَى ٱلۡكِتَٰبَ وَجَعَلۡنَٰهُ هُدٗى لِّبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ أَلَّا تَتَّخِذُواْ مِن دُونِي وَكِيلٗا }

Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): "Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)".
[Surah Al-Isrāʾ: 2]
=====

Sejarah Bani Israil, mereka diberikan Al-Kitab agar tawakkal kepadaNya, mengambil Allah SWT sebagai وَكِيلٗا. 

Patuh kandungan Al-Kitab adalah bukti diri tawakkal kepadaNya. 
.
.
.
Kita bertawakal kepada Allah SWT dalam lapangan kehidupan apa? 

Tawakkal kepadaNya dalam urusan rezeki?
Tawakkal kepadaNya dalam urusan kesihatan?
Tawakkal kepadaNya dalam urusan jodoh?
Tawakkal kepadaNya dalam mengharapkan kebaikan dalam rumahtangga yang sedang dibina? 

Seorang yang mengharapkan status kesihatan yang baik dan tawakkal kepada Allah SWT akan ambil tindakan aktif taat perintahNya. 

1) Si ibu bersungguh-sungguh pelihara corak makan minumnya (AlBaqarah :168), si ayah berikan keperluan makan minum si ibu (AlBaqarah:233). Si ibu usaha menyusukan anak sehingga 2 tahun (Al-Baqarah,2:233). Secara saintifiknya, memang susu ibu membina imuniti kuat kepada anak-anak.

Dan nak mendapatkan susu badan, bukan semata-mata tak jaga makan minum, tak suka minum air kosong bertahun-tahun (lifestyle sentiasa minum air manis), kemudian apabila jasad tak mampu hasilkan susu akibat kegersangan sumber² asas pembinaan susu, terus berserah kepada takdir "Dah Allah tak rezekikan saya tiada susu badan, nak buat macam mana, redho je lah." 

Lagi, 

2) Seorang dewasa, pastikan makan minumnya adalah toyyib,mengelak daripada sumber makanan Yang buruk (Al-Baqarah : 172) serta tidak makan secara berlebihan (Al-Araf : 31)

Begitu, contoh tawakkal kepadaNya soal kesihatan. Bukan dengan cara makan sesuka hati tak ingat dunia, langgar segala perintahNya terkait panduan makan minum,  tiba-tiba dah jatuh sakit, tawakkal kepada Allah, mengharapkan kesembuhan. 
.
.
.
Contoh lain,
Seorang suami yang mengharapkan rezeki yang cukup, bertawakal kepadaNya dengan ambil tindakan aktif taat perintahNya.
Sanggup infaq harta kepada isteri dan anak-anak. Tidak culas memberi nafkah keluarga (An-Nisa : 34)

=====
{ ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ 

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana mereka (orang-orang lelaki) telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. 
[Surah An-Nisāʾ: 34]
=====

Bagaimana dengan memberi nafkah, jadi suatu usaha untuk mendapatkan rezeki? Sedangkan matematik membuatkan manusia memahami bahawa memberi = berkurangan rezeki. 

Tetapi hukum Tuhan mengajar bahawa tindakan pengabdian kepadaNya adalah sebab untuk beroleh rezeki. 

=====
{ وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِیَعۡبُدُونِ (56) مَاۤ أُرِیدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقࣲ وَمَاۤ أُرِیدُ أَن یُطۡعِمُونِ (57) إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِینُ (58) }
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.

[Surah Adh-Dhāriyāt: 56-58]
=====

Ada lagi, bagaimana seseorang tawakkal kepada Allah SWT soal jodoh yang baik agar terbina rumahtangga yang baik? Tentang ini, tawakkal kepadaNya adalah tindakan aktif melibatkan seluruh masyarakat kerana perintahNya merangkumi setiap peranan hidup ahli masyarakat. Usaha yang perlu dikerahkan bukan ketika tiba saat si lelaki/wanita mahu menikah tetapi harus bermula seawal pendidikan anak² yang baru lahir. 

1) Si ibu yang dikurniakan suami qawwam lalu punyai masa & tenaga untuk galas jawatan umm (ibu yang jadi 'imam' / ikutan anak-anak serta rujukan dalam kehidupan) akan ambil tanggungjawab mendidik anak-anak kandungan Al-Quran. Agar terlahir generasi lelaki yang layak jadi calon suami soleh dan generasi perempuan yang mampu jadi calon isteri solehah. (Rujuk sirot Maryam yang mendidik Nabi Isa a.s dan Ibu Nabi Musa a.s yang mendidik kakak Nabi Musa & Nabi Musa a.s sendiri). 

2) Si lelaki & wanita tundukkan pandangan & jaga kehormatan diri. Tidak bergaul bebas.  (An-Nur : 30-31). Khusus wanita, tidak menampakkan perhiasan, jaga aurat (An-Nur : 31). 

3) Ahli masyarakat yang sudah berumahtangga, usaha menikahkan mereka yang masih bujang (An-Nur : 32).

4) Si lelaki, usaha mencari calon isteri kalangan Yang beriman, bukan musyrik (Al-Baqarah : 221)

5) Wali si perempuan, usaha cari calon suami dalam kalangan yang beriman, bukan musyrik (Al-Baqarah : 221) 

Dan senarai ini boleh diteruskan lagi. 

Pun begitu, seorang individu hanya mampu melaksanakan apa yang dalam genggaman tanggungjawabnya. 
.
.
.
Contoh lain, 

Dalam konflik besar suami isteri sehingga terlafazlah cerai, kedua-dua suami isteri rasa gundah akan perihal rezeki. 

Jika kedua-duanya bertawakal kepada selain Allah, ada-ada sahaja terbit rasa mahu mendapatkan sebanyak-banyak manfaat daripada bekas pasangan dengan cara zalim.

Tetapi, yang memilih tawakkal kepada Allah SWT, akan lakukan tindakan aktif bertaqwa sepanjang proses perceraian berlaku. Lelaki tidak cari ruang menzalimi bekas isteri. Wanita juga tidak cari ruang menzalimi bekas suami. Tindakan taqwa inilah bukti tawakalnya mereka kepada Allah terhadap urusan perceraian rumahtangga. 

=====
وَمَن یَتَّقِ ٱللَّهَ یَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجࣰا (2) وَیَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَیۡثُ لَا یَحۡتَسِبُۚ وَمَن یَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَیۡءࣲ قَدۡرࣰا (3) }
dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
[Surah Aṭ-Ṭalāq: 2-3]
=====
.
.
.

Mesej utama, sudahkah menyedari bahawa makna tawakkal kepada Allah SWT adalah tindakan aktif ikut segala perintahNya dan jauhi laranganNya dalam Al-Quran?

Ulasan