"Boleh tak nak berhenti rehat jap, nak solat." Seorang doktor meminta receptionist berhenti terima pesakit.
"Maaf Doc. Saya tak boleh tolak pelanggan. Nanti boss pecat saya." Receptionist klinik swasta tersebut menjawab dengan rasa serba-salah.
"Tapi waktu Asar nak habis. Beritahu pesakit, tunggu kalau nak tunggu. Kalau tak, pergi klinik lain." Si doktor bertegas, terus meninggalkan kaunter. Dalam hatinya berbisik,
"Lantaklah. Kalau majikan nak potong gaji sebab saya tak terima pesakit, suka hati dialah." Jiwa sebenarnya meronta-ronta mahu berhenti berkhidmat. Tidak suka bekerja di tempat yang mengabaikan solat hanya kerana mengejar untung melalui pelanggan.
.
.
.
Ini, realiti yang berlaku di salah sebuah klinik swasta di Malaysia. Bukan satu dua cawangan, tapi banyak cawangan akibat polisi induk yang tak patuh syariah.
Meskipun dimiliki Muslim, Iman yang "bermasalah" terhadap konsep rezeki mengakibatkan tindakan memaksa staf abaikan solat demi rezeki.
"Klinik kita mesti untung. Tak boleh tolak pelanggan. Kalau biasa tolak pelanggan, lepas ni mereka siap-siap tak nak datang tempat kita lagi dah. Lepas tu, kita rugi. Kalau rugi, macam mana saya nak bayar gaji kamu semua?"
=====
{ ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةٗ مِّنۡهُ وَفَضۡلٗاۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ }
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
[Surah Al-Baqarah: 268]
=====
Nampak seakan-akan ada logiknya.
Kalau solat ketika ramai pesakit, rugilah klinik.
Tetapi.
Logik akal tidak sesekali mampu menandingi kebenaran wahyu. Kerana bukan kudrat manusia mengatur rezeki di dunia. Namun, rezeki ini dikurniakan Tuhan yang menurunkan Al-Quran.
FirmanNya,
Solat itu, salah satu jalan untuk mendapatkan rezeki daripadaNya.
Kalau tak jaga solat, agak-agak Ar-Razzaq mahu limpahkan rezeki?
=====
{ وَأۡمُرۡ أَهۡلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصۡطَبِرۡ عَلَيۡهَاۖ لَا نَسۡـَٔلُكَ رِزۡقٗاۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكَۗ وَٱلۡعَٰقِبَةُ لِلتَّقۡوَىٰ }
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.
[Surah Ṭā-Hā: 132]
=====
Ayat ini, khusus mengaitkan solat dengan rezeki.
Dalam surah Adz-Dzariyat pula, pengabdian secara umum, adalah syarat beroleh rezeki.
=====
{ وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِیَعۡبُدُونِ (56) مَاۤ أُرِیدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقࣲ وَمَاۤ أُرِیدُ أَن یُطۡعِمُونِ (57) إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِینُ (58) }
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
[Surah Adh-Dhāriyāt: 56-58]
=====
Apa maksud mengabdi?
Mari ambil satu contoh pengabdian = tidak mengambil riba.
Senario...
Ada seorang hamba Allah yang tak dikurniakan harta yang banyak, lalu menahan diri daripada mengambil riba sebagai salah satu bentuk pengabdian kepada Allah SWT.
Tiba-tiba, ada suara-suara yang menakutkan si hamba tadi akan rezeki.
"Awak tak nak berhutang di bank sebab tak nak riba? Macammana kalau awak mati awal? Isteri & anak-anak nak hidup mana?"
Ada lagi..
"Kalau awak tak beli, habis hartanah di Malaysia ni terjual kepada orang negara luar. Silap hari bulan, tergadai negara kita sebab semua milik orang luar. Awak jadi pelarian di negara sendiri."
Dan macam-macamlah.
Mengabdi kepada Allah SWT memang sering ditakutkan dengan ketidakcukupan rezeki. Dah memang itu tugas syaitan.
Takkanlah syaitan nak bisik direct "Kalau kau ingkar & berperang dengan Allah (riba), nanti rezeki kau lebih terjamin."
Tidaklah syaitan berbisik terang-terang begitu. Kalaulah ada syaitan yang berbisik begitu, agaknya iblis pecat terus, tak kompeten.
Realitinya, syaitan licik.
Sentiasa membisikkan yang bertentangan dengan bicara Tuhan, melalui cara halus.
Bila Allah kata solat itu jalan mendapat rezeki.
Syaitan buat manusia rasa, solat itu merugikan masa, harta & tenaga.
Bila Allah kata pengabdian kepada Allah SWT itu jalan untuk keterjaminan rezeki.
Syaitan berjanji yang semakin manusia taat kepada Allah, semakin sempit rezekinya.
Akhirnya...
Nak salahkan siapa?
=====
{ وَقَالَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لَمَّا قُضِيَ ٱلۡأَمۡرُ إِنَّ ٱللَّهَ وَعَدَكُمۡ وَعۡدَ ٱلۡحَقِّ وَوَعَدتُّكُمۡ فَأَخۡلَفۡتُكُمۡۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيۡكُم مِّن سُلۡطَٰنٍ إِلَّآ أَن دَعَوۡتُكُمۡ فَٱسۡتَجَبۡتُمۡ لِيۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوٓاْ أَنفُسَكُمۖ مَّآ أَنَا۠ بِمُصۡرِخِكُمۡ وَمَآ أَنتُم بِمُصۡرِخِيَّ إِنِّي كَفَرۡتُ بِمَآ أَشۡرَكۡتُمُونِ مِن قَبۡلُۗ إِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ }
Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya". Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
[Surah Ibrāhīm: 22]
=====
Solat & taatlah kepada Allah SWT.
Bukankah Dia yang kurniakan kita rezeki.
Ulasan
Catat Ulasan