Menyembah Tuhan di tepi: Apabila bertuhan, hanya untuk kepentingan material...


Ada individu, mengharapkan sesuatu daripada Tuhan, lalu dia berdoa berkali-kali kepada Robb.Tatkala Tuhan memakbulkan, dia gembira. Berterusan melaksanakan ibadah.

Tiba suatu waktu, dia merasakan Tuhan tidak memberikan apa yang dipinta. Dia rasa tak sanggup menghadapi kesulitan ujian dunia. Lalu, terbitlah rasa tak puas hati. Langsung mengabaikan solat, enggan beribadah kepada Tuhan.

"Merajuk dengan Tuhan?"
"Mahu memberontak dengan cara berhenti beribadah kepadaNya?"

Sedangkan apakah si hamba terlupa segala nikmat lain yang telahpun Dia kurniakan tanpa diri meminta?
Apakah si hamba tidak menyedari realiti hidup di dunia memang untuk diuji?

Si hamba tidak mengagungkan Allah SWT sedangkan Dialah Tuhan yang menciptakan dan mengatur sekalian alam.

Inilah golongan manusia yang menyembah Allah SWT di tepi.

Hanya mahu mengabdi jika mendapat manfaat material. Tetapi enggan mengabdi kepadaNya tatkala merasakan Tuhan tidak memenuhi kehendak diri.

======
{ وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَعۡبُدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ حَرۡفٖۖ فَإِنۡ أَصَابَهُۥ خَيۡرٌ ٱطۡمَأَنَّ بِهِۦۖ وَإِنۡ أَصَابَتۡهُ فِتۡنَةٌ ٱنقَلَبَ عَلَىٰ وَجۡهِهِۦ خَسِرَ ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةَۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡخُسۡرَانُ ٱلۡمُبِينُ }

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.

[Surah Al-Ḥajj: 11]
======

Refleksi diri.

Ada tak mana-mana waktu yang saya terbit rasa "tak puas hati" terhadap Robb kerana saya ditimpa ujian?

Pelan tindakan,

1. Pelajari makna kehidupan berpandukan wahyu agar dapat membetulkan perspektif kehidupan.
2. Kenali Tuhan & sedari segala nikmat yang telahpun Dia kurniakan.


Ulasan