Manisnya jihad



Seorang yang cenderung atau suka dengan sesuatu dosa, mudah terperosok dalam kancah maksiat berkali-kali. Lebih-lebih lagi apabila perbuatan dosa menjadi tabiat yang tak sanggup ditinggalkan. 

Khusus dosa terkait fahsya' (pergaulan bebas, bercinta sebelum ikatan nikah, pornografi & zina), lagi-lagi sulit untuk berhenti kerana "nikmat" yang dikecapi tak sanggup ditinggalkan. 

Pun begitu, dengan Iman yang ada, bukan pelik untuk para kaunselor menerima klien² terperangkap dalam kancah maksiat tetapi acapkali mahu berubah dan berhenti bermaksiat. Meskipun rasa malu sehingga ada yang mengambil masa lebih setahun untuk berterus-terang dengan kaunselor, tetapi ketukan Iman menolak diri untuk pilih jalan taubat. 

Ada mutiara Indah dalam Surah Al-Furqan dan Al-Ankabut buat pendosa. Bahawa si pelaku dosa yang memilih jalan jihad melawan nafsu serta berbuat islah, dijanjikan dosa yang diganti kebaikan atau dosa yang dihapuskan.

======
{ إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ عَمَلٗا صَٰلِحٗا فَأُوْلَٰٓئِكَ يُبَدِّلُ ٱللَّهُ سَيِّـَٔاتِهِمۡ حَسَنَٰتٖۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا }

Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[Surah Al-Furqān: 70]

{ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَنُكَفِّرَنَّ عَنۡهُمۡ سَيِّـَٔاتِهِمۡ وَلَنَجۡزِيَنَّهُمۡ أَحۡسَنَ ٱلَّذِي كَانُواْ يَعۡمَلُونَ }

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya Kami akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka, dan Kami akan membalas apa yang mereka telah kerjakan - dengan sebaik-baik balasan.

[Surah Al-ʿAnkabūt: 7]
======
Memang,
Untuk bertaubat dan berhenti melakukan dosa itu tidak mudah. Lebih-lebih lagi apabila otak yang mengawal tindakan jasad sudah disistemkan dengan keseronokan maksiat akibat rutin dosa yang dilakukan. 

Namun, hati yang masih hidup mampu melawan "perintah" otak agar jasad dipandu Iman. Bukan lagi sentiasa tunduk pada kecamuk bisikan fikiran, emosi dan desakan sensasi badan. 

Buat yang memilih jalan jihad melawan nafsu demi memenangkan Iman, realiti pilihan itu adalah untuk kebaikan diri sendiri. 

======
{ وَمَن جَٰهَدَ فَإِنَّمَا يُجَٰهِدُ لِنَفۡسِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ }

Dan sesiapa yang berjuang maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.

[Surah Al-ʿAnkabūt: 6]
======

Dan ingatlah, Allah SWT ada bersama mereka yang sanggup berjihad, bersungguh-sungguh demi agama. 

======
{ وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ }

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

[Surah Al-ʿAnkabūt: 69]
======


Ulasan