Abu meraba-raba katil sehingga dapat sentuh bahagian bucu. Kakinya jejak ke lantai sebelum digerakkan ke kiri dan kanan, memastikan tiada objek menghalang. Baru melangkah dua tapak, kepalanya terhantuk sesuatu. Dia terus terduduk. Terasa benjolan di dahi yang berdenyut-denyut. Jantungnya berdegup kencang, rasa tidak selamat dengan persekitaran. Titis air mata mula mengalir di pipi. Dia menguatkan lagi suara tangisan tetapi telinganya masih gagal mengesan esakan sendiri.
Kejadian kereta dipandunya merempuh pokok menerjah ingatan. Di sebalik syukur masih mampu bernafas, ada rasa berat untuk terima diri tidak lagi mampu mengesan cahaya yang beri warna-warni kehidupan. Bahkan telinga tidak lagi mampu dengar cangkerik di malam hari.
Gelap dan sunyi.
Meskipun sedang berbuat sesuatu, ibarat tidak melakukan sesuatu.
Tetap gelap dan sunyi.
Tiada cahaya. Tiada bunyi.
Kosong.
***
Dapat bayangkan jika seseorang diuji pekak dan buta?
Kebiasaannya, jika hilang salah satu, masih mampu belajar dengan kapasiti organ yang satu lagi.
Tapi, jika hilang kedua-duanya?
Sentiasa gelap, sentiasa sunyi.
***
Pernah memikirkan tentang fungsi pendengaran & penglihatan sebagai pintu ilmu? Kehilangan salah satu memang buat rasa sulit.
Ramai kaitkan dua pancaindera ini dengan tujuan menuntut ilmu agar raih kemampuan berkerja, mendapatkan rezeki. Tanpanya, terasa sulit untuk cari sumber kehidupan secara mandiri.
Lalu kehilangan dua pancaindera ini memang amat-amat menakutkan.
Ada satu lagi sisi.
Bagaimana jika manusia "kehilangan" hati, pendengaran & penglihatan untuk dapat petunjuk? Kaki sudah hampir-hampir berada di jurang neraka lalu dipanggil-apnggil ke pangkal jalan. Namun, tidak dapat mengesan petunjuk. Gelap, tidak nampak apa-apa. Sunyi, tidak dengar apa-apa.
Akhirnya jatuh ke dalam azab neraka.
Ibarat seorang yang tertidur dalam rumah yang sedang terbakar, ada yang cuba selamatkan dengan mengeluarkannya. Tapi dia gagal mengesan bahang api, gagal sedar asap berkepul-kepul, lantas tidak endahkan bantuan orang untuk selamatkan. Bahkan memarahi mereka yang cuba selamatkannya.
Akhirnya rentung sendirian.
Begitu ibarat manusia yang peringatan tidak lagi bermanfaat untuknya.
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ سَوَآءٌ عَلَيْهِمْ ءَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَSesungguhnya orang-orang ingkar, sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.Al-Baqarah 2:6
Apa sebenarnya yang berlaku pada golongan sebegini?
خَتَمَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْۖ وَعَلَىٰٓ أَبْصَٰرِهِمْ غِشَٰوَةٌۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.Al-Baqarah 2:7
Ada manusia, pekak dan buta terhadap peringatan. Meskipun hadir suara peringatan, ibarat tak dengar apa-apa. Sunyi. Meskipun didatangkan bukti-bukti kebenaran, dia tidak nampak apa-apa.
Gelap.
Cuba renungkan.
Seorang wanita diberi petunjuk untuk menundukkan pandangan & menutup aurat. Tetapi hati melihatnya sebagai penindasan. Sebaliknya rasa mulia jadi objek eksploitasi dengan dedah sana sini. Lalu berterusan ingkar perintahNya berkali-kali.
Mari fikirkan,
Seorang lelaki diberi petunjuk untuk memberi nafkah & melindungi. Tetapi hati melihatnya sebagai kerugian. Sebaliknya rasa mulia dengan kuat ambil kesempatan atas golongan lemah. Lalu berterusan menzalimi, ingkar perintahNya berkali-kali.
Kekufuran berkali-kali, berisiko membuatkan Allah memateri pendengaran & hati. Akibatnya parah.
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ ءَاذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَآۚ أُو۟لَٰٓئِكَ كَٱلْأَنْعَٰمِ بَلْ هُمْ أَضَلُّۚ أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْغَٰفِلُونَDan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.Al-A'raf 7:179
Jika hati & pendengaran ditutup, penglihatan terhijab, tiada lagi ruang petunjuk masuk.
Inilah kecacatan paling menakutkan.
Jika hilang pancaindera menangkap petunjuk, bagaimana untuk selamat daripada kesesatan?
Pengajarannya.
Koreksi diri.
Taubat.
Semak, apakah ada ayat-ayat Allah yang diingkari akibat nafsu tidak menyenangi?
Berdoalah kepada Allah agar dilunakkan hati.
Jangan sampai hati & pendengaran ditutup Allah, tidak lagi mampu garap petunjuk ilahi
Ulasan
Catat Ulasan