Kekuatan mengimani yang ghaib



Peliknya manusia bertaqwa ni,
Ketika kebanyakan orang rancak viralkan berita sensasi, dia pilih berhati-hati.
Ketika kebanyakan orang takut-takut memberi, dia sanggup derma bukan sikit-sikit.
Ketika berlaku kesilapan pihak lain, kebanyakan orang cepat melenting memarahi, dia masih mampu memaafkan dan tahan diri.
Antara yang paling "takjub"...
ketika diuji konflik rumahtangga mengakibatkan perpisahan, kebanyakan orang hadap dengan permusuhan & benci, cari peluang menzalimi. Tapi orang bertaqwa tetap buat baik, tunaikan hak, sehinggakan Allah berikan jalan keluar.
Pelik orang bertaqwa ni.
Menjadi tanda tanya.
Bagaimana nak jadi seperti mereka?
Allah bongkarkan rahsia mereka.
Pertama - Imani perkara ghaib.
Kedua - Dirikan solat.
Ketiga - Infaq Rezeki yang Allah berikan.
Keempat - percaya pada seluruh kitab yang Allah turunkan.
Kelima - Yaqin pada Hari Akhirat.

ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ يُنفِقُونَ
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
وَٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِٱلْءَاخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat.
Al-Baqarah 2:3-4

Patutlah orang bertaqwa mampu buat apa yang mereka buat.
Sebab, ciri pertama dah beri kekuatan luar biasa. Beriman pada yang ghaib.
Beriman pada yang ghaib bermakna percaya kepada yang tak nampak.
Imani Allah yang tak nampak. Sedar kekuasaan Allah. Teringat-ingat kata² Allah kepada calon syurga sehingga terbit kerinduan mahu bertemuNya.
Imani malaikat yang tak nampak. Sedar ada malaikat bersiap dan mengawas setiap ketika. Tak pernah rasa sendiri-sendiri sebab teringat ada malaikat di samping.
Imani neraka yang tak nampak. Tahu ada pohon zaqqum seperti kepala syaitan.Tahu sajian makan minum neraka yang membuatkan usus rosak.Tahu gambaran neraka Hutomah. Takut-takut nak buat dosa mengenang peritnya gambaran neraka dalam wahyu.
Imani syurga yang tak nampak. Tahu boleh dapat segala yang diingini dalamnya. Terbayang kediaman mewah yang mengalir sungai bawahnya. Terubat hati akan kekurangan dunia kerana tahu kehidupan sebenar adalah syurga.
Sedarkah kita, semua rukun Iman adalah ghaib ? Bagaimana untuk mengimani segala yang ghaib?
Jawapannya ada pada Quran.
Melalui Quran, Allah mengajar kita segala hal Iman yang ghaib.
Orang bertaqwa, akrab dengan Quran. Lalu Imannya kepada yang ghaib tinggi. Justeru, sistem nilainya berpaksikan Akhirat. Sanggup bersabar kerana mahukan Akhirat.
Sanggup memberi kerana mahukan syurga.
Sanggup tahan diri daripada laranganNya kerana takutkan neraka.
Jika jauh daripada Quran, Iman kepada yang ghaib sukar dibangun.
Jika Iman kepada yang ghaib amat lemah, bagaimana mungkin jadi manusia bertaqwa?

Ulasan