Kerana Dia Robb yang menjagaku

 Bayangkan jika permukaan bumi ini seperti bulan yang penuh dengan kawah-kawah. Sedikit permukaan mendatar. Para pejalan kaki harus sentiasa naik dan turun mengikuti alurnya. 

Kalau pakai kasut tu, entah berapa kerap nak beli baru sebab cepat rosak. 

Kenderaan pun, entah design bagaimana  baru sesuai melepasi permukaan sedemikian. 



Tetapi, Allah kurniakan nikmat kepada hambaNya, anak-anak Nabi Adam. 

Allah ciptakan bumi dengan permukaan selamat ibarat hamparan. 

Dilindungi bumi daripada ancaman angkasa lepas dengan langit sebagai binaan. Bahkan dihiaskan lagi langit itu dengan bintang-bintang. 



Bayangkan jika bumi ini tiada langit. Cuba mendongak, terus nampak angkasa lepas dengan meteorit menanti menghentam bumi. Mungkin suasananya ibarat bom yang dilancarkan dalam peperangan. Tanpa langit, adakah suasana di bumi ibarat peperangan hari-hari? 

Namun.

Sedarkah kita?

Allah telah menghamparkan bumi dan membangun langit buat kita. 

ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادٗا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ٢٢

«Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)(22)» [Al-Baqara: 22]

Allah, Dialah juga yang menciptakan tentera-tentera alam seperti laut, awan dan angin. Tanpanya, mana mungkin manusia mendapatkan air hujan. Bolehkah bayangkan jika tiada awan yang membawa hujan? Manusia harus menggunakan banyak kudrat mengangkut air daripada sumber yang pastinya menelan kos mahal. 

Namun, Dialah yang menurunkan air hujan daripada awam-awan di lautan yang ditolak angin ke daratan. Melalui air hujan itu, tumbuhlah berbagai-bagai jenis rezeki berkhasiat dan lazat daripada bumi. 




Lantas.

Mengapa tidak si hamba hanya mengabdi kepada Robb yang telah kurniakan banyak nikmat?

Saat kau melangkah, menapak kaki di bumi. 

Saat kau rasa selamat dinaungi awan dan langit. 

Saat kau rasa tenang melihat titisan hujan yang turut. 

Saat kau rasa nikmat menghidu aroma buah-buahan dan merasakan lazatnya rezeki kurniaanNya.

Ingatlah, ada Robb di sebalik segala nikmat yang dikecapi saban hari. 

Lalu, abdikanlah diri kepadaNya. 

Usah mengambil selainNya sebagai tandingan. 

Ulasan