Meniti Sirot





Banjir baru-baru ini merosakkan banyak harta. Bahkan jalan raya & jambatan turut musnah.
Boleh bayangkan situasi seorang pemandu kereta atas jambatan yang hampir-hampir runtuh ketika banjir melanda?
Menakutkan.
Mahu segera selamat ke bahagian darat.
Detik-detik mencemaskan sebegitu membuatkan ingat mati.
Yang berada di rumah, sujud syukur tidak terperangkap dalam situasi mencemaskan.
Rasa terselamat.
Rasa terlepas.
Dan kita doakan semua yang diuji pulih jiwanya dan raih kekuatan untuk bangkit.
Mari renungkan pula situasi Akhirat.
Di akhirat kelak, akan ada situasi mencemaskan ketika manusia mendatangi neraka.
Ketika itu, tiada seorang pun yang boleh larikan diri daripadanya.
Tiada seorang pun terlepas.
Semua harus menghadapinya.

وَإِن مِّنكُمْ إِلَّا وَارِدُهَاۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتْمًا مَّقْضِيًّا
Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.
Maryam 19:71

Menyedari hakikat ini.
Percaya terhadap detik-detik cemas yang pasti berlaku, pernahkah buat persiapan?
Bagaimana untuk selamat melepasi titian Sirot agar terselamat daripada neraka?

ثُمَّ نُنَجِّى ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوا۟ وَّنَذَرُ ٱلظَّٰلِمِينَ فِيهَا جِثِيًّا
Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.
Maryam 19:72

Ketaqwaan yang menyelamatkan.
Dan ketaqwaan ini terbit daripada jiwa yang beroleh petunjuk wahyu (Al-Baqarah, 2 : 1-2). Tanpanya, mampukah manusia bertaqwa?
Mampukah seorang netizen tahan diri daripada memburukkan & merendahkan orang lain jika tidak yakin akan azab dalam surah Al-Humazah?
Mampukah seorang suami mengeluarkan infaq (nafkah) kepada keluarga tanpa rasa "rugi" jika tidak dipujuk syurga dalam surah Al-Baqarah & An-Nisa'?"
Mampukah seorang isteri bersabar tidak mensulitkan urusan suami jika tidak dimotivasi pesan wahyu dalam surah At-Tahrim?
Mampukah seorang ayah menundukkan ego, lalu memaafkan dan berlapang dada terhadap ahli keluarganya jika tidak dipujuk surah At-Taghabun?
Lalu, sedarkah kita bahawa hal paling utama yang perlu setiap manusia peroleh adalah petunjuk jalan yang lurus? Itulah doa yang kerapkali diulang pinta mukmin setiap solat.

ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Al-Fatihah 1:6

Mari renungkan.
Allah tidak skripkan doa meminta rezeki dalam Al-Fatihah yang diulang baca setiap solat. Meskipun itulah yang jadi fokus kebanyakan manusia setiap hari.
Sebaliknya, Dia skripkan doa mohon petunjuk jalan yang lurus. Ternyata, hidayah adalah hal yang paling utama buat seorang manusia. Hidayah yang akan beri kesan pada kehidupan manusia dunia & akhirat.
Ada apa dengan hidayah?
Di sebalik kalimah ٱهْدِنَا, kita sebenarnya memohon dua bentuk hidayah iaitu irsyad (ilmu pengetahuan) dan taufiq (kemampuan beramal dengan ilmu agama yang dipelajari).
Satu persoalan.
Seorang yang kerapkali berdoa meminta rezeki & harta kepada Allah, kebanyakan waktu, dia juga akan usaha kerah tenaga dapatkan Rezeki dan harta. Tidak goyang kaki.
Bagaimana pula dengan muslim yang minima 17 kali minta petunjuk kepada Allah melalui solat? Apa tindakan lanjut yang harus dilakukan?
Jawabnya.
Harus kerahkan tenaga belajar wahyu untuk dapatkan petunjuk (irsyad).
Manusia yang enggan.
Manusia yang tak sanggup luangkan masa mempelajari Al-Quran.
Manusia yang tidak posisikan Quran sebagai hal utama (petunjuk) dalam hidup...
Apakah akan dapat petunjuk yang telahpun Dia turunkan? Cukupkah sekadar berdoa Mohon petunjuk daripada Allah tetapi tidak gerakkan upaya tadabbur Quran?
Moga setiap kita dikurniakan petunjuk melalui kefahaman ilmu wahyu.

Ulasan