Merasakan berbuat baik sedangkan tak sedar buat kerosakan.


Bayangkan situasi ini.

Ada seorang lelaki bukan Islam, yang memang dikenali selalu mengutuk agama ini. Pada suatu hari, dia mengajak seorang wanita muslim keluar makan berdua-duaan di sebuah restoran. 

Si muslimah ni tanpa berfikir panjang, terus sahaja menolak pelawaan. Banyak hukum-hakam keluar dalam mindanya. "Mana boleh keluar dengan lelaki berdua-duaan. Haram. Dia tu ajak sebab dia tak faham ajaran agama ni. Dia pun bukan suka dengan agama Islam." 

Ada lagi seorang lelaki Islam. Nampak baik sebab suka berpakaian kemas dan kadang-kadang pakai kopiah. Pada suatu hari, dia mengajak seorang wanita muslim keluar makan berdua-duaan di sebuah restoran. 

Si muslimah berada dalam dilema. "Dia tu macam baik. Mesti dia tahu hukum-hakam agama. Tak salah kut saya keluar dengan dia." 

Apakah perbezaan dua situasi di atas? 

Golongan manusia yang secara terang-terangan tidak mengimani Allah s.w.t, tindakan pengingkaran yang dilakukan nampak jelas. Peribadi yang tidak sorok-sorok dan secara terang tidak menerima Islam membuatkan kita dengan mudah menganalisa dan buat keputusan. 

Sebaliknya, banyak kerosakan berlaku pada golongan yang secara luarannya nampak beriman tetapi perbuatan adalah cerminan pengingkaran dalam hati. Yang lebih mengkhuatirkan adalah tatkala perbuatan dosa yang dilakukan diterima sebagai perkara biasa bukan lagi larangan Allah akibat masyarakat yang jauh daripada petunjuk, tak mampu beza baik dan buruk. 

Sebelum itu, suka nak mengingatkan. Contoh yang dilontarkan sekadar nak menampakkan kerosakan yang berlaku tatkala orang yang dianggap beriman memilih jalan dosa. Tidak sekali-kali untuk melabel manusia yang bertindak sedemikian adalah munafik. Soal label munafik atau tidak hanya untuk diri sendiri koreksi diri. Apakah saya berperangai munafik? 

"Saya buat islah!"

Pada zaman rasulullah s.a.w, ada manusia yang terlihat beriman tapi sering melakukan dosa dan keingkaran. Mereka bahkan mendatangkan bahaya kepada golongan beriman kerana berhubung baik dengan puak-puak musuh Islam. Pada sangkaan mereka, apa yang dilakukan adalah kebaikan. Tetapi Allah menempelak dan menyatakan kebenaran. 


وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ قَالُوٓاْ إِنَّمَا نَحۡنُ مُصۡلِحُونَ١١ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلۡمُفۡسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشۡعُرُونَ١٢

«Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan"(11) Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya(12)» [Al-Baqarah: 11-12]

Istilah fasad dalam ayat ini merujuk dosa dan keingkaran kepada Allah s.w.t. Perbuatan melanggar perintah Allah atau tidak melaksanakan perintahNya sebenarnya mengakibatkan kerosakan di bumi. Apa yang lebih menakutkan, golongan munafik tidak menyedari tindakannya adalah kerosakan.  Manusia yang tidak sedar melakukan kerosakan akan berterusan mengerjakannya kerana menganggapnya satu kebaikan.

Mengapa mereka tidak sedar? 

Ini berpunca hati yang sakit seperti yang diterangkan pada ayat sebelumnya. Meskipun secara zahir mereka terlihat seperti orang beriman, tetapi hati enggan taat kepada Allah lalu mensia-siakan Al-Quran (petunjuk Allah). Akibatnya mereka meneruskan kehidupan dalam keadaan "perasan" buat kebaikan sedangkan mereka berbuat kerosakan. 

قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِينَ أَعۡمَٰلًا١٠٣ ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعۡيُهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا١٠٤ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِ‍َٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَآئِهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فَلَا نُقِيمُ لَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَزۡنٗا١٠٥

«Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?(103) (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan"(104) Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak(105)» 

[Al-Kahf: 103-105]

Cinta dunia, tidak mahu berkorban atau hadapi kesulitan dalam beriman.

Ketika di Madinah, orang-orang munafik menyaksikan pengorbanan yang dilakukan para sahabat yang beriman. Para sahabat sanggup meninggalkan bumi Mekah , berhijrah ke Madinah dalam keadaan serba kekurangan. 

Begitulah definisi iman sebenar yang ditonjolkan para sahabat zaman Rasulullah s.a.w. 
Begitulah konsep keimanan yang sanggup berjihad dan korbankan banyak hal. 

۞قَالَتِ ٱلۡأَعۡرَابُ ءَامَنَّاۖ قُل لَّمۡ تُؤۡمِنُواْ وَلَٰكِن قُولُوٓاْ أَسۡلَمۡنَا وَلَمَّا يَدۡخُلِ ٱلۡإِيمَٰنُ فِي قُلُوبِكُمۡۖ وَإِن تُطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَا يَلِتۡكُم مِّنۡ أَعۡمَٰلِكُمۡ شَيۡ‍ًٔاۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ١٤ إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمۡ يَرۡتَابُواْ وَجَٰهَدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّٰدِقُونَ١٥

«Orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam '. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"(14) Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)(15)» [Al-Hujurat: 14-15]


Orang munafik dengan perspektif yang dangkal mahu beriman sekadar "lip service" iaitu mendapat gelar "orang beriman" tanpa perlu bertanggungjawab melaksanakan suruhan Allah seperti berhijrah. Mereka hanya mahu yang mudah-mudah daripada agama dan mendatangkan keuntungan dunia. Pada pandangan mereka, para sahabat adalah "bodoh" kerana sanggup berkorban untuk agama dan merekalah bijak kerana tahu ambil kesempatan. 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤۡمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعۡلَمُونَ١٣

«Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)(13)» [Al-Baqarah: 13]

Bahkan, disebabkan iman yang lemah, mereka menjadi golongan "opportunist" yang cuba ambil kesempatan untuk keselamatan dan kepentingan diri. Apabila bersama orang beriman, mereka mengaku beriman. Tetapi apabila bersama golongan kafir, mereka menyatakan mereka bersama mereka. 

وَإِذَا لَقُواْ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ إِلَىٰ شَيَٰطِينِهِمۡ قَالُوٓاْ إِنَّا مَعَكُمۡ إِنَّمَا نَحۡنُ مُسۡتَهۡزِءُونَ١٤

«Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)"(14)» [Al-Baqarah: 14]

Menjadikan agama atau gelar "orang beriman" sekadar sebagai alat mendapatkan keuntungan duniawi. 

Apakah akibat bersikap sebegini?


ٱللَّهُ يَسۡتَهۡزِئُ بِهِمۡ وَيَمُدُّهُمۡ فِي طُغۡيَٰنِهِمۡ يَعۡمَهُونَ١٥

«Allah akan (membalas) olok-olok mereka dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu)(15)» [Al-Baqarah: 15]


Kelak, Allah sendiri yang akan membalas olok-olok mereka. Kita dapat saksikan kejadian ini pada surah Al-Hadid bilamana orang munafik diperolok-olokkan Allah ketika di akhirat kelak. 


يَوۡمَ تَرَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَسۡعَىٰ نُورُهُم بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَبِأَيۡمَٰنِهِمۖ بُشۡرَىٰكُمُ ٱلۡيَوۡمَ جَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ١٢ يَوۡمَ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلۡمُنَٰفِقَٰتُ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱنظُرُونَا نَقۡتَبِسۡ مِن نُّورِكُمۡ قِيلَ ٱرۡجِعُواْ وَرَآءَكُمۡ فَٱلۡتَمِسُواْ نُورٗاۖ فَضُرِبَ بَيۡنَهُم بِسُورٖ لَّهُۥ بَابُۢ بَاطِنُهُۥ فِيهِ ٱلرَّحۡمَةُ وَظَٰهِرُهُۥ مِن قِبَلِهِ ٱلۡعَذَابُ١٣ يُنَادُونَهُمۡ أَلَمۡ نَكُن مَّعَكُمۡۖ قَالُواْ بَلَىٰ وَلَٰكِنَّكُمۡ فَتَنتُمۡ أَنفُسَكُمۡ وَتَرَبَّصۡتُمۡ وَٱرۡتَبۡتُمۡ وَغَرَّتۡكُمُ ٱلۡأَمَانِيُّ حَتَّىٰ جَآءَ أَمۡرُ ٱللَّهِ وَغَرَّكُم بِٱللَّهِ ٱلۡغَرُورُ١٤

«(Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari kiamat): orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka): "Berita yang mengembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar"(12) (Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman: "Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu". (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): "Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)", serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa(13) (Pada saat itu) mereka (yang munafik) menyeru orang-orang yang beriman (sambil berkata): "Bukankah kami bercampur gaul dengan kamu (di dunia dahulu)?" Orang-orang yang beriman menjawab: "Benar! Akan tetapi kamu telah membinasakan diri kamu (dengan perbuatan munafik) dan kamu telah menunggu-nunggu (kebinasaan umat Islam), dan kamu pula ragu-ragu (terhadap perkara-perkara ugama) serta kamu diperdayakan oleh angan-angan kosong (untuk mencapai maksud kamu), sehinggalah datangnya (maut) yang ditetapkan oleh Allah (kepada kamu). Dan (selain itu), kamu pula diperdayakan oleh bisikan Syaitan dengan (pengampunan) Allah (semata-mata dan melupakan azabNya)(14)» [Al-Hadid: 12-14]


Refleksi diri.

Bagaimana saya mendefinikan iman?

Sudahkah saya beriman seperti para sahabat yang membuktikan iman dengan jihad dan amal soleh? 

Ataukah saya  mengikuti jejak munafik yang beriman sekadar "lip service" lalu enggan taat suruhan Allah s.w.t? 

Ulasan