Munafiq : Yang perasan diri beriman tetapi dinafikan Tuhan


 "Untung kita orang beriman ni."

"Sebab?"

"Sebab, walaubagaimanapun perangai kita, pasti akan masuk syurga nanti."

"Ya, orang beriman memang tempatnya di syurga. Tapi..."

"Tapi?" 

"Ada golongan perasan beriman, tiba kat akhirat baru tersedar tak beriman sebab Allah nafikan iman dia."

"Haish."

"Sungguh. Di dunia nampak beriman, kad pengenalan beragama Islam. Tapi di akhirat baru tahu dia tak beriman."

"Apa jadi dengan orang begitu?"

"Neraka."


***

    Permulaan al-Baqarah mengajar kita tentang 3 golongan manusia. Golongan bertaqwa adalah golongan yang hatinya penuh iman dan tindakannya adalah amal ketaatan dan kebaikan (soleh). Golongan ingkar (kafir) pula adalah mereka yang hatinya menolak iman dan tindakannya adalah keingkaran. 

    Golongan terakhir adalah kategori munafik. Dalam hati mereka enggan beriman dan taat tetapi secara zahirnya nampak seperti orang beriman. Golongan ini hidup bersama orang-orang beriman dan nampak seperti orang beriman. Pun begitu, tindakannya selalu berbuat dosa, enggan taat kerana dalam hatinya sebenarnya enggan menyerah diri kepada Allah. Apa  yang lebih parah, sesetengah manusia daripada golongan ini tidak sedar sama sekali bahawa dirinya termasuk golongan munafik. Saat berhadapan dengan Allah s.w.t kelak, Allah s.w.t yang akan menafikan iman mereka. 


وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَمَا هُم بِمُؤۡمِنِينَ٨

«Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman. » [Al-Baqarah, 2 : 8]


Menyingkap sejarah munculnya golongan munafiq pada zaman rasulullah, hal ini berlaku selepas hijrah. Ketika berada di Madinah, orang-orang beriman kuat dan dapat banyak kemenangan serta kekuasaan. Ada manusia yang turut mahu mendapatkan manfaat dan kebaikan daripada gelar "orang beriman". Lalu, golongan ini mengizinkan diri masuk dalam agama Islam, belajar kebenaran dan tampil seperti orang beriman. 

Penyakit cinta dunia menyebabkan golongan yang tersesat ini pilih jalan menampakkan keislaman diri kerana mahukan manfaat yang diperoleh orang Islam. Golongan sebegini mendapat kepercayaan orang beriman sedangkan mereka berterusan berbohong dan berdusta akan hakikat diri mereka yang sebenar. 

Sangkanya, mereka bijak, mampu memperdayakan orang-orang beriman. 

Namun, Allah menempelak. 

يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَمَا يَخۡدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ٩

«Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya(9)» [Al-Baqara: 9]

Golongan sebegini berusaha membuktikan iman mereka dengan menyembunyikan kekufuran dalam jiwa. Realitinya, pembohongan yang dilakukan sebenarnya memakan diri. Kerana mereka sendiri tidak tersedar akan malapetaka yang dijemput. 

    Apa yang membuatkan golongan munafiq bertindak ingkar meskipun terzahir seakan-akan orang beriman? 


فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضٗاۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡذِبُونَ١٠

«Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit , maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)(10)» [Al-Baqara: 10]

Hatinya berpenyakit kerana berterusan berdusta. 
Apa yang mereka berterusan berdusta?

Mereka berdusta menyatakan diri sebagai muslim di khalayak ramai, sedangkan hakikat hati enggan taat, mahu langgar segala perintah Allah s.w.t 

Koreksi diri, sudahkah hati saya benar-benar lapang dan tunduk untuk beriman kepada Allah s.w.t?

Ulasan