Beli kesesatan yang terlihat bernilai dengan petunjuk. Tidakkah rasa rugi?




Ada manusia, petunjuk wahyu sudahpun sampai padanya. Dia berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan petunjuk. Ibarat cuba menghidupkan api melalui mereka yang telahpun mendapat cahaya. Namun, Setelah api bernyala, tiba-tiba cahayanya hilang. Hidupnya kembali gelap.

مَثَلُهُمۡ كَمَثَلِ ٱلَّذِى ٱسۡتَوۡقَدَ نَارً۬ا فَلَمَّآ أَضَآءَتۡ مَا حَوۡلَهُ ۥ ذَهَبَ ٱللَّهُ بِنُورِهِمۡ وَتَرَكَهُمۡ فِى ظُلُمَـٰتٍ۬ لَّا يُبۡصِرُونَ ( ١٧ )
Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).
Al-Baqarah, 2 : 17


Kenapa?
Kerana ada sesuatu yang tak kena pada hatinya.
Dia cuba menampakkan iman kerana cinta dunia. Dia beriman, bukan kerana mahukan kebenaran. Dia nampak beriman kerana mahukan manfaat dunia, bukan untuk petunjuk. Lalu bila petunjuk sudahpun diterima, dia masih sanggup menjualnya demi kesesatan yang dilihat lebih bernilai .
Petunjuk diabaikan.

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَـٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَـٰرَتُهُمۡ وَمَا كَانُواْ مُهۡتَدِينَ ( ١٦ )
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayat.
Al-Baqarah, 2 : 16

Pernahkah jumpa seorang yang memiliki 200 g emas di tangan. Lalu tiba seseorang menawarkan kayu dan batu. Cintanya terhadap kayu dan batu menyebabkan dia sanggup membeli kedua-duanya dengan menyerahkan 200 g emas yang asal miliknya.
Apakah dia beroleh keuntungan?


Rugi.
Bahkan, realiti sikap membeli kesesatan dengan petunjuk adalah jauh lebih rugi.
Golongan sebegini ibarat kehilangan pancaindera berharga dalam dirinya.
Merekalah si pekak, bisu dan buta.

صُمُّۢ بُكۡمٌ عُمۡىٌ۬ فَهُمۡ لَا يَرۡجِعُونَ ( ١٨ )
Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).
Al-Baqarah, 2 : 18

Ada satu lagi golongan. Mereka tidaklah serahkan keseluruhan 200 g emas tersebut untuk membeli kayu dan batu. Mereka masih simpan sedikit daripadanya. Hanya simpan sejumlah yang dirasakan masih punyai nilai.

Begitulah manusia. Ada juga golongan yang suka memilih-milih ayat-ayat Quran. Mana-mana ayat Quran yang nampak beri faedah kepadanya, dia akan ikuti. Tetapi, yang terlihat tidak senada dengan hawa nafsunya, semuanya diingkari. Ibarat seorang lelaki dalam keadaan hujan lebat dengan kilat sabung-menyabung.  Hanya berjalan tatkala terlihat cahaya petir. Kebanyakan waktu gelap, statik tidak bergerak ke mana-mana. Berada dalam ketakutan terhadap bunyi guruh seperti takutkan kematian.

Ibaratnya manusia yang takut belajar wahyu, kerana enggan bertanggungjawab mengamalkannya. Takut terpaksa melepaskan kehendak syahwatnya setelah mengetahui kebenaran ayat-ayat Tuhan. Hanya mahu menerima ayat-ayat Allah yang selari dengan kehendak hawa nafsu.
 
أَوۡ كَصَيِّبٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فِيهِ ظُلُمَـٰتٌ۬ وَرَعۡدٌ۬ وَبَرۡقٌ۬ يَجۡعَلُونَ أَصَـٰبِعَهُمۡ فِىٓ ءَاذَانِہِم مِّنَ ٱلصَّوَٲعِقِ حَذَرَ ٱلۡمَوۡتِ‌ۚ وَٱللَّهُ مُحِيطُۢ بِٱلۡكَـٰفِرِينَ ( ١٩ )
Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang ingkar itu.
Al-Baqarah, 2 : 19

Adakah orang sebegini juga buta dan pekak?
Tidak.
Allah seakan-akan masih beri peluang bertaubat. Allah  mengancam jika masih berterusan dengan sikap sebegini, pendengaran dan penglihatan juga akan dihilangkan.

يَكَادُ ٱلۡبَرۡقُ يَخۡطَفُ أَبۡصَـٰرَهُمۡ‌ۖ كُلَّمَآ أَضَآءَ لَهُم مَّشَوۡاْ فِيهِ وَإِذَآ أَظۡلَمَ عَلَيۡہِمۡ قَامُواْ‌ۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمۡعِهِمۡ وَأَبۡصَـٰرِهِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ ( ٢٠ )
Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Al-Baqarah, 2 : 20

Duhai hati,
Bagaimana merespon dengan bicara Tuhan?
Sudahkah rasa gerun akan ancamanNya?
Imanilah wahyu keseluruhannya. Terimalah petunjuk Allah s.w.t keseluruhannya. Usah hanya mentaati ayat-ayat yang memenuhi keinginan hawa nafsu. Dan cuba lari daripada mempelajari ayat-ayat Quran yang dirasakan bawa "kerugian" pada kehendak diri.




Ulasan