"Bayangkan pada suatu hari, kau terima satu surat daripada istana." Hidayah memulakan bicara.
"Macam cerita dongeng, je." Nur menyentap bicara temannya.
"Haish, aku tak habis cakap lagi."
"OK..OK.."
"Dalam surat tu, bongkar rahsia yang ayah kau sebenarnya putera raja. Jadi kau bakal jadi permaisuri."
"Ni macam filem orang putih tu."
"Dengar dulu..."
"OK."
"Jadi kau pun terkejut sungguh-sungguh. Sebab kau kena ubah cara hidup untuk pegang jawatan tu. Jadi, kau nak tak status tu?"
"Tak nak."
"Eh?"
"Boleh ke pilih?"
"Itulah, kan. Entah bagaimanalah keadaan orang yang sebenarnya status dia tinggi. Tapi dia tak sedar pun."
"Macam status khalifah ni lah."
"Hah! Status tu macam pernah dengar."
"Kitalah ni. Anak-anak Adam. Sepatutnya galas status khalifah. Bukan calang-calang statusnya. Tapi, gaya hidup kita ini ada macam khalifah?"
"Sebelum kau tanya tu, aku ada satu soalan yang lebih mendasar."
"Apa?"
"Khalifah tu apa sebenarnya?"
***
Dalam surah Al-Baqarah, ada satu sejarah epik yang Allah rakamkan dalam Al-Quran membuatkan kita rasa dekatnya Allah dengan manusia.
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةً۬ۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيہَا مَن يُفۡسِدُ فِيہَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ( ٣٠ )
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
Al-Baqarah, 2 : 30
Melalui ayat ini, Allah memfungsikan penciptaan Nabi Adam (dan generasinya selanjutnya) sebagai khalifah di bumi. Malaikat pula bertanya kenapa sambil berhujah bahawa yang diciptakan itu akan membuat bencana dan menumpahkan darah.
Ada yang tertanya-tanya, bagaimana malaikat boleh tahu yang manusia kelak akan melakukan bencana dan menumpahkan darah? Sedangkan manusia belum diciptakan lagi.
Ada pendapat yang mengatakan bicara malaikat ketika itu merujuk makhluk jin yang sebelumnya mendiami bumi. Sebelum manusia diciptakan, jin telah terlebih dahulu diciptakan . Ini adalah berdasarkan dalil surah Al-Hijr ayat 26-27.
Ada juga pendapat yang mengaitkan ayat ke-30 surah Al-Baqarah ini dengan ayat berikutnya iaitu ayat ke-32. Malaikat hanya mengetahui apa yang diajarkan Allah. Maka berdalilkan ayat ini, ilmu tentang manusia bakal berbuat bencana dan menumpahkan darah sebenarnya adalah informasi yang Allah s.w.t sendiri khabarkan kepada malaikat. Lalu malaikat bertanya mengapa Allah mahu ciptakan khalifah daripada kalangan mereka yang akan berbuat bencana dan menumpahkan darah?
Ayat berikutnya akan menjelaskan karakteristik manusia yang layak menjadi khalifah iaitu manusia yang bersedia diajar Allah s.w.t seperti Nabi Adam a.s.
وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَہُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ ( ٣١ ) قَالُواْ سُبۡحَـٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ( ٣٢ ) قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَآٮِٕہِمۡۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَآٮِٕہِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّىٓ أَعۡلَمُ غَيۡبَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ ( ٣٣ )
Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. (31) Malaikat itu menjawab: Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (32) Allah berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?. (33)
Al-Baqarah, 2 : 31-33
Tanggungjawab khalifah dan kesediaan manusia diajar Tuhan.
Apa kaitannya?
Terlebih dahulu, mari fahami istilah khalifah.
Khalif bermaksud seseorang yang ambil alih tugas seseorang yang lain. Khalif juga bermaksud "Naib" iaitu berkerja bawah seseorang untuk tunaikan apa yang diperintahkannya.
يَـٰدَاوُ ۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَـٰكَ خَلِيفَةً۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٌ۬ شَدِيدُۢ بِمَا نَسُواْ يَوۡمَ ٱلۡحِسَابِ ( ٢٦ )
Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.
Shod,38 : 26
Khalifah adalah yang mendiami bumi dan punyai kemampuan memilih tindakan benar berbanding salah. Panduan membuat keputusan ini harus sentiasa berdasarkan kehendak Allah s.w.t dan bukan ikut hawa nafsu sesuka hati.
Pada ayat lain, Khalifah juga punyai maksud generasi yang menggantikan tempat pada hari kemudian.
وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَڪُمۡ خَلَـٰٓٮِٕفَ ٱلۡأَرۡضِ
Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah (pewaris) di bumi
Surah Al-An'am, 6 : 165
Melalui beberapa potong ayat-ayat Quran ini, sedikit sebanyak kita dapat garap definisi khalifah. Model khalifah adalah model Nabi Adam a.s (Al-Baqarah, 2 : 31-33) yang punyai kapasiti belajar daripada Robb yang menciptakannya. Lalu, manusia yang diajar Allah s.w.t melalui wahyu, akan mampu buat keputusan atau pilihan tindakan yang benar seperti Nabi Daud (Shod : 26). Seterusnya, kapasiti ini perlu diwariskan agar berlaku regenerasi manusia Robbani yang berterusan mengajar firman Allah kepada manusia sejagat dan usaha ini dapat kita perhatikan pada Nabi Zakariyya (ayah nabi Yahya) dan isteri Imran (Ibu Maryam) yang mahukan anak agar proses pewarisan agama ini terus berlaku.
Refleksi diri.
Sudahkah saya persiapkan hati yang mahu diajar Allah sebagaimana Nabi Adam diajar Allah ?
ٱلرَّحۡمَـٰنُ ( ١ ) عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ ( ٢ )
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. (1) Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. (2)
Ar-Rahman, 55 : 1-2
Sudahkah saya buat keputusan atau pilihan tindakan berdasarkan kebenaran, bukan hawa nafsu sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada Nabi Daud?
Sudahkan saya merancang pewarisan agama agar generasi robbani terus lahir? Generasi itulah yang akan galas tanggungjawab khalifah mengajar apa yang diajar Allah s.w.t.
Khalifah.
Satu status agung dipilih Allah terhadap hamba-hambaNya terpilih.
Persiapkanlah diri agar kita jadi manusia dipilih Allah sebagai khalifah.
Khalifah.
Itulah anak-anak Nabi Adam yang mahu diajar Allah s.w.t. (melalui Al-Quran)
Lalu memilih menjadi ejen yang mengajar manusia lain tentang apa yang diajar Allah s.w.t
Ulasan
Catat Ulasan