Golongan fasiq : Yang suka memutuskan apa yang diperintahkan untuk disambung



"Saya tak suka dia. Saya nak block dia."

"Saya rasa mereka tak peduli saya, saya tak nak dah ada apa² kaitan dengan mereka."

Sikap memutuskan ikatan silaturrahim. Boleh jadi berpunca hal kecil atau besar.
Adakah sikap ini "hak" manusia lalu boleh dilakukan bila-bila masa, terhadap sesiapa sahaja?

"Suka hati sayalah tak nak tegur dia."

Eh.

Amboi..amboi..amboi..
Dalam ayat ke-27 surah Al-Baqarah, Allah menjelaskan lebih terperinci ciri-ciri golongan fasiq. Setelah Allah menerangkan golongan bertaqwa, golongan kafir dan munafik, Kali ini Allah mengajar kita ciri-ciri fasiq pula.

ٱلَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مِيثَٰقِهِۦ وَيَقْطَعُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦٓ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِۚ أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَٰسِرُونَ
(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.
Al-Baqarah 2:27

Orang yang fasiq (defiantly disobedient) adalah mereka yang... :

1) Merombak perjanjian dengan Allah setelah diperteguhkan.
2) Memutuskan perkara yang disuruh Allah untuk diperhubungkan.
3) Buat kerosakan & bencana di muka bumi.

Sikap yang pertama terkait perjanjian kita mengakui Allah sebagai robb. Sikap merombak perjanjian dengan Allah adalah perilaku mengingkariNya & melanggar batasan.


وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْۖ قَالُوا۟ بَلَىٰۛ شَهِدْنَآۛ أَن تَقُولُوا۟ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَٰفِلِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

Al-A'raf 7:172

Sikap yang kedua pula adalah terkait tindakan memutus pertalian silaturrahim sesama keluarga & ahli masyarakat.
Manusia memang makhluk sosial.
Kita saling berinteraksi antara sesama. Konflik itu lumrah dalam perhubungan. Justeru, solusi konflik bukanlah dengan memutuskan hubungan. Tetapi isu itu harus diurus sebijaknya dengan taqwa.
Kenapa saya perlu bersihkan diri daripada bersikap fasiq?
Kerana, Allah menyatakan bahawa golongan fasik adalah golongan yang rugi أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَٰسِرُونَ .
Anda pernah rugi?
Meletakkan sejumlah modal dengan mengharap pulangan lumayan. Tetapi sebaliknya berlaku. Untung tak dapat bahkan modal pun hangus. Lebih parah, tak pasal-pasal terpaksa berhutang.
Rugi.
Orang yang fasiq adalah golongan yang rugi.
Justeru, jom pelihara diri kita agar tak tergolong mereka yang fasiq.
1) Pegang janji kita sebagai hamba yang mengakui Dialah Rabb.
2) Hubungkan silaturrahim. Urus konflik sebijaknya. Jangan sampai putuskan ikatan persaudaraan.
3) Pelihara diri daripada berbuat maksiat dan kerosakan di bumi.

Ulasan