"Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama."
Biasa dengar mutiara hikmah ini?
Ada satu pedoman wahyu terkait perjalanan beribu batu mendekati neraka. Peringatannya adalah....
Jangan mula ikut langkah syaitan sejak langkah pertama.
وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٌ
dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
[Surah Al-Baqarah: 168]
Pernah tak, dalam perjalanan menuju satu destinasi, kita tak tahu jalan, percaya pada pihak di depan, lalu terus ikut sahaja ke mana dibawanya.
Kalau pihak yang dipercayai tu bawa tempat salah, memang destinasi sesat jawabnya. Kerana setiap pilihan langkah yang salah akan bawa pada langkah yang salah berikutnya.
Berterus-terusan salah.
Kalimah خُطُوَٰتِ bermaksud langkah-langkah.
Secara spesifiknya, Allah s.w.t melarang kita mengikuti langkah-langkah syaitan.
"Langkah-langkah" memberi kita gambaran bahawa bahkan syaitan sendiri melakukannya kerana itulah langkah-langkahnya. Itulah model kehidupan syaitan.
Apakah langkah-langkah syaitan?
Syaitan menapaki jalan takbur dan pendustaan.
Manifestasi ketakburan dan pendustaan syaitan adalah mengingkari perintah Allah s.w.t.
{ قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَیۡرࣱ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِی مِن نَّارࣲ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِینࣲ (12) قَالَ فَٱهۡبِطۡ مِنۡهَا فَمَا یَكُونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فِیهَا فَٱخۡرُجۡ إِنَّكَ مِنَ ٱلصَّـٰغِرِینَ (13) }
Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."
Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina".
[Surah Al-A`râf: 12-13]
Syaitan akan seru anak-anak Adam untuk mengikuti jejak langkah kesombongannya mengingkari Allah s.w.t. Itulah jalan perkara-perkara keji (maksiat terkait seksual) dan mungkar (segala pengingkaran lain).
{ ۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ وَمَن يَتَّبِعۡ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَإِنَّهُۥ يَأۡمُرُ بِٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۚ وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ مَا زَكَىٰ مِنكُم مِّنۡ أَحَدٍ أَبَدٗا وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يُزَكِّي مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٞ }
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.
[Surah An-Nûr: 21]
Jangan mula ikut bahkan pada langkah pertama.
Misalnya, syaitan berbisik menghasut si suami untuk takut kemiskinan lalu bakhil memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Maksiat ini nampak agak biasa dalam kalangan masyarakat zaman sekarang. Jika langkah ini tidak diputuskan, boleh bawa kepada langkah syaitan berikutnya mengajak perkara keji.
Si suami yang dulunya warak, mula tidak menundukkan pandangan, mula bergaul bebas dengan wanita lain, lalu berlaku curang.
Syaitan memperindahkan lagi segala jenis maksiat membuatkan bahkan orang berilmu berhujah perbuatannya tak salah.
{ ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةٗ مِّنۡهُ وَفَضۡلٗاۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ }
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
[Surah Al-Baqarah: 268]
Jika langkah ini masih tidak dihentikan, khuatir banyak lagi maksiat lain dilakukan.
Kenapa ya?
Kenapa si manusia boleh jadi "lemah" lalu dikawal syaitan? Seakan-akan syaitan punyai kuasa ke atasnya?
Sedangkan bukankah Allah pernah menyatakan bahawa syaitan lemah...
Kerana.
Rupa-rupanya kuasa syaitan ke atas manusia semakin bertambah setiap kali manusia memilih ikuti langkah-langkahnya.
Semakin banyak langkah-langkah syaitan diikuti, semakin banyak kuasa syaitan ke atasnya.
إِنَّ عِبَادِی لَیۡسَ لَكَ عَلَیۡهِمۡ سُلۡطَـٰنٌ إِلَّا مَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلۡغَاوِینَ (42) وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمَوۡعِدُهُمۡ أَجۡمَعِینَ (43)
"Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).
"Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu).
[Surah Al-Hijr: 42-43]
Begitu.
Perjalanan beribu batu ke neraka, bermula dengan langkah pertama mengikuti jejak syaitan.
Apa yang lebih menakutkan, Allah tak kata neraka itu buat mereka yang bukan Islam.
Tidak.
Allah berfirman, neraka itu untuk semua yang IKUT syaitan.
Tidak kiralah surat beranaknya beragama Islam atau tidak.
Kerana yang dinilai adalah kesemua perbuatan hati, lidah & tindakan. Bukan sekadar pada penerimaan bahawa Dialah Tuhan.
Sebab kalau nak kata "terima Allah sebagai Tuhan", Iblis pun terima bahawa Allah swt adalah Robb yang menciptakannya.
Refleksi diri.
Sudahkah saya berhenti & bertaubat daripada mengikuti langkah-langkah syaitan?
Mengapa masih percaya untuk ikut syaitan sedangkan musuh tidak mahukan buat saya melainkan keburukan.
إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٌ
Ulasan
Catat Ulasan