Mati di jalan Allah s.w.t , cita-cita tertinggi


Zaman muda remaja, ada yang mula memikirkan...

"Kan best kalau dapat kerja gaji besar, bebas hutang, dah tua tak payah risau apa-apa."

Ada juga yang...

"Untung dapat suami kaya, nanti hidup senang."

Ada lagi yang memikirkan kesenangan hari tua...

"Kena ada anak-anak kerja bagus & baik, harapnya masa tua mereka boleh jaga kita."

Dengan beranjaknya usia, memasuki 30-an, 40-an, tiba-tiba...

"Saya belum kahwin lagi ni, bagaimana?"
"Alamak, saya belum ada anak lagi."
"Kerja saya mengais lagi ni, tak cukup-cukup."

Bingung.
Takut dengan jaminan masa depan. 
Risau dengan perjalanan hidup tak sama dengan kebanyakan orang. 

Dengan cara fikir sesetengah masyarakat sebegini, tercoraklah cita-cita :
- Mahu kerja gaji besar
- Mahu pasangan yang cukup serba-serbi.
- Mahu anak ramai & berjaya. 

Hala tuju hidup berlumba-lumba untuk dapatkan harta & anak-anak. 

Yang tidak memiliki semua, rasa stigma yang memakan diri. Rasa diri tak guna. 

Ya Allah...
"Sebenarnya, apakah cita-cita terbaik untuk aku usahakan?"

Hari ni, tersentap dengan satu cita-cita akan "hidup senang" dan "hidup panjang tak mati-mati".

Cita-cita apakah itu? 

{ وَلَا تَقُولُواْ لِمَن يُقۡتَلُ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمۡوَٰتُۢۚ بَلۡ أَحۡيَآءٞ وَلَٰكِن لَّا تَشۡعُرُونَ }
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.
[Surah Al-Baqarah: 154]


Ada manusia, hidupnya adalah untuk memenuhi fungsi penciptaan diri.
Sebagai hamba yang belajar lalu mengamalkan Firman Tuhan.
Sebagai khalifah yang belajar lalu mengajarkan ayat-ayat Allah s.w.t.

Urusan mencari sumber kehidupan tidak melalaikannya daripada melaksanakan amanah daripada Tuhan. 

Biarlah hidup sekadarnya, dengan kudrat yang mampu. Asalkan jangan sampai mengesampingkan tujuan penciptaan sebagai hamba & khalifah. 

Tiba saatnya, dia mati atas perjuangan agama.
Ajal tiba ketika dia sedang berusaha letakkan kalimah Allah paling tinggi. 

Untuk golongan sebegini, mereka tidak mati.
Mereka hidup dengan mendapat rezeki daripada sisi Tuhan.

{ وَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ قُتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمۡوَٰتَۢاۚ بَلۡ أَحۡيَآءٌ عِندَ رَبِّهِمۡ يُرۡزَقُونَ }
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

[Surah Âl-`Imrân: 169]


Mereka yang mati di jalan Allah, realitinya terus hidup.
Terus mendapat jaminan rezeki daripada Robb yang menciptakan. 

Walaupun tak mampu biaya takaful. Meskipun tiada yang memberinya hibah. 

Rupa-rupanya, ada formula panduan Tuhan untuk dapat jaminan rezeki & sentiasa "hidup". 

Bagaimana? 

Posisikanlah diri untuk berjuang di jalan Allah s.w.t. 

Teladani Nabi Muhammad s.a.w.
Laksanakan sunnah terbesar baginda. 
Belajar wahyu.
Amalkan wahyu dalam segala aspek kehidupan sebagai anak, pasangan, pekerja, jiran, ahli masyarakat.
Dan sampaikanlah wahyu. 

Jika setiap hari difungsikan sebagai hamba & khalifah.
Jika setiap hari adalah perjuangan sampaikan firman Tuhan walau satu ayat sekalipun.

Moga-moga, saat ajal menjemput, mati dalam keadaan sedang membela agama Allah. 
Moga-moga tergolong sebagai syuhada'.
Terus hidup di sisiNya, menikmati rezeki dan kurniaan Tuhan selama-lamanya.

Ulasan