Pemimpin yang membersihkan rumah Allah s.w.t

Masuk ke masjid, seorang anak kecil ternampak satu bungkusan plastik roti. Isinya sudah tiada. Hanya sampah.

"Kutip plastik tu nak." Ibunya pesan.

"Kenapa?"

"Ni rumah Allah, kita kena bersihkan."

Anak kecil itu perturutkan bicara ibu. 
Dia perhatikan si ibu mengutip dua telekung atas lantai. Si ibu lipat dan kemaskan. Kemudian gantung pada tempat asal.

"Kenapa kena lipat semua ni? Ini bukan rumah kita."

"Ibu nak teladani pemimpin macam Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim bersihkan rumah Allah untuk tetamu-tetamu Allah."

________________

Pemimpin yang membersihkan rumah Allah s.w.t.

Siapakah itu? 

Setelah terbukti tingginya Iman Nabi Ibrahim a.s melalui ujian demi ujian, Allah s.w.t mengiktirafnya sebagai pemimpin Ummah.

=====
وَإِذِ ٱبْتَلَىٰٓ إِبْرَٰهِۦمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٍ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّى جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِىۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِى ٱلظَّٰلِمِينَ 

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."
Al-Baqarah 2:124
======

Dalam negara, ada sistem yang melantik Perdana menteri. 

Dalam organisasi, ada juga lantikan ketua.

Nabi Ibrahim a.s bahkan dilantik sebagai pemimpin Ummah.

Oleh siapa?

Bukan raja atau sultan sesuatu negara.
Bukan ahli lembaga syarikat besar. 

Tetapi, oleh Allah s.w.t, Tuhan yang mencipta manusia. 
Tuhan yang memiliki dan menguasai seluruh alam telah mengiktiraf Nabi Ibrahim a.s sebagai pemimpin Ummah .

Dan.
Apa perintahNya kepada imam Ummah ini?

"Bersihkanlah rumah Allah"

=====

وَإِذْ جَعَلْنَا ٱلْبَيْتَ مَثَابَةً لِّلنَّاسِ وَأَمْنًا وَٱتَّخِذُوا۟ مِن مَّقَامِ إِبْرَٰهِۦمَ مُصَلًّىۖ وَعَهِدْنَآ إِلَىٰٓ إِبْرَٰهِۦمَ وَإِسْمَٰعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِىَ لِلطَّآئِفِينَ وَٱلْعَٰكِفِينَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ 

Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud".

Al-Baqarah 2:125
=======

Antara teladan besar pemimpin Ummah ini adalah peribadi yang membersihkan rumah Allah s.w.t buat tetamu-tetamu Allah s.w.t yang datang untuk tawaf, iktikaf, rukuk dan sujud. 

Ruang beribadah yang bersih adalah salah satu tuntutan. 

Apatah lagi perintah ini diberikan kepada imam Ummah. 

Refleksi diri,
Sudahkah saya memimpin diri dan bertanggungjawab membersihkan masjid-masjid sebagai rumah Allah s.w.t?

Jika saya diamanahkan sebagai pemimpin, sudahkah saya "mendirikan solat" dengan memastikan orang bawah tanggungjawab saya diberi ruang melaksanakan ibadah wajib sebaiknya, tidak persulitkan mereka? Bahkan sudahkah saya sediakan tempat untuk mereka mudah mendirikan solat?

Bersihkanlah rumah Allah s.w.t untuk hamba-hamba Allah yang datang untuk rukuk dan sujud. 

Ini, 
Bukan tugas kecil tidak bermakna. 

Tetapi, 
Inilah teladan besar imam Ummah Nabi Ibrahim a.s .

Ulasan