Sesuatu di sebalik ujian



Dia, seorang manusia istimewa.
Diingati dan didoakan dalam setiap solat umat akhir zaman.
Mendapat posisi istimewa di sisi Tuhan sehingga digelar khalilullah oleh Pencipta.
Bahkan baginda a.s diiktiraf sebagai imam (ketua) oleh Allah s.w.t kepada ummah.

Apakah keistimewaan Nabi Ibrahim a.s, diperoleh secara percuma? Tanpa sebarang pengorbanan?

Realitinya,
Dialah Nabi yang diuji berat.
Dan baginda a.s telah membuktikan keimananNya dengan berjaya menghadapi ujian demi ujian dihampar Tuhan.

وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ
Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. ..
[Al Baqarah:124]

Cuba renungkan.

Nabi Ibrahim a.s. diuji berat dengan dilemparkan ke dalam api besar kerana memilih berdakwah kepada kaumnya. Imannya tetap kuat meskipun diuji dengan ancaman bunuh oleh ahli keluarga dan kaum yang dikasihinya.

Nabi Ibrahim a.s diuji berat dengan perintahNya untuk meninggalkan isteri dan anak yang dikasihi di sebuah lembah kontang tanpa sebarang sumber kehidupan. Dan baginda a.s penuh percaya kepada Allah s.w.t, bermohon kepadaNya untuk menjaga anak keturunannya di kawasan berkenaan.

Nabi Ibrahim a.s diuji berat dengan perintah (berbentuk mimpi) untuk menyembelih anak yang dikasihinya. Baginda a.s penuh percaya serah diri kepada Allah s.w.t bersama Nabi Ismail a.s. Terbukti ketundukannya sebagai hamba, Allah s.w.t kemudian menggantikan Nabi Ismail a.s dengan binatang qurban.

Ada apa di sebalik ujian?

Ujian sebenarnya ruang membuktikan keimanan. Ujian adalah peluang membuktikan kesabaran dan penyerahan diri sebagai hamba.

Melalui ujian, Allah s.w.t mengangkat darjat hambaNya.

Melalui ujian, manusia mendapat posisi yang lebih baik di sisi Tuhan.

Bukankah tidak akan manusia memasuki syurga melainkan setelah terbukti kesabaran dan kesungguhan (jihad) nya?


 
أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَعۡلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ مِنكُمۡ وَيَعۡلَمَ ٱلصَّٰبِرِينَ
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.  
[Al 'Imran:142]

Refleksi diri,
Sudahkah saya sabar dan redha hadapi ujian-ujian yang terhampar?
Sudahkah saya menghadapi ujian dengan petunjuk kebenaran?
Sudahkah saya mensyukuri ujian yang menimpa?
Di sebalik ujian, ada rahmatNya.

Ulasan