Tauhid rububiyyah yang melahirkan tauhid uluhiyyah


"Kenapa awak ikut cakap dia?"
-"Saya dah terhutang budi."

"Kenapa ikutkan hawa nafsu?"
-"Sebab rasa nikmat."

Tentang ilah.
Selalu diterjemahkan sebagai "Tuhan". 
Dan  ada terlalu banyak ilah atas dunia ini.

Ada insan, jadikan majikannya sebagai ilah, sebab bergantung soal rezeki, sehingga sanggup langgar perintah Allah.
Ada insan, jadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan, sebagaimana dinukilkan dalam Quran.

Islam datang dengan memerdekakan Muslim daripada segala jenis Ilah. 
Meruntuhkan segala jenis Ilah dalam diri manusia.
Dan menetapkan ilah hanyalah Allah.


{ وَإِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلرَّحۡمَٰنُ ٱلرَّحِيمُ }
Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[Surah Al-Baqarah: 163]


Kerinduan, kecintaan, pergantungan & harapan... Tatkala berkumpul segala rasa ini pada sesuatu...
Sesuatu itu akan dijadikan ilah yang disembah, yang ditaati. 

Dan Islam datang menghapuskan segala jenis Ilah. 
Bagaimana rasulullah s.a.w melakukannya? 

Dengan ayat qauliyah (Quran)
Dan ayat kauniyah (alam semesta)

{ إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِي تَجۡرِي فِي ٱلۡبَحۡرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٖ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٖ وَتَصۡرِيفِ ٱلرِّيَٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَيۡنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَعۡقِلُونَ }
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
[Surah Al-Baqarah: 164]


Pernah fikirkan bagaimana keadaan bumi, jika tiada langit (atmosfera)? Segala di angkasa lepas boleh tembus masuk ke bumi yang tiada perlindungan.

Pernah fikirkan jika bumi berhenti berputar?
Lalu ada bahagian bumi terus menerus malam, dan ada bahagian lain lagi terus menerus siang?

Pernah fikirkan jika laut dan angin tidak ditundukkan untuk manfaat manusia, tidak bergerak sewajarnya, lalu kapal gagal berlayar, tidak dapat mengangkut barang dagangan. 

Realiti seorang insan, hidup dalam limpahan nikmat daripada Allah s.w.t. Teraturnya alam semesta membuktikan Dialah selayaknya yang dirindui, yang dicintai, yang diharapkan. Justeru, Dialah selayaknya disembah sebagai ilah. 
لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَعۡقِلُونَ
Alam semesta adalah tanda-tanda kebesaranNya buat yang mahu berfikir.
 
Namun, insan yang enggan menggunakan akal tidak akan mengerti.

Lalu, sulit menumbuhkan rasa cinta kepadaNya. Sebaliknya lebih mencintai makhluk ciptaan yang dijadikan sebagai tandingan.


{ وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَندَادٗا يُحِبُّونَهُمۡ كَحُبِّ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَشَدُّ حُبّٗا لِّلَّهِۗ 
(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. 
[Surah Al-Baqarah: 165]


Orang beriman adalah golongan yang menggunakan akal untuk memikirkan ayat-ayat Allah.
Mereka peduli memahami wahyu (2:121)
Mereka peduli tafakkur alam. 

Lalu, jiwanya mengenali Tuhan, menumbuhkan rasa cinta kepadaNya, terbitlah peribadi yang taat kepadaNya. 

Refleksi diri.
Sudahkah saya rasa cinta Allah s.w.t melebihi yang lain?

Ulasan