Dan bahkan kau tak mampu kawal apa yang dalam dirimu sendiri.


Seorang gadis nampak tercungap-cungap menghampiri blok kediaman. 

"Rajinnya jogging hari ni." Ada rakan yang nampak kelibatnya, mengusik.

"Aku ada satu teori ni. Kalau aku lari, haid aku cepat habis." Dia menjawab tergelak-gelak. Separa tidak percaya apa yang diungkapkan.

"Berkesan tak, taktik tu?"

"Entah..."

***

Ada manusia, cuba mengawal apa yang berada di luar kemampuannya. Namun, walau sedaya apa yang dicuba, tetap tidak mampu melawan ketetapan yang dalam kekuasaan Allah s.w.t.

Ketika belajar ayat 222 surah Al-Baqarah, guruku mengajak kami membezakan dua kalimah ini. Apa beza یَطۡهُرۡنَۖ dan تَطَهَّرۡنَ .

Kalimah pertama menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t yang mengatur bilakah tamat tempoh haid seorang wanita, menjadikannya suci. Hal ini di luar kawalan si wanita.

Kalimah kedua pula menggambarkan usaha si wanita tadi menyucikan diri (dengan mengangkat hadas, mandi wajib) . Inilah ruang lingkup terbatas yang dalam kawalan wanita. 

Realiti manusia itu bahkan tidak mampu mengawal apa yang dalam dirinya sendiri. Justeru, selayaknya si hamba patuh terhadap aturan Allah s.w.t yang Maha Mengetahui dan jauh lebih tahu yang terbaik untuk hamba-hambaNya. 

Dialah Robb yang mentadbir seluruh alam.
Dialah juga Ar-Rahman yang memberikan petunjuk buat hamba-hambaNya. 

Cuba renungi analogi ini. Seorang ayah memiliki sebuah kereta. Dia yang "maintain" kereta tersebut setiap tahun & memastikannya baik berfungsi. Tiba-tiba si anak nak guna. Tapi anaknya nak guna ikut suka hati. Nak isi minyak dengan minyak diesel. Dan nak guna kereta ikut kawan-kawan berlumba atas jalan. Kalau si ayah tahu, mestilah si ayah bengang kan? Sebab tindakan "ingkar" si anak membuatkan kereta tu rosak tak berfungsi lagi.

Mari renungkan.
Allah s.w.t yang dah urus tadbir bumi, langit & matahari. Dia jugalah yang mentadbir segala sistem dalam jasad manusia. Tiba-tiba si manusia ni nak buat sesuka hati terhadap diri dan pasangan misalnya. Tak nak ikut aturan. Makan tak kisah halal haram. Berinteraksi dengan pasangan tak kisah dibenarkan syariat atau tidak. Berlakulah kerosakan segala arah. 

Renungi ayat 222 surah Al-Baqarah

Ayat tersebut sebenarnya memberikan aturan hubungan suami dan isteri. Memberikan kita kefahaman bahawa bahkan dalam urusan peribadi melibatkan pasangan tetap ada petunjuk panduanNya yang perlu ditaati. 

Hidup ini, memang bukan hidup-suka-aku.
Si suami tidak boleh berbuat sesuka hati terhadap isteri.
Dan si isteri juga tidak boleh berbuat sesuka hati terhadap suami.
Jika memilih untuk bertuhankan Allah s.w.t. 
Jika memilih menjadi hanya hamba kepadaNya. 

Hakikatnya,
Menjadi milik dan hamba Allah s.w.t adalah fitrah dan kebaikan buat si hamba. Lalu taat segala firmanNya adalah bentuk kenikmatan dan rahmah terbesar yang boleh dicapai seorang manusia. 

Untuk nikmat petunjuk ini,
Alhamdulillah.
 إِیَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِیَّاكَ نَسۡتَعِینُ

Ulasan