Haji : Bukan sekadar ibadah ritual tetapi juga peluang soleh sosial



"Takut tengok video orang berebut tolak-tolak di kaabah masa Haji."

"Risau juga..." 

"Mak saudara kata ada yang bergaduh berebut tempat sebab kata dia dah chup tempat tu dulu." 

"Kita kena expect semua tu berlaku. Bersedia."

"Eh, kenapa pula? Kalau boleh nak elak. Aku nak masa Haji nanti, semua baik-baik tak buat masalah dengan aku. Aku doa senang je perjalanan Haji aku. Selamat semuanya."

"Kau belum capai maqam ulul albab lagi kalau fikir macam tu."

"Oit. Amboi..amboi..amboi.."

"Sebab memang tujuan Haji nak latih kawal diri daripada buat dosa dan bertengkar. Kalau tiada suasana ujian tak selesa macam tu, kau ingat ada peluang ke kau nak tahan diri daripada mengumpat, marah-marah, buruk sangka & bertengkar? Kalau Haji tu senang, tak berinteraksi sosial dengan manusia, itu namanya percutian jalan² cari makan. Bukan ibadah Haji."
.
.
.
Haji.
Ibadah unik yang diajarkan Allah s.w.t kepada hambaNya. Itulah satu perjalanan kerohanian si hamba dalam meraih kawalan diri terhadap jiwa.


{ ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرࣱ مَّعۡلُومَـٰتࣱۚ فَمَن فَرَضَ فِیهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِی ٱلۡحَجِّۗ وَمَا تَفۡعَلُوا۟ مِنۡ خَیۡرࣲ یَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُۗ وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَیۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُونِ یَـٰۤأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِ }

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
[Surah Al-Baqarah: 197]


Dalam setiap keadaan sepanjang perjalanan haji, ada dua pilihan.

Mahu langgar larangan Allah s.w.t berbuat dosa (mengumpat, mencela menghina orang yang tak disenangi dll) dan bertengkar.

Atau, pilih buat kebaikan. 

Larangan Allah s.w.t sebenarnya ada 3 dalam ayat ini : 
1) Tidak boleh mencampuri isteri
2) Tidak boleh bermaksiat (segala larangan Allah SWT dalam Quran)
3) Tidak boleh bertengkar.

Sebaliknya, seruan kebaikan yang Allah perintahkan pula adalah seluas-luasnya.
وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٖ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُۗ
Kalimah مَا yang digunakan menggambarkan tidak terbatas kebaikan yang nak dibuat.

Misalnya, dalam situasi berebut tempat solat di masjid, boleh buat pilihan bermasam muka, marah-marah kepada orang tersebut sambil berburuk sangka dalam hati. Semua ini larangan (dosa) dalam Surah alhujuraat. 

 atau 

Buat pilihan kebaikan seperti berbuat baik maafkan, bermanis muka, tuturkan bahasa indah bahkan berikan keselesaan kepadanya. 

Contoh lain, dalam situasi terpaksa tunggu pasangan lambat jalan, atau tak setuju dengan Cara fikir pasangan, boleh buat pilihan mengherdik dan marah-marah,

atau

Berbuat Ihsan, tunggu dengan sabar, bertoleransi, bahkan hulurkan bantuan memudahkan urusannya. 
.
.
.

Ada manusia memahami ibadah Haji dengan kefahaman sempit yang hanya khusus ibadah ritual seperti solat, tawaf dan lain-lain. Lalu yang menjadi fokus adalah terlaksana semua ritual (manasik Haji) tersebut tanpa ambil kira akhlak baik sesama jemaah Haji lain. 

Tidak semua memiliki perspektif seperti ulul albab yang memaknai segala interaksi dengan manusia adalah termasuk ibadah Haji. 

Disebabkan itulah sebaik-baik bekal adalah taqwa. Taqwa itulah yang menahan diri daripada marah-marah, malas membantu orang yang susah, perli & merendah-rendahkan orang lain.

=====
وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ
dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri
=====

Sehingga akhirnya, beruntunglah ulul albab, yang bersedia dengan bekalan material cukup bahkan berniat membantu dan bersedekah kepada orang-orang lain yang kesulitan semasa Haji. 

Kerana ulul albab memahami ibadah Haji sebagai perjalanan membersihkan jiwa ruhaninya, bukan semata-mata ibadah ritual tanpa penyucian jiwa. Lalu usaha bersabar, menahan diri daripada bermaksiat & bertengkar itu satu kemestian. Dan pada setiap peluang menahan diri daripada melakukan larangan Allah, pada masa yang sama ada peluang melakukan kebaikan.

وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٖ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُۗ

Yakinilah, kesemua kebaikan itu, Allah s.w.t tahu, tidak akan disia-siakan. 
Bertaqwalah 
Bertaqwalah.
وَٱتَّقُونِ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ

Ulasan