"Ingat tak saya dah hari-hari buat semua ni untuk awak. Sampai hati hari ni awak buat begini pada saya."
Pernah dengar statement begini?
Kadang-kadang diungkapkan antara sesama teman.
Kebanyakan waktu, diungkapkan sesama ahli keluarga - suami, isteri, ibu bapa & anak-anak.
Memang tatkala insan yang diberi infaq berbuat jahat pada diri insan yang memberi infaq, hati sulit memaafkan
"Kacang lupakan kulit."
Tetapi, Allah s.w.t mengajar untuk Sabar.
Sabar.
Sabar.
Sabar.
Kerana, tatkala diri yang memberi infaq berbuat tiga hal, amalnya rosak, hilang, tak diterima Allah s.w.t. Tiga hal tersebut adalah :
1) Mengungkit/ mengingatkan penerima infaq Akan infaq yang telah diberikan
2) Menyakitkan hati orang yang diberi infaq (e.g menghebahkan dirinya menaja & memberitahu kondisi kewangan yang teruk).
3) Infaq kerana Riak, mahu mendapat pujian & sanjungan manusia.
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِي يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٞ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٞ فَتَرَكَهُۥ صَلۡدٗاۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَيۡءٖ مِّمَّا كَسَبُواْۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ }
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
[Surah Al-Baqarah: 264]
======
"Tapi, saya sakit hati jika pasangan saya tak hargai apa yang dah saya beri."
Memang manusia lemah, mengharapkan kasih sayang & perhatian manusia lain.
Lebih² lagi tatkala insan yang banyak kita beri infaq buat perangai yang menyakitkan, memang menambah kekecewaan & marah. Mulut laju mengungkit segala jasa dan bakti.
Allah s.w.t mendidik kita akan sesuatu.
3 penyakit hati di atas berpunca ini :
وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ
Tidak beriman pada Allah s.w.t
Dan tidak beriman pada Hari Akhirat.
Keimanan yang lemah membuatkan seseorang berbuat untuk dia dan bukan Dia. Lalu tatkala si dia tidak menghargai, terbit rasa marah, terasa sia-sia segala amal. Sedangkan, andai Amal dilakukan untuk Allah s.w.t, ketahuilah bahawa Allah Asy-Syakur, Dia mensyukuri segala amal hambaNya.
Ya, tidak dihargai teman-teman atau pasangan atau anak-anak itu realiti.
Justeru, pasakkanlah keyakinan & keimanan pada Allah s.w.t dan pada Hari Akhirat.
Fahami keseluruhan 80+ surah yang telahpun turun sebelum surah Al-Baqarah turun. Kesemuanya membantu meningkatkan keimanan kepada Allah s.w.t dan Hari Akhirat.
Jika kuat Iman kepadaNya & Hari Akhirat, apa-apa perbuatan buruk yang dilakukan si penerima infaq tidak membuatkan anda kecewa "Haish, menyesal aku infaq pada dia."
Kerana, segala infaq yang diberikan ikhlas kerana Allah s.w.t semuanya dihitung. Akan dilipatgandakan ganjarannya. Meskipun manusia tidak menghargai.
Justeru.
Memasaklah untuk Allah s.w.t
Jaga & didiklah anak kerana Allah s.w.t
Berilah nafkah kerana Allah s.w.t
Percayalah, di akhirat kelak, semua amal itu amat-amat diharapkan untuk memberatkan timbangan amal.
Beramallah kerana Dia dan bukan dia.
Ulasan
Catat Ulasan