Jika takut-takut berbelanja atas jalanNya


Dia teringin nak hadir kelas Tadabbur Quran hujung minggu ni. 

Tiba-tiba hati berbisik "Tapi yuran kelas Quran mahal. Tak cukup duit bayar bil elektrik, sewa rumah & kereta nanti."

Dia terfikir lagi "Nanti nak beli barang dapur lagi. Susu anak..."

Dia padamkan sahaja hasratnya.
Lain kali sahaja.
Bukan Kali ini. 

Tiba-tiba telefon berbunyi. 

"Jom pergi konsert. BTS buat show di KL." Seorang teman di talian berbicara.

"Kau biar betul! Tempah tiket untuk aku cepat."

"Tiket diorang tak murah tau."

"Takpe. Bukan senang Artis korea boleh masuk Malaysia."

Dia tak terlintas langsung soal bil elektrik, sewa rumah, hutang kereta, barang dapur dan Susu anak yang dirisaukan tadi.

Kenapa? 

Kerana yang berbisik dalam hati adalah syaitan

{ ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةٗ مِّنۡهُ وَفَضۡلٗاۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ }

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
[Surah Al-Baqarah: 268]

Tatkala manusia mahu infaq di jalan Allah, mahu membelanjakan rezeki kurniaanNya untuk memahami kalamullah misalnya, syaitan akan usaha menakut-nakutkan dengan kemiskinan. 

Dan tatkala tiba peluang berbuat fahsya' , syaitan akan menyuruh. 

Kenapa?
Kenapa ambil syaitan sebagai teman penasihat?
Sedangkan syaitan adalah musuh. Layanlah ia sebagai musuh. 

{ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ لَكُمۡ عَدُوّٞ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّاۚ إِنَّمَا يَدۡعُواْ حِزۡبَهُۥ لِيَكُونُواْ مِنۡ أَصۡحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ }
Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.
[Surah Fâtir: 6]

Jika syaitan adalah musuh, 
Siapakah Allah s.w.t?
Allah s.w.t adalah waliy. 
Allah s.w.t menjanjikan keampunan buat mereka yang infaq pada jalanNya.
Dan bahkan Dia mahu melimpahkan kurnia buat manusia yang berinfaq.

وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةٗ مِّنۡهُ وَفَضۡلٗاۗ

Tiada ruginya berbelanja untuk hadiri kelas-kelas wahyu. 
Tiada ruginya berbelanja untuk memenuhi keperluan orang yang miskin. 
Di sana ada barokah. Dan barokah itulah yang ingin kita raih. 

Ingatlah, Dia Maha Meliputi lagi Maha Mengetahui.

 وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ 
Maha Luas pengetahuanNya 
Dia tahu segala yang dibelanjakan atas jalanNya, tiada yang akan disia-siakan.

Dan Dia juga tahu jika rezeki kurniaanNya digunakan untuk berbuat dosa. Tiada yang akan terlepas daripada balasan. 

Berbelanjalah atas jalanNya untuk berjaya dunia & akhirat. 

Usah termakan hasutan syaitan yang menakut-nakutkan.

Ulasan