Kebaikan ibarat daratan subur menumbuhkan pelbagai jenis tanaman.


"Saya nak pergi rumah anak yatim pagi ni. Nak santuni mereka. Jom ikut sekali." Seorang rakan aktivis mengajak.

"Tak apalah, awak pergilah ya." Teman si ahli ibadah jawab ringkas. Dia masih atas tikar solatnya, menunggu waktu Dhuha. 

Si aktivis rasa geram dengan rakannya yang ahli ibadah. "Banyak solat, banyak baca Quran, tapi tak nak bantu masuk komuniti langsung." 

Si rakan yang ahli ibadah pula mula menghukum "Dia tu, susahnya nak nampak solat sunat, qiamullail, risau tak cukup amal." 
.
.
.
Islam itu realitinya amat luas. Bukan terhad pada ibadah khusus semata-mata. Dan bukan juga terhad pada kebaikan-kebaikan di komuniti.

 ۞لَّيۡسَ ٱلۡبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ قِبَلَ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ وَٱلۡكِتَٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلۡمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلۡمُوفُونَ بِعَهۡدِهِمۡ إِذَا عَٰهَدُواْۖ وَٱلصَّٰبِرِينَ فِي ٱلۡبَأۡسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلۡبَأۡسِۗ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُتَّقُونَ 
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

[Surah Al-Baqarah: 177]

Barr secara linguistik bermakna tanah daratan. Tanah daratan ini luas dan mampu menumbuhkan pelbagai jenis tanaman bermanfaat.

Al-Birr adalah kebajikan yang banyak jenis. Sesiapa yang melaksanakannya, merekalah orang yang benar dan bertaqwa.

Al-Birr :
1) Iman 
2) Memberikan harta yang dicintainya
3) Mendirikan solat & menunaikan zakat
4) Penuhi janji
5) Sabar dalam kesempitan, kesakitan dan perang.

Dalam Islam, amal ibadah bersifat komprehensif, menyeluruh. Dan setiap amal itu, individu-individu perlu bertanggungjawab melaksanakannya. 

Jika diperhatikan, ayat ini bermula dengan Iman. 

Iman kepada Allah
Iman kepada hari akhirat, 
Iman pada segala malaikat, 
Iman pada segala Kitab, 
dan Iman pada sekalian Nabi.

Jika definisi Iman ini sebatas kepercayaan, mungkin ramai menyangka mereka telah beriman.

Namun, pada sisi Allah s.w.t, Iman merangkumi keyakinan dalam hati yang dibuktikan melalui tindakan. Jika tindakan tidak mencerminkan peribadi beriman, khuatir diri masih lemah imannya

Iblis percaya kekuasaan Allah s.w.t . Tetapi dia memilih ingkar. Dan Allah s.w.t melabelnya sebagai kafir. Dia tidaklah kategori beriman meskipun dia percaya kewujudan Allah s.w.t 

=====
 وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ 

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
[Surah Al-Baqarah: 34]
======

Justeru, bagaimana untuk beriman yang melahirkan peribadi bertaqwa yang takut pada Allah s.w.t dan rasa diawasi malaikat yang mencatat amal?

Iman itu, harus terlebih dahulu disuburkan dengan wahyu.
Bahkan Nabi Muhammad s.a.w tidak tahu apakah Iman itu melainkan setelah diturunkan Quran.

=====
{وَكَذَٰلِكَ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ رُوحٗا مِّنۡ أَمۡرِنَاۚ مَا كُنتَ تَدۡرِي مَا ٱلۡكِتَٰبُ وَلَا ٱلۡإِيمَٰنُ وَلَٰكِن جَعَلۡنَٰهُ نُورٗا نَّهۡدِي بِهِۦ مَن نَّشَآءُ مِنۡ عِبَادِنَاۚ وَإِنَّكَ لَتَهۡدِيٓ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ 
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,
[Surah Ash-Shûrâ: 52]
=====

Hanya manusia yang memenuhi hak Al-Quran untuk memahaminya sahajalah yang benar- benar beriman.

====
{ ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَتۡلُونَهُۥ حَقَّ تِلَاوَتِهِۦٓ أُوْلَٰٓئِكَ يُؤۡمِنُونَ بِهِۦۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ }
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan, mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
[Surah Al-Baqarah: 121]
=====

Perkara-perkara kebajikan itu bermula dengan status Iman seseorang.
Dan Iman hanya boleh disuburkan tatkala jiwa manusia peduli memahami Quran dan menjadikannya pedoman hidup. 

Tatkala manusia jauh daripada wahyu...
Mensia-siakan Al-Quran yang Dia turunkan...
Khuatir iman jadi amat-amat lemah 
Bila mana Iman lemah, mana nak dapat kekuatan melaksanakan segala kebajikan-kebajikan Al-Birr yang lain?

#SolehSpiritualSolehSosial.

Ulasan