Dalam kesenangan & keselesaan hidup, lalu diperintah untuk berbuat sesuatu yang keluar daripada zon selesa, pasti bukan mudah bukan?
Kalau boleh, mahu elak.
Terdahulu Bani Israel yang diselamatkan daripada Firaun pernah diperintahkan untuk memasuki Palestin, tetapi kebanyakan mereka berat & enggan. Hanya segelintir yang mahu taat mengikuti Nabi Musa a.s.
Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w pula, para sahabat dilarang melawan atau memerangi pihak yang menentang umat Islam ketika di Makkah. Mereka diperintahkan untuk bertahan, bersabar. Setelah berhijrah ke Madinah, umat Islam bertambah kuat. Turunlah perintah berperang untuk menyelamatkan agama dan menghentikan kezaliman.
======
{ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِتَالُ وَهُوَ كُرۡهٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـٔٗا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـٔٗا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ }
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
[Surah Al-Baqarah: 216]
======
Ada apa dengan perang?
Perlu kerahkan usaha persiapkan kekuatan fizikal, mental & spiritual.
Ada risiko kematian.
Berhadapan dengan banyak ketidakpastian.
Ketika itu, golongan beriman tidak menyukai perang bukan disebabkan tidak suka akan perintah Allah s.w.t. Namun, "sifat" peperangan yang banyak kesusahan & kesulitan membuatkan hati mereka rasa tidak menyukainya.
Allah s.w.t mengajar satu prinsip besar dalam ayat ini.
"boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
Allah s.w.t Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang memberikan hukum perintah untuk kebaikan manusia. Meskipun adakalanya si hamba gagal melihat logik atau kebaikan di dalam satu² perintah, sikap orang beriman adalah taat. Kerana Dialah yang paling tahu apa yang baik untuk hamba-hambaNya.
Dalam rumahtangga misalnya, jika si suami tidak menyenangi sebahagian peribadi si isteri, lalu cenderung untuk pilih jalan berpisah. Sangkanya, itulah solusi mudah, itulah kebaikan.
Namun, Allah s.w.t tahu apa yang lebih baik iaitu untuk bersabar dan boleh jadi dalam apa yang dibenci itu ada kebaikan yang banyak.
====
وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ فَإِن كَرِهۡتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـٔٗا وَيَجۡعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيۡرٗا كَثِيرٗا }
Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
[Surah An-Nisâ': 19]
=====
Contoh lain,
Perbuatan melalaikan & tidak bermanfaat seperti bermain game atau media sosial bersifat menghiburkan & disukai manusia. Namun Allah s.w.t tahu apa yang baik& buruk untuk manusia. Apa yang disukai manusia boleh jadi bersifat buruk untuknya. Dan tanda kasih sayang Allah s.w.t adalah Dia mengurniakan kita petunjuk untuk bertindak.
======
{ قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (1) ٱلَّذِینَ هُمۡ فِی صَلَاتِهِمۡ خَـٰشِعُونَ (2) وَٱلَّذِینَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ (3) }
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
[Surah Al-Mu’minûn: 1-3]
======
Hidup ini realitinya adalah pilihan dalam bertindak. Beruntunglah mereka yang memahami wahyu lalu mendapat petunjuk akan apa diperintah Allah s.w.t dan apa yang dilarangNya.
Kerana,
Hanya Dia yang paling tahu apa yang baik dan apa yang buruk untuk manusia.
Justeru, saat hidup manusia terpandu FirmanNya, berbahagialah dalam buat pilihan tindakan atas jalan kebenaran.
Ulasan
Catat Ulasan