"Hoi, takde otak!"
Kadang-kadang dengar macam-macam carutan manusia marah-marah bila ada yang terbuat silap.
"Otak letak kat lutut!"
Heh.
Kenapa "otak" jadi objek persenda?
Kerana manusia, menjadi mulia dengan mindanya.
Saat otak dipersendakan, seluruh jasad jatuh martabat.
Pada bahagian penutup ayat hukum-hakam nikah & perceraian , ada satu ayat menyentap jiwa terkait status akal manusia.
======
{ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ }
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.
[Surah Al-Baqarah: 242]
======
Panjang Allah s.w.t terangkan secara terperinci mengenai hukum-hakam talaq, mahar si isteri, iddah bagi isteri yang kematian suami, hadiah (mata') yang isteri patut dapat jika si suami ceraikannya dan selanjutnya.
Untuk apa dijelaskan semua ini secara terperinci?
لَعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ
Supaya si manusia itu berakal, faham firmanNya.
Memang, hanya si hamba yang memahami ayat-ayatnya sahaja yang akan melaksanakan apa yang diperintahkan.
Akan pilih jalan ihsan dengan memberikan mut'ah (pemberian saguhati) kepada isteri yang diceraikan (2:236)
Akan pilih jalan taqwa memaafkan & melepaskan haq (2:237).
Mereka inilah yang fungsikan akal sebaiknya, iaitu menggunakan akal untuk faham petunjuk wahyu.
Jika manusia tak gunakan akal untuk faham petunjuk wahyu, risau pada sisi Allah s.w.t, dirinya ibarat manusia "tiada akal", meskipun memiliki ijazah kedoktoran di universiti berprestij.
Betapa Indahnya pengurusan konflik perceraian antara dua jiwa melalui surah Al-Baqarah. Tetapi realiti di dunia nyata, banyak hal tidak berlaku mengikut panduanNya.
Kenapa?
Mungkin kerana masing-masing tidak mengetahui ayat-ayat Al-Baqarah itu wujud. Lalu ayat yang asalnya bersifat jelas & terang, dirasakan samar-samar atau tidak wujud akibat hati yang memilih enggan memahami kalamNya.
"Akal, awak kat mana?"
Ulasan
Catat Ulasan