Munafik
Bermula dengan hati berpenyakit tidak dirawat akibat cinta dunia, menumbuhkan peribadi yang tinggi egonya, sombong, lalu sentiasa suka berbantah-bantah mengalahkan manusia lain. Sentiasa mahu menang.
Tak suka terima kritikan.
Tak suka dinasihati jalan taqwa.
Di dunia beridentitikan Muslim.
Tapi di akhirat, Allah s.w.t mendedahkan tempat yang layak baginya adalah neraka jahannam.
Ternyata, keimanan & keislaman di sisi Allah s.w.t tidak terletak pada sijil surat beranak. Tetapi harus dibuktikan dengan amal.
=====
{ وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ }
Dan dalam kalangan manusia ada yang membicarakan tentang kehidupan di dunia yang mengkagumkan engkau , dan dia menjadikan Allah sebagai saksi atas apa yang ada dalam isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling kuat.
[Surah Al-Baqarah: 204]
=====
Dalam dunia perubatan, para perawat dididik mampu mengecam tanda-tanda (signs & symptoms) penyakit untuk menawarkan ubat. Dalam Quran pula, Allah s.w.t mengajar kita tanda-tanda hati yang berpenyakit agar orang beriman ambil usaha merawat jika menemuinya pada diri masing-masing.
Apakah tanda-tanda munafiq kali ini?
1) Pandai berbicara, indah tutur kata.
2) Suka bersumpah, jadikan Allah s.w.t sebagai saksi akan kebenaran dalam hatinya.
3) Suka menentang, berbantah-bantah.
Realiti manusia sebegini sangat cinta dunia lalu "berislam" untuk ambil kesempatan dapat manfaat. Tidak benar-benar mahu tunduk. Akibatnya, suka bersumpah kerana tak yakin akan Iman sendiri , takut-takut terbongkar rahsia hati yang lemah iman.
=====
{ إِذَا جَآءَكَ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ قَالُواْ نَشۡهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُۥ وَٱللَّهُ يَشۡهَدُ إِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَكَٰذِبُونَ }
Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: "Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau - sebenar-benarnya Rasul Allah". Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.
[Surah Al-Munâfiqûn: 1]
========
Sedangkan orang beriman, hatinya tenang dengan redha Allah, tak perlu bersumpah untuk dapatkan penerimaan manusia lain.
Penyakit cinta dunia menumbuhkan banyak tanda-tanda. Dirinya menjadi manusia sombong, rakus mendapatkan nikmat di dunia.
Tidak boleh terima perbezaan pendapat, seringkali mahu berbantah-bantah memenangkan diri sendiri.
Sombong .
Takbur.
Ayat sebelum ini membicarakan soal Haji yang melarang jidal (bertengkar, berbantah-bantah). Ternyata, seruan Haji ini harus diteruskan dalam kehidupan harian jika tidak mahu tergolong orang munafik.
Bagi golongan hati berpenyakit ini, orientasi hidup adalah untuk dapat kesenangan dunia. Lalu tidak kisah jika merosakkan alam, janji tercapai misi.
======
{ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ }
Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia) sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
[Surah Al-Baqarah: 205]
======
Realiti, kita menyaksikan kerosakan-kerosakan di bumi dalam banyak aspek.
Ekonomi.
Pertanian.
Politik.
Sosial.
Dan segalanyalah
Makanan yang asalnya baik untuk manusia, diproses dan ditukar genetiknya agar menepati kehendak pasaran.
Agar buah rasa lebih manis.
Agar gandum lebih gemuk, banyak untung.
Apakah si manusia yakin dirinya lebih bijak daripada Allah s.w.t? Boleh tukar "maklumat" dalam makanan tanpa perlu "memaklumkan" sistem badan setiap manusia agar tidak lawan tatkala makanan "alien" masuk sistem pencernaan? Auto-immune disease itu dianggap "salah" Allah s.w.t yang berikan "penyakit genetik" atau bertitik-tolak tangan-tangan rakus manusia?
Dalam aspek ekonomi, panjang-berjela Allah s.w.t menawarkan solusi pembangunan insan bertaqwa yang suka berinfaq. Bahkan menganjurkan jiwa² manusia berikan pinjaman kepada golongan memerlukan tanpa sebarang tambahan (bunga) dan mengharamkan riba. Seharusnya sistem ini melahirkan masyarakat yang hanya berhutang jika berjaya menemukan manusia bertaqwa yang sanggup beri pinjaman tanpa faedah. Hutang tidak dijadikan "lifestyle" kerana tak mudah berhutang.
Namun pedoman ini ditolak tepi, ditawarkan sistem lain yang secara teknikal nampak seperti bukan riba tetapi "ruh" atau akibat sistem tersebut sama seperti riba. Lahirlah masyarakat tak mampu tapi rasa mampu berhutang kerana ada "sumber halal", bertahun-tahun sibuk berkerja hanya kerana sibuk langsaikan hutang, terpaksa gadaikan tanggungjawab sebagai hamba (belajar wahyu) & khalifah (ajarkan wahyu kepada anak² misalnya) kerana rasa sibuk, tak sempat-sempat. Lalu terbuang usia , menemui Allah swt dalam keadaan tidak tahu apa yang Dia utuskan melalui Nabi.
=====
{ ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ }
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
[Surah Ar-Rûm: 41]
=====
Manusia hati berpenyakit ini, sangat sombong dan tidak suka terima "kritikan" berbentuk nasihat.
Suka dirinya sentiasa betul.
Suka dirinya sentiasa berada pada posisi dihormati.
Tidak Rasa cukup dengan penerimaan Allah swt.
Lalu tidak suka nasihat & teguran.
Kecenderungan kepada dunia telah mengelabui matanya.
Sulit nampak kebenaran, sulit mendapat hidayah.
=====
{ وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتۡهُ ٱلۡعِزَّةُ بِٱلۡإِثۡمِۚ فَحَسۡبُهُۥ جَهَنَّمُۖ وَلَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ }
Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah" timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.
[Surah Al-Baqarah: 206]
======
Duhai jiwa,
Ketahuilah bahawa Allah s w.t tidak sukakan fasad di bumi.
Neraka jahannam menanti buat golongan sebegini.
Meskipun mereka di dunia memiliki sijil surat beranak beragama Islam.
Tetapi dokumen identiti dunia tidak terpakai untuk memasuki syurga. Yang dinilai adalah apa yang ada dalam hati melalui pembuktian amal tindakan.
=====
{ أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُمۖ مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٞ }
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.
[Surah Al-Baqarah: 214]
=====
Ulasan
Catat Ulasan