Tiba di hospital, nampak seorang wanita duduk dengan wajah runsing. Ada seorang ahli keluarga menemani.
Bil hospital tidak mampu dibayar. Perubatan fasa berikut terpaksa dihentikan.
Si adik rasa kecewa tak sengaja meluahkan "Kenapa kakak dulu tak ambil takaful? Susah dah sekarang ni. Nak harapkan sanak-saudara tolong, mereka pun susah sekarang ni. Tiada yang boleh bantu "
Si kakak hanya diam, masih memikirkan jalan keluar.
***
Saya pernah menyaksikan situasi sedemikian.
Setiap manusia menilai sesuatu dengan apa yang diyakini. Seorang yang punyai ilmu tentang takaful, bergantung padanya, akan nampak kerugian besar andai tidak melabur duit secara bulanan untuk khidmat berkenaan.
"Bagaimana kalau tiba-tiba kemalangan?"
"Bagaimana kalau diuji musibah?"
"Rugi besar tiada takaful."
Untuk sebahagian manusia, takaful adalah kemestian untuk keselamatan di hari kemudian. Dan harus didapatkan sebelum tibanya hari sakit atau hari diuji.
Begitu pola fikir sesetengah golongan .
Lalu dikerahkan segala usaha bersungguh-sungguh agar ramai buat persiapan ambil takaful sebelum kejadian tak diingini berlaku.
Kena bersiap SEBELUM musibah.
Bahkan diusahakan memasukkan ilmu tentang ini dalam subjek sekolah rendah.
Sebenarnya, dalam Al-Quran, Allah s.w.t turut beri ancaman agar si manusia bersedia SEBELUM Hari yang ditakuti.
Persoalannya, sudahkah manusia serious mengenainya bahkan lebih cakna berbanding hal takaful & seumpamanya?
Sehingga peduli memasukkan topik Hari Akhirat daalm subjek sekolah rendah?
Itulah mengenai Hari Pembalasan.
Saat itu, keadaan amat sulit, amat sukar.
Tiada rasuah atau jual beli untuk dapatkan bantuan.
Tiada teman rapat boleh membantu.
Tiada syafaat tanpa izin Allah s.w.t.
Lalu.
Sudahkah rasa takut lalu peduli bersedia?
Persoalannya,
Bagaimana untuk bersedia?
= Berinfaqlah.
=====
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِمَّا رَزَقۡنَٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَ يَوۡمٞ لَّا بَيۡعٞ فِيهِ وَلَا خُلَّةٞ وَلَا شَفَٰعَةٞۗ وَٱلۡكَٰفِرُونَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ }
Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada kamu, SEBELUM tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.
[Surah Al-Baqarah: 254]
======
Wahai orang yang beriman!
Jika benar kalian meyakini akan tibanya Hari yang tiada rasuah, tiada teman rapat yang boleh membantu & tiada syafaat...
...Maka berinfaqlah.
Apa yang perlu diinfaqkan?
Berilah sebahagian daripada apa yang Allah s.w.t rezekikan.
Beri bantuan kewangan.
Beri makanan
Beri ilmu
Beri tenaga.
Beri masa.
Berilah apa² yang Allah s.w.t rezekikan kepadamu.
Jika tidak, khuatir diri gagal di Akhirat kelak. Sedangkan tiada siapa boleh membantu.
Saat itu. Hatta teman rapat yang dicintai juga akan menjauh, sibuk dengan ketakutan Amal masing-masing.
Memberilah sekarang .
Infaqlah sekarang
Jangan sampai Hari Akhirat tiba.
Saat itu, tiada lagi peluang beramal.
Ulasan
Catat Ulasan